SEBAB ISLAM SESEORANG BATAL

FATWA 1: SEBAB ISLAM SESEORANG BATAL
SOALAN: Apa perkara-perkara yang menyebabkan batalnya Islam atau iman seseorang?

JAWAPAN: Setiap manusia, apabila telah mengucapkan dua kalimah syahadah, maka dia menjadi orang Islam. Baginya wajib serta melakukan hukum-hukum Islam, iaitu beriman akan keadilan dan kesucian Islam. Wajib baginya berserah kepada Allah dan mengamalkan hukum Islam yang jelas, sebagaimana yang ditetapkan oleh al-Quran dan sunah. Tidak ada pilihan baginya menerima sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain. Seorang Muslim harus berserah dan tunduk kepada semua hukum yang ditetapkan, halal atau haram, seperti yang dijelaskan dalam ayat 36, surah al-Ahzab, maksudnya: Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi wanita yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan sesuatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka…

Perlu diketahui bahawa ada di antara hukum-hukum Islam yang sudah jelas menjadi kewajipan, atau yang sudah jelas diharamkan (dilarang). Selain itu, ia juga sudah menjadi ketetapan yang tidak diragukan lagi, yang telah diketahui oleh umat Islam pada umumnya atau apa yang dinamakan oleh para ulama sebagai: Hukum-hukum agama yang sudah jelas diketahui. Antaranya, kewajipan solat, puasa, zakat dan sebagainya. Ada yang jelas diharamkan seperti membunuh, zina, makan riba, minum khamar (benda yang memabukkan) dan sebagainya. Barang siapa yang mengingkari sesuatu daripada hukum-hukum tersebut, maka dia menjadi kafir dan murtad.

Ini kerana, hukum-hukum tersebut telah diterangkan dengan jelas oleh al-Quran dan dikuatkan dengan hadis-hadis Nabi s.a.w yang sahih dan mutawatir, dan sesuatu yang disepakati (ijmak) dari satu generasi ke satu generasi.

FATWA 2: MANUSIA SEMPURNA?
SOALAN: Apakah ada manusia yang sempurna?

JAWAPAN: Tiada manusia yang sempurna, kerana setiap orang mempunyai kelemahannya yang tersendiri. Seseorang yang beriman, tentu pernah melakukan kesalahan dan kesilapan serta memiliki sifat buruk yang sukar dihilangkan. Tiada orang mukmin yang murni atau sempurna. Rasulullah s.a.w pernah bersabda kepada salah seorang sahabat Baginda, Abu Dzar r.a., maksudnya: Engkau seorang yang masih ada padamu sifat jahiliyah.

Abu Dzar adalah salah seorang sahabat yang utama, termasuk antara orang pertama yang beriman dan berjihad, akan tetapi masih ada kekurangannya.

Abdullah bin Mubarak meriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib r.a. yang mengatakan sebagai berikut: Seorang mukmin itu permulaannya nampak sedikit putih dalam hatinya; setiap kali iman bertambah, maka bertambah putihlah hati itu. Begitulah seterusnya hingga hatinya itu menjadi putih semuanya.

Begitu juga dengan kemunafikan, pertama ada tanda-tanda hitam dalam hatinya; setiap kali seseorang melakukan kemunafikan, maka bertambahlah hitam hatinya, sampai hatinya menjadi hitam semua. Ini bererti, seseorang tidak dapat menjadi sempurna imannya atau munafik sekali gus, tetapi bertahap, yakni sedikit demi sedikit.

SUMBER: Dr. Yusuf al-Qardhawi.

No comments

Powered by Blogger.