Sultan Selangor Ingatkan Agar Masjid Tidak Dijadikan Gelanggang Politik

SHAH ALAM, 26 Okt (Bernama) -- Sultan Selangor pada Isnin mengingatkan pegawai masjid dan jawatankuasa kariah masjid di negeri ini agar mempastikan masjid tidak digunakan pihak tertentu sebagai gelanggang politik yang boleh menyakiti dan memecahbelahkan perpaduan ummah.

Baginda juga mengingatkan orang Islam menghentikan percakapan berunsur cacian, memfitnah, menyakiti hati dan menghina Islam ketika di dalam masjid.

"Selain itu, semua orang Islam khususnya orang Melayu juga perlu sentiasa mengeratkan perpaduan dan persefahaman," titah Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui kenyataan media oleh Setiausaha Sulit baginda Datuk Mohamad Munir Bani di sini.

Baginda juga mengingatkan agar masjid tidak dijadikan sebagai hotel, rumah tumpangan atau tempat penginapan.

Selain itu baginda menitahkan bahawa penceramah di masjid perlu mempunyai tauliah.

Mana-mana pihak yang mengajar tentang agama Islam tanpa tauliah adalah melakukan kesalahan yang boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Ini adalah antara peringatan baginda kepada pegawai masjid dan jawatankuasa kariah masjid.

Dalam pada itu, baginda turut menitahkan bahawa pihak yang menghina kuasa yang sah, atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah dan arahan Sultan selaku Ketua Agama Islam, MAIS dan mufti adalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12 (a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Kesalahan itu membawa hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

MAIS telah menyediakan saluran aduan bagi orang awam melaporkan salah laku berkaitan titah baginda melalui beberapa saluran antaranya hotline Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di talian 1-800-88-2424, khidmat pesanan ringkas (sms) ke 019-6565400 atau laman web MAIS di www.mais.gov.my.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.