Ohhhh Sampah : MB Kedah dan MB Kelantan

Oleh Penulis Tamu DD

Kini sampah sudah mengambil tempat dalam isu politik di tanah air, khususnya di negeri Kedah dan Kelantan. Kelmarin YB Hj Mahfuz Omar mencadangkan supaya Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) membuat pemotongan cukai pintu antara 10-15 peratus kepada penduduk di kawasan itu kerana kegagalan pihak berkenaan menanggani isu sampah terutama di musim perayaaan Hari Raya AIdil Fitri.


Sampah Domestik

Memetik kenyataan Hj Mahfuz yang disiarkan oleh tabloid Sinar Harian bahawa, “MBAS gagal menanggani isu sampah sejak sekian lama, sangat wajar jika dibuat potongan cukai pintu sama ada sebanyak 10 hingga 15 peratus. Ini baru adil, sebab apabial kita buat salah didenda tetapi apabila mereka buat salah, tiada apa-apa tindakan pun”.

Tinjauan yang saya lakukan di beberapa kawasan seperti Pekan Mergong, jalan belakang Kg. Badak, Jalan Langgar dan kawasan pejabat PKWR YB Mohd Nasir Mustaffa memang begitu jelas longgokan sampah domestik yang tidak diuruskan dengan sempurna samada oleh pihak berkuasa tempatan maupun pengguna itu sendiri. Tidak keterlaluan jika dikatakan ia berlaku di mana-mana terutama pada minggu pertama bulan Syawal yang disambut oleh seluruh umat Islam di mana jua berada.

Bagi yang memiliki hati nurani yang bersih dan luhur keadaan sampah yang berlonggok-longgok tersebut menyebabkan hati menjadi sesak dan fikiran turut serabut. Ini kerana bukan sahaja ia merosakkan pemandangan, malah mengeluarkan bau yang busuk serta boleh menyebabkan merebaknya penyakit. Pastinya kesan buruk dari sampah tersebut akan menjejaskan kualiti kehidupan rakyat yang bernaung di bawah kerajaan Pakatan Rakyat yang melaungkan slogan “Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua”.

Paling dikhuatiri lagi ialah sampah tersebut memberi persepsi yang buruk oleh rakyat yang datang pulang dari perantauan di musim perayaan tersebut terhadap kewibawaan kerajaan Pakatan Rakyat yang menerajui Kedah pada masa kini.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah, YAB Dato Seri Ustaz Azizan Abdul Razak pula menjelaskan kepada media berhubung isu sampah tersebut, “masalah berkenaan masih tidak dapat diselesaikan, kerana syarikat terbabit (merujuk kepada E-Idaman) yang sepatutnya mengambil alih tugas daripada Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), terpaksa menangguhkan kerja mereka sejak 1 Sept lalu.

Sebab-sebab penangguhan kerja-kerja oleh syarikat berkenaan turut dijelaskan kepada media, disamping belia turut memohon maaf kepada rakyat di situ kerana berasa kurang selesa dengan keadaan yang berlaku.

Apa yang dibimbangi oleh kita ialah ia akan memberi gambaran kepada masyarakat bahawa kerajaan Pakatan Rakyat Kedah gagal memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat yang telah memilih mereka. Persoalannya sekarang ialah bukan cadangan pemotongan cukai pintu maupun alasan masalah teknikal berkaitan syarikat yang dilantik tidak dapat menjalankan tugas mereka tetapi bagaimana pihak berkaitan dapat mengatasi masalah yang timbul tersebut yang menjadi keresahan rakyat. Apakah jika dipersetujui oleh pihak MBAS memotong cukai pintu tersebut masalah sampah yang berlonggok tidak lagi perlu dibersihkan lagi ataupun biarkan rakyat sendiri mengangkut dan membuang sampah di loji-loji yang telah disediakan oleh pihak MBAS. Begitu juga penjelasan dan permohonan maaf oleh Menteri Besar Kedah sudah cukup, sekaligus dapat menyelesaikan masalah sampah yang sememangnya rakyat menyampah tentang isu ini.

Bagi saya, adalah mustahil samada pihak kerajaan negeri maupun MBAS tidak tahu bahawa syarikat berkaitan sampah berkenaan terpaksa menangguhkan operasinya seperti yang dinyatakan oleh Menteri Besar Kedah kerana sebab-sebab teknikal. Oleh itu, mengapakah MBAS tidak menyediakan perancangan ataupun plan B dan sebagainya sejak awal lagi bagi menanggani sebarang kemungkin kepada isu sampah tersebut. Dan, banyak lagi persoalan yang boleh dikemukakan oleh rakyat jika mahu mendedahkan tentang kelemahan kepada pihak MBAS berhubung isu sampah tersebut.

Oleh itu, jalan paling mudah yang boleh di ambil oleh kerajaan negeri Kedah ataupun MBAS ialah bukan sekadar memberi penjelasan tetapi mesti bertindak secara pro aktif menanggi isu sampah tersebut supaya tiada lagi longgokan-longgokan sampah di merata-rata tempat bukan sahaja di kawasan Kota Setar malah seluruh Bandar di Kedah. Jika perlu, kerajaan negeri Kedah jangan rasa rugi untuk berbelanja mengupah pihak lain demi untuk menjaga kualiti kehidupan rakyat. Apalah gunanya, jika wang yang ada tidak sanggup dibelanjakan untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat sedangkan waktu yang sama sebahagian pemimpin atasan boleh tidur lena di rumah masaing-masing kerana tidak menghadapi kesan buruk dari sampah.

Sampah Politik

Sementara itu, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, ketika menjawab desakan ahli parlimen Pasir Mas, Ibrahim Ali supaya beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan kerana sudah usia tua, Tuan Guru Nik Abd Aziz berkata, “Tua apa salahnya, kalau muda pun hanya sampah apa guna?”..

Maknanya sampah bukan sahaja dikategorikan dari bahan-bahan tidak terpakai oleh manusia bahkan manusia juga boleh dianggap sampah jika manusia juga tidak berguna. Oleh itu, ungkapan Mursyidul Am PAS tersebut mesti di lihat dalam konteks yang lebih luas dan terbuka bukan sekadar menjurus kepada Ibarahim Ali sebaliknya kepada seluruh pihak yang telah dipertanggungjawabkan dengan amanah pada hari ini.

Dalam hal ini, saya ingat memberi pandangan supaya para pentadbir maupun pemerintah supaya jangan jadi manusia yang tidak berguna kerana ia adalah sampah. Hanya sampah sahaja yang tidak peduli dengan sampah yang lain. Bagi mengelakkan kita menjadi sampah, berubahlah menjadi orang yang lebih bertanggungjawab dengan amanah yang telah dipikul masing-masing.

Akhirnya, kita mengharapkan supaya masalah sampah tidak menjadi isu di masa depan kerana ia jelas tidak memberi apa-apa kebaikan kepada rakyat yang mengimpikan kehidupan yang selesa, selamat dan sejahtera. Paling penting ialah bertindaklah secara progresif tanpa menuding jari kepada pihak lain bila isu seperti ini berbangkit. Ketahuilah bahawa rakyat menyampah kepada sampah.

Wallahu alam

No comments

Powered by Blogger.