Masuk PKR Sebab Nak Dapat Habuan Dan Projek

SHAH ALAM, 22 Jan - Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Muda, Shuhaimi Shafie meluahkan kekesalannya apabila terdapat segelintir pendukung Pakatan Rakyat khususnya Parti Keadilan Rakyat yang memasuki parti untuk mendapatkan projek dan habuan tertentu.

Amalan tersebut yang dipraktikkan Umno-Barisan Nasional perlu dihentikan segera kerana ia jelas menyalahi prinsip parti yang menjunjung perlembagaan negara, ketelusan dan kebertanggungjawaban.

“Jadi ahli parti mengharapkan mereka masuk parti ialah untuk mendapatkan projek, untuk mendapatkan sesuatu, maka tidak ada bezanya kita dengan kerajaan lama, kita mesti masuk parti ini kerana kita mempunyai semangat untuk mengubah, melakukan perubahan, melakukan sesuatu itu berdasarkan peraturan dan undang-undang dan di dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh perlembagaan”, tegasnya.

Beliau bercakap kepada wartawan SelangorKini yang ditemui di pejabatnya di Kota Kemuning baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan agar ahli-ahli parti terbabit supaya mengikis semua amalan kerajaan terdahulu dengan membetulkan semula niat perjuangan dan menegakkan keadilan kepada rakyat.

“Pemikiran atau budaya yang diamalkan oleh pendukung-pendukung kerajaan lama saya harap sangat tidak diserapkan di dalam pendukung Pakatan Rakyat, masuk parti bukan kita nak dapatkan sesuatu, kita masuk parti kerana kita sama-sama ingin memperjuangkan dan menegakkan keadilan kepada rakyat yang mana intipatinya adalah berasaskan kepada 17 dasar Parti Keadilan Rakyat yang kita sama-sama dukung”, jelasnya lagi.

Sekiranya sindrom ini dibiarkan berleluasa kelak boleh menjejaskan matlamat asal perjuangan parti sekaligus melunturkan kepercayaan rakyat kepada Pakatan Rakyat selaku pemerintah di Selangor.

“Kepada mereka yang berada dalam Pakatan Rakyat, khususnya ahli-ahli Parti Keadilan Rakyat mereka mesti faham visi itu sebab saya perhatikan ada yang dah lama dalam parti pun pemikirannya macam itu juga, dia tidak begitu menghayati apa yang sebenarnya keadilan nak dan ini berbahaya kepada perjuangan parti untuk jangka masa panjang”, tambahnya lagi. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

No comments

Powered by Blogger.