Tok Guru Nik Aziz dan Anwar Ibrahim ajak pengundi tolak PERASUAH di Bagan Pinang

KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS, Dato' Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyeru anggota tentera yang terlibat dalam pengundian pos dalam Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang, 11 Oktober ini bertindak sebagai perwira yang gagah perkasa di medan tempur, berani menentang rasuah, kezaliman dan parti yang menolak Islam dengan mengundi calon PAS.

Tok Guru dalam satu perutusan khas kepada pengundi Bagan Pinang, meminta pengundi pos di kalangan tentera membuktikan slogan "satu peluru satu musuh" diamalkan dengan tidak membazirkan walau satu undipun untuk menzahirkan kebenaran.

"Sebagaimana kita gunakan jari untuk memangkah, hanya satu picu ketika melepaskan satu das tembakan kepada seorang musuh, maka gunakan satu undi yang ada pada setiap orang dari tuan-tuan (tentera) untuk diberikan kepada parti bulan," tegas beliau yang juga Menteri Besar Kelantan.

Katanya, dengan satu undi itu, para pengundi pos boleh berkata dengan tegas di akhirat nanti bahawa "Ya Allah aku sewaktu di Bagan Pinang dahulu telah mengundi sebuah gerakan Islam untuk mendaulatkan Islam." Oleh itu undilah PAS, undilah Islam dan Pakatan Rakyat demi kebahagiaan di akhirat, tegas beliau.

Tok Guru Nik Aziz berkata, dalam medan perang anggota tentera memburu dan memerangi musuh, dan dalam pilihan raya pula, mereka hanya perlu menolak parti sekular.

"Jika tuan-tuan berani menghadapi peluru, dalam pilihan raya takkan tak berani memangkah bulan? Sesungguhnya gerakan dan ugutan dari Umno sudah tidak ditakuti oleh rakyat. Rakyat di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor serta Perak telah berani bersama PAS," ujarnya lagi.

Beliau bertanya, kenapa nak disusahkan dengan soal pembangunan sedangkan duit membuat pembangunan itu adalah duit rakyat dan bukannya duit BN. Maka menjadi tanggungjawab siapa yang memerintah, akan buat pembangunan untuk rakyatnya.

"Jika dalam perang kita guna senapang, dalam pilihan raya kita guna pensil dan kalam. Kehidupan tuan-tuan seharian semuanya bergadai nyawa melibatkan persiapan berupa kawat dan perbarisan, peluru dan senjata, senapang dan M16. Termasuk juga bom, letupan, jip, trak, kereta kebal, dan kapal selam.

"Di hujung niat tuan-tuan, tentu sekali tidak ada yang lain selain dari hidup dan matiku kerana Allah. Seperti yang diucap dalam doa iftitah setiap kali sembahyang: "Inna solati wanusuki wa mah yaa ya, wa maa ma ti lillah hi rabbi alaami."

Inilah unsur keikhlasan dan kesucian niat tegas Tok Guru Nik Aziz, yang boleh membawa kepada syahid dan syuhada jika ditakdirkan mati terkorban ketika menjalankan tugas.

Sementara itu, Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Rakyat sebagai sebuah permuafakatan yang dianggotai PAS, KeADILan dan DAP bercita-cita membawa kemakmuran, kesejahteraan serta membanteras rasuah agar sirna dari tanah air ini.

Katanya dalam satu kenyataan, pilihan raya kecil Bagan Pinang merupakan pentas buat rakyat menghantar mesej yang jelas kepada Umno/BN, mahukan perubahan dalam pentadbiran yang lebih telus.

"Sesungguhnya rakyat Malaysia termasuklah pengundi Bagan Pinang telah menzahirkan keberanian dan iltizam mereka untuk membina masyarakat majmuk yang hidup dalam kerukunan dan kedamaian.

"Fitnah perkauman sempit pastinya tidak akan meredakan merudumnya kredibiliti pentadbiran sekarang, malah hanya akan menjejaskan kedudukan ekonomi negara," katanya.

Maka berwaspadalah dengan fitnah dan helah tipudaya mereka. Jentera Pakatan Rakyat perlu siap siaga, jangan anggap enteng tanpa musuh nyata, katanya.
"Bekerjalah dengan ikhlas dan sekuat daya", katanya.

Pilihan Raya Kecil bagi Dun Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohammad Noor, 54 pada awal September lalu akibat jangkitan dalam darah.

Pada 11 Oktober ini, pengundi Bagan Pinang akan memilih wakil rakyat mereka. Sementara itu, pengundian pos akan dilangsungkan pada 8 Oktober, dua hari sebelum itu.

PAS mempertaruhkan Pesuruhjayanya, Zulkefly Mohamad Omar sementara BN mengitar semula bekas Naib Presidennya yang pernah sabit kesalahan rasuah, Tan Sri Isa Samad.

Pada pilihan raya umum lalu, PAS melalui calonnya Ramli Ismail mendapat 4,097 undi berbanding BN meraih 6,430 dengan majoriti 2,333 undi. Jumlah ini amat ketara bezanya dengan keputusan Pilihan Raya Umum 2004. PAS hanya mendapat 1,556 undi manakala BN memperolehi 5,967 dengan majoriti undi 4,411.TARMIZI

1 comment

9MOVIES said...

Hi, what a wonderful to be here !
your site is great, you have a good job.

so could you exchange my link?
here is my site: http://khmerlovekhmer.org/

I hope we can sharefriendship
Any way, it is an honor if you could link my site in your blog.
Please let me khnow if you link me at http://khmerlovekhmer.org/
My best regards,
world news

Powered by Blogger.