Mengenali ciri-ciri ulama fasik

Kepimpinan ulama tidak mutlak dan muktamad

Sepotong lagi hadis yang diriwayatkan oleh Abu Nu’aim dari Jabir: “Janganlah kamu semua duduk semajlis dengan sebarangan ulama, kecuali dengan ulama yang mengajak dari lima perkara kepada lima perkara – iaitu dari keraguan kepada keyakinan; dari riak kepada keikhlasan; dari ketamakan kepada kesederhanaan; dari takbur kepada rendah diri dan dari permusuhan kepada nasihat-menasihati.”

Institusi ulama adalah institusi yang menjadi amanah Allah, nabi dan umat Islam kerana berisiko tinggi di dunia, apatah lagi di akhirat. Ulama boleh merosakkan umara (pemerintah) dan umat lantaran kerakusan berfatwa.

Keadaan bertambah buruk kerana sebahagian umat Islam terkeliru dalam memahami maksud hadis: “Ulama adalah pewaris nabi.” (riwayat Ibnu Najjar, dari Anas ra.). Hadis ini dijadikan slogan dan ucapan retorik bagi menegakkan ‘kepimpinan ulama’ yang terbukti telah dieksploitasikan.

Kepimpinan ulama ini pada hakikatnya adalah sambungan pelengkap kepada siri slogan yang antara lain ialah:

* Kamilah satu-satunya yang menjadi representatif kepada gerakan Islam semasa di Malaysia.

* Menyertai kami bermakna memasuki jemaah, tidak bersama-sama kami bermakna anda hidup tanpa wadah, tanpa platform.

* Bersama-sama kami anda berpotensi ke syurga, tidak menyertai kami anda mungkin ke neraka!

Cakap-cakap dan bisik-bisik seumpama ini akhirnya telah dianggap dan dihayati sebagai fatwa. Fatwa oleh golongan kepimpinan ulama itu telah ditelan bulat-bulat bagaikan akidah keimanan yang mutlak.

Menurut Kamus Dewan, fatwa adalah keputusan agama yang diberikan oleh alim ulama atau mufti mengenai sesuatu masalah. Ulama yang benar-benar bertakwa amat berhati-hati di dalam mengeluarkan pendapat, apatah lagi yang berbentuk fatwa.

Ketergelinciran ulama yang mengeluarkan pendapat yang bercorak hukum dan fatwa di Malaysia sekarang adalah disebabkan kejahilan mereka terhadap nas-nas syari’at atau memang kerana lalai.

Contohnya, mereka keliru antara had sempadan mengutuk yang diharuskan untuk manusia, dengan mengutuk yang menjadi milik istimewa Allah kepada manusia yang khusus seperti Abu Lahab. Wilayah autoriti dan autonomi Allah itu telah dicerobohi seolah-olah menempatkan diri mereka setaraf dengan Allah untuk melaknati umat Islam lain yang dianggap sebagai musuh mereka!

Menurut Said Hawa dalam kitabnya Al Mustakhlas Fi Taz-kiyatin Nafsi sifat-sifat yang dibolehkan untuk dilaknati ialah kufur, bid’ah dan fasik. Bentuk yang dibolehkan terbahagi kepada melaknat ke atas sesuatu sifat secara umum seperti ke atas orang-orang kafir; atau melaknat ke atas sesuatu yang bersifat khusus seperti terhadap kaum Yahudi dan Nasrani; atau melaknati seseorang yang tertentu yang sudah dikenali, termaktub di dalam al-Quran atau sunah Nabi saw., seperti Fir’aun, Abu Lahab dan Abu Jahal.

Paling dusta dan mengelirukan ialah apabila istilah laknat tersebut diserupakan dengan mencarut. Dalam Kamus Dewan, carut diertikan sebagai perkataan yang keji dan kotor (cabul).

Golongan kepimpinan ulama itu melakukan perbuatan tersebut jelas kerana hawa nafsu amarah yang melalaikan; kegelojohan kepartian yang sangat taksub, kefahaman yang menyimpang; ketidakupayaan memahami realiti kehidupan secara benar; tunduk kepada realiti puak yang sudah terpesong, taklid, jumud dan ‘ujub serta syok sendiri.’

Umat Islam hendaklah faham bahawa kepimpinan ulama tidak mutlak dan tidak pula muktamad. Kepimpinan yang menguntungkan umat Islam hanyalah kepimpinan ulama yang tidak dinodai oleh nafsu kepentingan politik kepartian yang disubahatkan de-ngan kemurnian politik Islam; khususnya siasah an Nabawi, iaitu politik yang dijanakan oleh Rasulullah saw., dengan mendapat pimpinan terus-menerus dari Allah.

Umat Islam mahukan ulama yang benar dan bertakwa. Bukan kemaksuman ulama, bukan kependitaan ulama, bukan kejumudan ulama, bukan kebangsawanan ulama, bukan kekeliruan ulama, kerosakan dan keceluparan mulut ulama. Bukan!

Umat Islam kini amat memerlukan ulama yang berwawasankan ulul albab; berkeilmuan, ketakwaan dan keintelektualan. Ulama yang mengeluarkan pendapat dengan sifat-sifat merendah diri dan mengutamakan orang lain; tidak menilai seseorang itu berdasarkan puak dan parti walhal mereka masih tetap sesama Islam; tidak memperagakan diri mereka sebagai ulama golongan mereka sahaja. Mereka ini adalah ulama untuk semua umat.

Mereka selalu mengisytiharkan bahawa pendapat mereka bukan merupakan pendapat yang muktamad, yang bersifat hukum dan fatwa. Mereka tidak terbawa-bawa oleh seretan gimik politik kepartian dan tidak pula mahu ‘melagakkan kealiman’ yang kononnya mengatasi kealiman dan kehebatan ulama lain. Perhatikan maksud firman Allah: “Di atas setiap orang yang berilmu itu, ada pula yang lebih mengetahui.” (Yusuf: 76)

Maka kenyataan bahawa mengundi parti itu haram, solat berimamkan imam parti ini batal; sembelihan orang parti itu wajib diragui; jenazah orang parti ini tidak wajar diziarahi; pernikahan yang dinikahkan oleh imam kerajaan atau imam parti itu tidak sah; kerajaan parti itu adalah zalim, taghut dan jahiliah; ulama parti itu adalah ulama upahan; berdosa menjawab salam orang parti itu; parti itu dan ahli-ahlinya lebih najis daripada orang-orang DAP; adalah sebahagian kecil daripada ‘fatwa-fatwa tanpa lesen’ yang disemaikan ke tengah-tengah umat Islam kini.

Selagi bernama makhluk, maka setiap perkara yang mereka miliki dan buat kesemuanya mempunyai batasan. Hak bersuara ada batasan dan hak berfatwa pun ada batasan. Sebagai ulama yang menjadi pemimpin mereka wajib memiliki disiplin dan adab yang tinggi-mulia. Doktrin mereka mestilah terlepas daripada sikap asabiah dan jumud; memudahkan bukan menyusahkan; mewujudkan keseimbangan di antara ketelusan dan ketegasan; wajib menghindari pendapat dan keyakinan atau fatwa yang bersifat hendak menghukum, atau beragenda hendak ‘meracuni’ hati dan pemikiran umat.

Jika ulama melanggar batasan itu, akibatnya umat Islam di Malaysia akan semakin lemah dan hina.

Sebarang fatwa mesti dijelaskan nas, dalil, fakta dan data-data, keterangan dan kesaksian serta kebuktian kes atau peristiwa dan permasalahan. Melontarkan kata-kata, “bahawa pihak parti itu tidak mahukan al-Quran dan hadis; parti itu adalah parti sekular”, adalah ucapan bagaikan mengata dulang paku serpih.

Apakah mereka ini tidak sedar bahawa setiap parti yang menyertai demokrasi berpilihan raya tetap tidak terlepas daripada budaya sekularisme, sama ada banyak atau sedikit.

Kepimpinan ulama jangan hanya sekadar asyik bercakap tentang batas iman-kufur, seolah-olah diri sendiri suci dan para pengikut mereka terselamat daripada melanggar batasan itu.

Mereka ini berceramah di merata tempat di atas nama Islam, dakwah, tetapi telah mengumpat, mendedahkan ‘aib orang Islam yang lain, memberikan gelaran-gelaran buruk kepada golongan beriman yang tidak seperti mereka, memfitnah, menghukum pihak yang dianggap musuh. Tidakkah amalan keji itu ditegah dengan jelas dalam al-Quran?

Perkembangan sekarang mewajibkan kepimpinan ulama melakukan jihad baru, jika mereka benar-benar beriman dan bertakwa. Mereka wajib menerangkan kepada para pengikut seikhlas-ikhlasnya mengenai apa yang benar dan tidak benar; antara taksub kepada Islam yang hakiki dengan taksub kepada Islam yang anda bawa dan jaja selama ini.

Terangkan perbezaan di antara siasah an Nabawi (politik Islam) dengan politik ala kepartian yang anda bawa; antara tertib hukum hudud yang Nabi saw. telah praktikkan dengan ‘kegopohan-melulu’ berkepentingan untuk menunjukkan kehebatan dan kealiman menerusi hudud yang anda canangkan.

Jelaskan perbezaan di antara wala’ dan ketaatan mutlak terhadap Allah dan Rasul, dibandingkan de-ngan ketaatan yang terhad, bersyarat terhadap golo-ngan kepimpinan anda. Ceritakan kepada umat me-ngenai ‘kebenaran mutlak’ Ilahi-Nabi s.a.w. dengan kebenaran relatif yang ada pada kepimpinan ulama itu. Tegaskan pemujaan hanya kepada Allah dan tidak kepada peribadi tokoh-tokoh ulama.

Huraikan bahawa di dalam masjid yang Allah amanahkan kepada umat Islam itu, bahawa boleh diceritakan mengenai politik Islam secara berhikmah, bernadakan nasihat, tetapi tidak diceramahkan politik kepartian yang anda perjuangkan itu.

Politik Islam yang bersumberkan wahyu sentiasa benar-mutlak, sedangkan politik kepartian yang anda pimpinkan bersifat subjektif-relatif, apatah lagi disarahkan dengan gaya marah-marah.

Anda tidak boleh selama-lamanya berfatwa dan menanamkan keyakinan kepada para ahli anda, bahawa parti adalah jemaah dan jemaah itu adalah parti.

Jika segalanya ini tidak dihentikan, maka umat Islam yang sekarang disasaukan oleh pelbagai fitnah, akan bertambah parah kerana menelan fatwa beracun kepimpinan ulama ini.

Amat dibimbangi kepimpinan ulama itu telah dibayangi oleh naungan syaitan yang menggunakan pelbagai muslihat yang ghaib dan nyata untuk menyesatkan manusia. Janji Allah, hanya orang yang beriman tidak akan disesatkan oleh syaitan. Mereka yang tidak beriman, tetap akan disesatkan sekalipun ilmu mereka amat tinggi.

Dan bukankah iblis itu sangat berilmu? Iblis dilaknati kerana kesombongannya yang menyebabkan dia enggan mematuhi perintah Allah supaya tunduk kepada Adam. Bertaubatlah dan kembali ke pangkal jalan.

No comments

Powered by Blogger.