Prestasi Islam di negara kita

DALAM pertemuan yang sering diadakan dengan para pelawat dari Barat, seperti pengunjung dan pengkaji dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, satu hal yang sering dinyatakan oleh mereka bahawa banyak perkara yang diterangkan kepada mereka tentang penonjolan imej Islam di negara kita tidak diketahui oleh masyarakat di AS dan Eropah. Berita-berita mengenai Islam dan masyarakat Islam sering difahami menurut gambaran yang diberikan oleh media dan daripada maklumat yang mereka fahami daripada sumber-sumber politik negara mereka yang menonjolkan gambaran negatif tentang Islam.

Satu rombongan dari AS yang mengunjungi Institut Kemajuan Islam Malaysia (IKIM) baru-baru ini memberitahu kami bahawa pada mereka, Islam itu adalah agama orang Timur Tengah. Oleh itu segala tindakan dan gambaran negatif dari daerah itu dihubungkan dengan Islam, sama ada penghayatan agama, budaya, cara hidup, corak pemerintahan dan sebagainya. Itulah Islam, dan itulah masyarakat Islam.

Mereka tidak pun mengetahui bahawa Islam merupakan agama yang dianuti oleh masyarakat terbesar di Asia, dan mereka pun tidak tahu bahawa negara yang mempunyai penduduk Islam yang terbanyak juga terletak di daerah kepulauan Melayu ini. Mereka tidak mengetahui bagaimana Islam sebenarnya dihayati dalam segala aspek kehidupan masyarakat Islam di negara kita sama ada dalam pendidikan, sosial, sains dan teknologi, alam sekitar, pengurusan ekonomi, kewangan, perniagaan dan sebagainya.

Mereka lebih mengetahui bahawa Islam itu adalah jihad dan perang sesama sendiri, memusuhi masyarakat dan agama lain, mengongkong wanita, mencabuli hak asasi manusia dan yang lebih hebatnya tidak demokratik dalam pemerintahan negara. Inilah gambaran Islam pada mereka. Maka dalam kefahaman negatif tentang Islam seperti yang digambarkan oleh mereka, tentulah Islam dan masyarakat Islam dilihat dengan penuh kehinaan dan jauh sekali daripada persepsi dunia moden yang bertamadun ini.

Bagaimanapun kami sering menegaskan kepada mereka bahawa Barat sebenarnya banyak meletakkan tekanan ke atas masyarakat Islam, sehingga masyarakat Islam ada kalanya terpaksa bertindak di luar batas-batas kemanusiaan. Tekanan yang tidak sepatutnya dilakukan kepada sesetengah negara Islam seperti mengenakan sekatan ekonomi dan sokongan yang diberikan kepada negara boneka mereka yang merampas negara dan rumah tangga masyarakat Islam, atau yang cuba menghapuskan etnik yang menganut agama Islam. Maka semuanya ini sering menimbulkan reaksi yang ganas daripada masyarakat dan negara yang ditindas itu. Rakyat yang tertindas, yang dibiarkan sakit dan kelaparan kerana tidak mendapat makanan dan ubat-ubatan, tentulah akan bertindak ganas dan tidak akan lagi menghiraukan batas-batas kemanusiaan, kerana mereka sendiri diperlakukan seperti haiwan dan hamba abdi yang tidak mempunyai harga diri.

Demikian juga rakyat yang dirampas tanah air dan rumah tangga mereka oleh kuasa penjajah baru yang disokong oleh kuasa besar Barat, maka mereka juga akan bertindak dengan segala cara untuk mendapatkan kebebasan dan menebus kembali maruah mereka yang tercemar oleh orang asing yang juga bertindak terhadap mereka di luar batas-batas perikemanusiaan.

Akibat daripada keadaan inilah maka rata-rata masyarakat Barat tidak begitu prihatin dengan segala yang berlaku dalam masyarakat dan negara Islam, kerana maklumat yang mereka tahu hanyalah berasaskan apa yang mereka baca dan dengar tentang keganasan orang-orang Islam semata-mata.

Oleh yang demikian pada pandangan mereka, orang Islam memang patut menerima tekanan dan celaan, termasuk sekatan ekonomi, sekatan ruang udara, malah tindakan yang berbentuk pembunuhan dan peperangan untuk menghapuskan mereka.

Tetapi keadaan yang sebenarnya tentang masyarakat Islam dan pembangunannya yang agak asing daripada pengalaman dan pengetahuan mereka, sering mereka dedahkan ketika menyaksikan masyarakat kita yang sungguhpun umat Islam di negara kita hanya merupakan majoriti yang kecil, tetapi mereka dapat melihat sendiri satu kelainan yang agak unik bagi masyarakat negara kita dalam pelaksanaan Islam dan penghayatannya.

Isu-isu yang sering dibangkitkan di Barat yang menyentuh kewibawaan Islam dan umatnya seperti kedudukan wanita, layanan terhadap agama dan masyarakat bukan Islam, hak asasi manusia, sistem pemerintahan yang berasaskan demokrasi, dan sistem lain yang memberikan hak dan peluang yang adil kepada seluruh anggota masyarakat, semuanya ini merupakan satu gambaran yang amat positif kepada mereka tentang toleransi Islam, nilai etika dan cara hidup Islam yang diamalkan dengan baik sekali di dalam masyarakat kita.

Saya percaya sekiranya kita terus-menerus mempertahankan nilai hidup amalan Islam yang baik seperti yang kita lakukan selama ini, maka segala gambaran tentang kebaikan Islam dan keunikannya, amatlah mudah sekali diberikan kefahamannya kepada masyarakat Barat yang selama ini amat keliru tentang Islam dan masyarakat Islam ini.

Kita sendiri sebenarnya tidak hanya memberikan gambaran tentang kebaikan Islam dan keunikannya dalam bentuk propaganda mulut sahaja, kerana kita sering dapat membuktikan kebaikan Islam itu dalam amalannya. Dalam pembentukan kerajaan umpamanya, kita dapat membuktikan toleransi Islam tentang keperluan berkongsi kuasa dan membuat keputusan secara bersama, termasuk dengan orang bukan Islam, dalam bidang ekonomi dan pelajaran. Kita dapat melihat bagaimana peluang untuk bidang-bidang tersebut terbuka luas untuk semua, malahan tentang kedudukan wanita juga mereka dapat melihat bagaimana wanita Islam di negara kita mempunyai peluang yang sama dalam masyarakat dan dalam masa yang sama sering mempertahankan cara hidup Islam di mana sahaja mereka berada.

Kita tidak hanya menonjolkan idea kepentingan ilmu pengetahuan secara lisan dengan kata-kata manis sahaja, malah kita dapat membuktikan bahawa kepentingan ilmu pengetahuan termasuk ilmu sains dan teknologi seperti yang dituntut oleh Islam sebenarnya telah kita realisasikan dalam masyarakat kita, iaitu dengan kewujudan para ilmuwan Islam dalam berbagai-bagai bidang pekerjaan, para teknologis, saintis, jurutera yang bekerja dalam bidang pembuatan, petroleum dan sebagainya.

Semua ini merupakan model orang Islam yang dinamik yang dilahirkan oleh sistem pendidikan kita yang bercirikan konsep pendidikan Islam yang sebenarnya. Pendidikan Islam tidaklah harus dikelirukan oleh pandangan yang silap, iaitu yang menganggap bahawa pendidikan tersebut hanyalah untuk melahirkan para ulama atau guru-guru agama dan imam atau bilal sahaja. Pendidikan Islam yang sebenarnya ialah pendidikan yang sanggup melahirkan orang yang berilmu, para profesional dan mempunyai keperibadian dan perwatakan agama, iaitu yang menggabungkan ilmu keduniaan dan kerohanian, dunia dan akhirat.

Atas dasar inilah nampaknya para pengkaji dari Barat sering menyatakan bahawa mereka sebenarnya mendapat pengalaman baru ketika mereka mengkaji Islam di negara kita. Banyak elemen negatif yang sering mereka temui dan baca tentang Islam di daerah lain tidak dapat mereka lihat di negara kita, dan banyak unsur baru yang sering membentuk persepsi negatif mereka tentang Islam dan umatnya yang sebenar tidak mereka temui dalam masyarakat kita.

Saya percaya kita boleh terus mempertingkatkan imej positif yang baik tentang Islam sekiranya kita benar-benar memahami perkembangan Islam di negara kita, dan terus- menerus berusaha untuk mempertingkatkan prestasinya dan mempunyai keyakinan kepada kewibawaan kita sendiri. Namun begitu, kita juga seharusnya mengakui kenyataan yang kita hadapi bahawa dalam merealisasikan keseluruhan ajaran dan nilai agama kita, maka masih banyak lagi agenda dan rencana kerja yang perlu kita lakukan bagi agama kita, di samping itu kita juga tidak seharusnya menafikan segala kemajuan yang telah kita capai selama ini.

Ingatlah kata-kata hikmat bahawa mengakui hakikat yang sebenarnya adalah lebih baik daripada berterusan berada dalam kesilapan.

e-mel: ismail@ikim.gov.my

No comments

Powered by Blogger.