Persatuan Linguistik sokong usaha Pak Samad Said berkempen isu bahasa di PRK

Oleh NYZA AYOB

KUALA LUMPUR: Persatuan Linguistik Malaysia menyokong usaha dan perjuangan Sasterawan Negara, A.Samad Said dalam mengukuhkan kedaulatan Bahasa Melayu yang menjadi mangsa pelaksanaan dasar PPSMI.

Pengerusinya, Profesor Dr Nor Hashimah Jalaluddin yakin perjuangan A.Samad Said itu lahir dari hati yang tulus tanpa dipengaruhi mana-mana pihak demi memartabatkan bahasa ibunda sehingga terpaksa membawa perjuangannya ke pentas politik.



Beliau berkata demikian sewaktu diminta mengulas mengenai tindakan sasterawan negara itu yang sanggup membawa isu Bahasa Melayu dalam ceramahnya di pentas Pakatan Rakyat.

"Pak Samad tidak dipengaruhi oleh sesiapa. Orang Melayu orang yang baik dan tidak pernah membantah. Jika kita lihat hikayat Hang Tuah, apa yang Sultan cakap dia akan ikut walaupun terpaksa bunuh kawan baiknya. Dan perangai orang Melayu ialah sangat menjaga hati.

"Tetapi apabila tekanan itu menimbun dan makin banyak, orang Melayu akan hilang sabar. Hilang sabar orang Melayu terbahagi kepada dua. Sama ada dia terus diam tidak mahu bercakap langsung atau dia berdemonstrasi.

"Demonstrasi bukan bermakna kita mengamuk, tetapi satu cara bantahan kepada kerajaan," katanya yang merujuk kepada tindakan tokoh bahasa termasuk A.Samad Said menyertai demonstrasi bantahan PPSMI pada 7 Mac lalu.

Nor Hashimah menegaskan apabila usaha-usaha secara berhemah yang dilakukan oleh pejuang-pejuang bahasa tidak dipedulikan, maka mereka berdemonstrasi bagi menuntut agar pengajaran matematik dan sains dikembalikan kepada Bahasa Kebangsaan.

"Seperti Pak Samad, tidak ada sesiapa yang mempengaruhinya. Dia seorang sasterawan yang menulis kerana seni. Dia bukan menulis kerana keuntungan. Tetapi kerana minat.

"Jadi, beliau sudah bercakap dengan lembut, sudah masuk cerpen dan novel tetapi tidak dipedulikan, beliau akhirnya bercakap secara terbuka seperti yang dikatakannya agar beliau mati secara bermaruah," katanya dalam temubual bersama Harakah di pejabatnya di Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sementara itu, Nor Hashimah melahirkan kekesalan dengan tanggapan sesetengah pihak menyatakan tindakan demonstrasi untuk menegakkan Bahasa Melayu adalah tindakan biadap.

Katanya, demonstrasi adalah cara untuk menunjukkan bantahan secara terang-terangan. Katanya, sikap pemerintah yang dilihat tidak serius untuk menegakkan Bahasa Melayu menyebabkan masyarakat meluahkan ketidak puasan hati dengan demonstrasi.

No comments

Powered by Blogger.