Perwakilan tolak Ong, Chua terlepas jawatan timbalan
Seramai 1,155 perwakilan mengundi menyokong usul tidak percaya terhadap Tee Keat, manakala 1,141 satu lagi menolaknya. Terdapat lapan undi rosak.
Manakala 1,184 perwakilan mengundi menolak Soi Lek dilantik semula ke jawatan timbalan presiden, manakala 1,110 perwakilan menyokongnya. Terdapat 10 undi rosak.
Bagi usul kedua, 1,204 perwakilan mengundi menolak pemecatan/penggantungan keahlian Soi Lek, manakala 1,095 menyokongnya. Terdapat 5 undi rosak.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Pengerusi mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA, Datuk Yip Phooi Hong.
Dalam reaksinya selepas itu, Tee Keat berkata beliau menerima keputusan EGM.
Menurutnya, tindakan lanjut akan dibincangkan oleh majlis presiden dan jawatankuasa pusat parti.
Ketika ditanya sama ada beliau akan meletak jawatan, Tee Keat berkata ia akan dibincangkan dalam majlis presiden dan jawatankuasa pusat.
Sebelum itu, Tee Keat dan anggota jawatankuasa pusat MCA masuk ke dewan sejurus sebelum keputusan diumumkan.
Selepas keputusan diumumkan, beliau naik ke bilik mesyuarat di tingkat sembilan bangunan MCA untuk mengadakan sidang akhbar.
Tee keat kelihatan kecewa tetapi tenang. Ditanya sama ada beliau terperanjat dengan keputusan tersebut, Tee Keat berkata:
"Saya tetap saya, anda nampak saya terperanjat?
"Dari hari pertama kita mahu menyelesaikan krisis parti melalui EGM, inilah dia dan kami menerima keputusannya."
Sebelum itu, keadaan tegang apabila kiraan semula dibuat untuk undian bagi usul tidak percaya kepada Tee Keat kerana majoritnya majoritinya hanya 20 undi atau 1 peratus.
Yip memberitahu para perwakilan, sekiranya jumlah undi sama banyak, mengikut perlembagaan parti, beliau akan mengundi bagi menentukan pemenangnya.
Beliau kemudiannya meminta perwakilan menunggu dan kedengaran bunyi laungan 'boo' dari para hadiran.
Bagaimanapun, sejurus kemudian, diumumkan oleh pengiraan undi telah tamat dan pengumuman akan dibuat pada bila-bila masa.
Seramai 2,307 perwakilan MCA mengundi dalam EGM hari ini untuk menentukan nasib dan masa depan politik Presiden Datuk Seri Ong Tee Keat dan Soi Lek.
Sebelum EGM bermula pada kira-kira 10.30 pagi tadi, pengerusi mesyuarat agung luar biasa itu, Datuk Yip Phooi Hong, mengumumkan bahawa dua daripada tiga usul telah ditarik balik.
Dua usul tersebut ialah usul membatalkan sebarang pelantikan termasuk timbalan presiden yang dibuat sebelum EGM dan tidak dikenakan tindakan disiplin terhadap penuntut EGM itu.
Yip berkata, dua usul tersebut diketepikan kerana ia tidak lagi menjadi isu.
Berikutan itu, 2,307 perwakilan MCA yang menghadiri EGM pagi ini akan mengundi tiga usul utama, iaitu usul tidak percaya terhadap Tee Keat, membatalkan keputusan majlis presiden memecat dan keputusan jawatankuasa pusat parti menggantung keahlian Soi Lek dan menerima semula Soi Lek sebagai timbalan presiden MCA.
Proses pendaftaran perwakilan selesai pada jam 10.30 pagi di mana 96.93 peratus perwakilan hadir. Seramai 73 lagi perwakilan tidak hadir.
Sehingga jam 11.08 pagi, kira-kira 70 peratus perwakilan telah selesai mengundi. Pada jam 11.44 pagi, sebahagian besar perwakilan telah selesai mengundi. Manakala Tee Keat pula mengundi pada jam 11.50 pagi.
Keseluruhan proses pengundian selesai pada jam 11.55 pagi. Proses pengiraan pengundi akan bermula selepas ini, keputusannya dijangka diketahui selepas jam 2 petang.
Lapan wakil - masing-masing dari puak Tee Keat dan Soi Lek - dilantik untuk memantau perjalanan proses pengundian pagi ini.
Tee Keat and Soi Lek tiba di ibupejabat MCA di Jalan Ampang, awal pagi untuk bersarapan bersama para perwakilan di bawah kemah yang dipasang di depan bangunan tersebut.
Kedua-dua tidak bertegur sapa. Apabila pihak media meminta mereka bergambar bersama, Tee Keat dan Soi Lek bersikap seolah-olah tidak mendengarnya.
Tiada masa ditetapkan oleh proses pengundian tiga usul berkenaan pagi ini.
Sementara itu, apabila diberitahu yang majlis makan malam anjuran Soi Lek malam tadi, lebih mendapat sambutan, Tee Keat enggan mengulas.
Bagaimanapun, para pemerhati berkata, majlis makan malam anjuran Tee Keat dan Soi Lek masing-masing mendapat sambutan.
Menurut mereka, jumlah yang menghadiri majlis makan malam Tee Keat dianggarkan seramai 1,700 orang manakala 1,500 orang menghadiri majlis makan malam Soi Lek.
Sebaliknya, penyokong Soi Lek mendakwa 1,500 orang yang menghadiri majlis makannya kesemua adalah para perwakilan.
Ekoran pemecatannya, Soi Lek tidak boleh masuk ke dewan dan hanya dilihat berlegar di luar bangunan ibupejabat MCA itu.
Sementara itu EGM kali berlangsung dengan tiga-10: bermula pada jam 10 pagi hari ke-10 bulan kesepuluh. Namun ramai pemerhati politik dalaman percaya para perwakilan telah membuat keputusan mereka.
Pertembungan antara penyokong Tee Keat dan Soi Lek ini bakal menentukan masa depan kepimpinan parti komponen kedua terbesar BN itu, yang dilanda krisis kepimpinan sejak tindakan diambil terhadap Soi Lek berkaitan skandal klip video seks.
Lembaga disiplin MCA mencadangkan Soi Lek dipecat, yang kemudiannya disahkan oleh Majlis Presiden. Ekoran keributan yang tercetus ekoran tindakan tersebut, maka jawatankuasa pusat MCA kemudiannya membatalkan pemecatan Soi Lek, dan sebaliknya penggantung keahliannya.
Turut menarik perhatian ialah kewujudan apa yang dipanggil "pasukan ketiga" yang mahukan perwakilan menolak kedua-duanya - Tee Keat dan Soi Lek dalam EGM hari ini.
Jika ini menjadi kenyataan, maka akan berulang sejarah penukaran kepimpinan MCA - di mana presiden dan timbalan presiden - melepas jawatan dan kompromi dicapai untuk melantik calon lain, bagi mengelak perpecahan yang berterusan dalam parti itu.malaysiakini
No comments
Post a Comment