Tian Chua Kekal Ahli Parlimen Batu

SHAH ALAM, 25 Okt - Kedudukan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dari parti PKR bakal diketahui setelah beliau mengemukakan rayuan tuduhan terhadapnya kepada Mahkamah dalam masa terdekat.

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur sudah menjatuhkan hukuman 6 bulan penjara dan denda 3 ribu ringgit ke atas Tian Chua pada 22 Oktober lalu.

Sehingga keputusan rayuan Pengarah Biro Strategik PKR itu diketahui nanti, kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Batu masih kekal.

Ramai pihak berpendapat hukuman yang dikenakan terhadapnya bersifat politik bagi menggugat Pakatan Rakyat.

“Keputusan masih mahu menjatuhkan hukuman sebanyak 6 bulan penjara ataupun 3 ribu ringgit yang mana akan menyebabkan YB Tian Chua kehilangan kelayakan sebagai ahli parlimen dan saya rasa adalah keputusan bersifat politikal sebab kita nampak bukan YB Tian Chua tetapi ramai wakil rakyat Pakatan Rakyat termasuk juga Ketua Umum, Parti Keadilan Rakyat, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mana kes beliau dibicarakn tidak lama lagi. Jadi kita menjangkakan akan banyak lagi kes seperti ini supaya guna cara ini sebagai cara untuk melemahkan atau menjatuhkan Pakatan Rakyat”, kata ADUN Rawang, Gan Pei Nei.

Adun Rawang ini berkata demikian kepada Tv Selangor selepas merasmikan Majlis Sambuatan Hari Raya dan Deepavali di kawasannya hari ini.

Bagaimanapun sekiranya rayuannya ditolak, kerusi Parlimen Batu terpaksa dikosongkan untuk memberi laluan kepada Pilihanraya Kecil kawasan terbabit.

“Memandangkan beliau sudah mendapat penggantungan perlaksanaan dan beliau mempunyai hak untuk merayu ke Mahkamah Tinggi, maka jawatan beliau sebagai wakil rakyat tidak boleh dilucutkan dengan serta merta”, M. Manoharan.

Ahli Dewan Negeri Kota Alam Shah, M. Manoharan berkata demikian ketika dihubungi melalui telefon di Shah Alam hari ini.

Beliau menambah, hukuman yang dijatuhkan ke atas Tian Chua itu tidak adil walhal tertuduh tidak dibuktikan mencederakan anggota polis terbabit.

Mengulas isu yang sama, Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen berkata PKR tidak gentar dengan serangan politik ini, bahkan parti itu mengalu-alukan pilihanraya baru diadakan di Parlimen Batu.

“Kita mendesak sebagai satu cara di mana Barisan Nasional mengambil kesempatan untuk menggugurkan keahlian ADUN dan MP kita, dan kita merayu kepada pihak berkuasa jangan jadikan satu alat Barisan Nasional”, kata Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

No comments

Powered by Blogger.