Cerita buat Tok Guru Nik Aziz

Alkisah Seorang Guru

Cikgu Nik Kamal merupakan seorang guru yang cukup terkenal dengan sikap dedikasi dan adil dalam tugas pengajarannya. Bagi beliau, tanggungjawab yang dipikul oleh seorang guru amatlah besar dalam proses pembinaan masyarakat dan negara.

Setiap murid yang diterimanya harus dididik dan dipimpin dengan baik. Bukan itu sahaja, beliau turut menganggap setiap murid yang gagal dididiknya dan keterlanjuran menjadi sampah masyarakat sehingga merugikan negara sebagai satu dosa yang besar. Oleh yang demikian, selain memastikan murid-muridnya memahami apa yang diperlukan untuk lulus ujian dengan cemerlang, beliau juga memberi tumpuan khusus kepada pembinaan akhlak dan rohani agar kesemua muridnya akan menjadi manusia yang berguna dan berbakti kepada masyarakat dan negara dewasa kelak.

Reputasi baik cikgu Nik Kamal sebagai seorang guru cemerlang tidak datang dalam masa sehari dua. Cikgu Nik Kamal tidak pernah dituduh pilih kasih dalam memberikan ganjaran, penandaan kertas ujian mahupun memberikan hukuman. Murid-murid, rakan guru-guru dan ibu bapa sangat menghormatinya kerana kagum dengan kebolehan mengajarnya di samping sikapnya yang adil, saksama dan tegas terhadap murid-muridnya.

Namun segalanya berubah apabila anak sulung beliau, Nik Kamil ditawarkan belajar di sekolah yang sama. Tanpa disedarinya, guru besar sekolahnya telah membuat keputusan untuk meletakkan Nik Kamil di dalam kelas bimbingannya kerana mempercayai beliau dapat bertindak adil terhadap anaknya sebagaimana murid-murid yang lain.

Pada peringkat permulaannya, cikgu Nik Kamal berasa amat gembira dengan berita tersebut. Beliau yakin bahawa di bawah bimbingannya, anaknya akan berpeluang menjadi pelajar paling cemerlang di sekolah penghujung tahun nanti. Sekiranya itu menjadi kenyataan, beliau percaya beliau akan turut dianugerahkan sebagai "guru cemerlang", dan ini sudah tentu akan menjadi kenangan yang amat manis bagi keluarga beliau.

Harapan cikgu Nik Kamal ternyata meleset seminggu selepas sesi persekolahan bermula. Desas-desus sudah mula kedengaran daripada murid-murid di dalam kelas bimbingannya bahawa beliau sentiasa memberikan tumpuan yang lebih terhadap anaknya semasa mengajar di dalam kelas. Murid-murid mula mengadu kepada guru-guru subjek yang lain bahawa mereka merasa seperti dianak-tirikan oleh cikgu Nik Kamal. Setahu Nik Kamal, beliau melayan semua muridnya dengan sama, namun ada ketikanya beliau mengakui beliau menjawab soalan-soalan yang diajukan anaknya dengan lebih mesra berbanding murid yang lain secara tidak sedar. Maklumlah, Nik Kamil itu anaknya, sudah tentulah cara percakapan antara mereka lebih mesra, takkan itu pun nak didengkikan, bisiknya di hati. Beliau memilih untuk bersabar dan menganggap semua ini hanya permainan fitnah budak-budak semata-mata.

Nik Kamil ialah seorang murid yang bijak dan pandai, bak kata pepatah bapa borek anak rintik. Semua kerja sekolahnya dihabiskan dengan baik dan cermat. Rakan-rakan guru Nik Kamal turut sama memuji ketekunan dan kebijaksanaan anak sulungnya itu. Oleh sebab itu, kekadang anaknya melakukan kesalahan-kesalahan kecil, rakan-rakan gurunya tidak menghukum seperti mana hukuman setimpal yang dialami murid-murid yang lain. Ini secara tidak langsung menimbulkan lagi tahap cemburu murid-murid lain terhadap anaknya yang disangka mereka kebal daripada tindakan disiplin kerana dia merupakan anak kepada seorang guru yang terhormat.

Fitnah terhadap anak sulung Nik Kamal bukan setahap itu sahaja. Setiap kali anaknya mendapat markah tertinggi di dalam peperiksaan, rakan-rakan murid anaknya akan menuduh bahawa cikgu Nik Kamal telah memberikan soalan bocor kepada anaknya terlebih awal. Ada juga sebilangan ibu bapa murid-murid yang tewas tipis dalam keputusan ujian kepada anaknya turut mengadu perkara yang sama kepada guru besar akibat termakan fitnah anak-anak mereka tak berasas.

Sesekali cikgu Nik Kamal cuba menjelaskan perkara ini bahawa keputusan cemerlang anaknya adalah hasil usahanya sendiri dan bukannya kerana mendapat soalan bocor seperti yang difitnah, namun beliau gagal mengikis tanggapan bahawa beliau pilih kasih dalam mempertahankan keputusan cemerlang anaknya. Fitnah yang semakin menjadi-jadi ini juga menyebabkan kewibawaan dan akhlak Nik Kamal turut mula dipertikaikan oleh rakan-rakan guru sekolahnya. Walaupun guru besar masih mempercayainya, akan tetapi imejnya sebagai guru yang cemerlang semakin terhakis di kalangan ibu bapa murid-murid dan rakan-rakan guru sekolahnya itu.

Cikgu Nik Kamal berasa teramat sedih dengan peristiwa yang berlaku. Kegembiraan dan kebahagiaan keluarganya juga terjejas kerana emosi beliau semakin terganggu dan anaknya sering kemurungan akibat fitnah-fitnah dengki yang berlaku di sekolah. Keputusan cemerlang anaknya tidak lagi menjadi peristiwa yang menggembirakan untuk keluarga cikgu Nik Kamal sebaliknya menjadi perkara yang mendatangkan fitnah semata-mata.

Disebabkan marah dan tidak puas hati dengan situasi yang berlaku, Nik Kamil mula bermain politik di sekolah dengan memanipulasi kepercayaan sebilangan guru yang menyayanginya untuk sengaja menyusahkan rakan-rakan yang dipercayai memfitnah dia dan bapanya sebagai tindakan membalas dendam. Tindak-balas ini menyebabkan Nik Kamil semakin diboikot oleh rakan-rakan sekolahnya. Sejak itu, segala tindak-tanduk Nik Kamil mula diperhatikan secara ketat oleh rakan-rakan yang ditikamnya. Segala kesilapan dan keterlanjuran kata-kata oleh anaknya akan dijadikan bukti untuk diadukan kepada rakan-rakan guru yang tidak sehaluan dengan bapanya bagi tujuan memalukan bapanya di hadapan guru besar. Nik Kamil tidak menyedari bahawa tindak-tanduknya menambahkan lagi tekanan kerja dan politik sekolah terhadap bapanya sendiri.

Akibat desas-desus yang semakin liar, akhirnya, cikgu Nik Kamal dipanggil guru besar untuk berjumpa dengannya untuk menyelesaikan kemelut politik yang sering mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Cikgu Nik Kamal terkejut apabila guru besar berkata beliau sendiri memikul tanggungjawab yang besar dalam kemelut ini kerana kegagalannya dalam memahami hati manusia.

Menurut guru besarnya lagi, lazimnya beliau tidak akan mengizinkan anak-anak guru di sekolahnya untuk belajar di sekolah yang sama kerana ia senang menimbulkan fitnah yang boleh mengganggu ketenteraman sekolah. Akan tetapi, kali ini beliau mengizinkannya kerana beliau beranggapan bahawa dengan reputasi cikgu Nik Kamal yang baik sepatutnya masalah fitnah ini tidak akan timbul.

Namun, beliau akhirnya akur bahawa sesiapa sahaja, tidak kiralah sebelum ini beliau dilihat sebersih manapun, tidak mungkin akan dapat lari daripada fitnah kerana sifat dengki dan cemburu manusia senantiasa wujud pada satu-satu masa. Sifat cemburu dan dengki ini mudah menimbulkan fitnah sekiranya kita membuka pintu yang menggalakan fitnah apabila urusan keluarga mula dicampur-adukkan bersama urusan kerja seseorang.

"Adalah susah untuk orang lain melihat kita bertindak adil sekiranya sesuatu perkara atau keputusan itu melibatkan ahli keluarga sendiri walaupun sememangnya kita boleh bertepuk dada tanya selera bahawa kita telah bertindak adil. Di sinilah kelemahan insan yang bernama manusia ini dan inilah yang harus kita elakkan untuk menghindari fitnah yang mungkin datang," kata guru besar kepada cikgu Nik Kamal.

Tambah beliau lagi, "Kemelut yang timbul di sekolah kali ini adalah akibat kecemburuan dan kedengkian murid-murid lain terhadap anak cikgu, Nik Kamil. Perkara ini tidak akan timbul sekiranya Nik Kamil tidak berada di sekolah yang sama dengan cikgu."

Kata-kata guru besar bagaikan satu wake-up call buat cikgu Nik Kamal. Demi kebaikan anak, kegembiraan keluarga, kerjaya dan sekolah, cikgu Nik Kamal mengambil keputusan untuk menukarkan anaknya ke sekolah lain secepat yang mungkin........

Dan seperti yang dijangkakan oleh guru besar, keadaan di sekolah pulih seperti sediakala dalam masa sebulan dua... tiada lagi fitnah yang melulu, tiada lagi perbalahan yang remeh-temeh, tiada lagi pertikaian terhadap kredibiliti beliau sebagai guru yang adil dan saksama; dan yang paling menggembirakan, akhirnya keluarga cikgu Nik Kamal boleh berbangga dengan pencapaian cemerlang Nik Kamil yang akan datang kerana tiada lagi orang yang memperlekehkan keputusan cemerlang anaknya lagi...

-------------------------------
Li Fook Gao @ Tohkong Mosjid

Diharap cerita ini dapat memberi sedikit sebanyak pedoman buat Tok Guru yang disayangi. Ada kalanya pemain bola lupa di mana mereka berada sebenarnya di padang kerana terlalu memokus kepada bola yang ada pada kaki lawan..... Semoga sihat senantiasa, Tok Guru.

No comments

Powered by Blogger.