Zaid Ibrahim: Kepada Khalis Samad




Khalid Samad dari PAS adalah seorang pemimpin politik yang saya hormati kerana beliau berani mempertahankan perkara atau prinsip yang benar walau pun mungkin ada orang anggap ia akan rugi dari segi politik. Itulah yang membezakan ahli politik yang ada intelek dan integriti dengan orang politik yang bersifat murahan dan oportunis. Orang yang rakus biasanya tak faham isu yang diperkatakan, atau kalau pun dia faham isu, orang jenis itu akan terus berdrama dan berlakon untuk mendapat sokongan orang ramai dengan diperalatkan melalui ucapan sensasi dan penuh emosi.

Saya melihat Khalid sebagai seorang manusia yang berani apabila beliau mengatakan Enakmen Agama Islam Selangor 1988 yang membuat larangan penggunaan perkataan-perkataan seperti ilahi, nabi, wahyu, masjid dan sebagainya kepada orang bukan Islam adalah tidak lagi sesuai dan perlu rombakan. Cadangan bernas beliau sebaliknya telah memberi ruang kepada kumpulan NGO Islam untuk membuat laporan polis terhadap Khalid atas alasan kononnya menghina Islam dan Sultan. Inilah reaksi kumpulan yang tidak biasa dengan muzakarah dan musyawarah serta perbezaan pendapat. Mereka hanya mahu Khalid dihukum dan ditutup mulut dan mindanya. Usaha untuk memahami dan membincangkan pandangan beliau tidak penting langsung bagi kumpulan NGO Islam. Yang penting bagi mereka, Khalid mesti dihukum.

Sebenarnya maksud Khalid, pada hemat saya, adalah begini: Larangan terhadap orang bukan Islam daripada menggunakan perkataan tertentu oleh Majlis Agama Islam di mana-mana negeri sekali pun mestilah difahami dalam kontek sabenar. Apa pun prinsip atau peraturan mesti dilihat dan dikaji dalam kontek tertentu. Kontek larangan untok orang bukan Iswlam dari menggunakan perkataan tertentu mesti dilihat dari kontek larangan Perlembagaan Persekutuan yang tidak membenarkan orang agama lain memujuk dan berusaha untok “convert “ atau menukar agama Islam itu. Jadi tujuan Enakmen itu ialah secucok dengan dan berasaskan kepada Perlembagaan Persekutuan. Undang-undang negeri termasuk Enakmen Islam tidak sah kalau ia melanggar undang-undang Persekutuan. Di bawah Perlembagaan kita memang orang dari agama lain tidak dibenarkan memujuk atau mempengaruhi orang Islam untuk peluk agama mereka. Ini larangan yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan. Jadi kalau mereka berniat nak pujuk atau dakwahkan agama mereka kepada orang Islam, maka sebab itulah mereka tak boleh gunakan perkataaan yang diwartakan di bawah Enakmen itu.

Maksudnya larangan menggunakan perkataan yang disenaraikan itu termasuk nama Allah hanyalah dalam konteks apabila seseorang itu cuba mempengaruhi orang Islam. Sebagai contoh, jika seorang paderi atau sami yang beberapa kali bertemu dengan seorang Islam memperkatakan tentang bagaimana agama Kristian itu sesuai dengan sanubari si polan Islam itu dengan menggunakan perkataan Allah, nabi dan wahyu, maka di situlah asas larangan yang sah. Ini adalah kerana perkataan itu digunakan dalam konteks untuk menarik orang Islam menukar agamanya. Itu lah maksud Enakmen itu.

Tetapi penggunaan perkataan Allah, wahyu, nabi, masjid dan sebagainya dalam konteks percakapan biasa tidak boleh dilarang. Contohnya, kalau anak Ah Chong menyanyikan lagu negeri Selangor atau Johor yang memohon Allah melanjutkan usia Sultan atau Sami Velu bertanya jirannya “Ahmad, kamu nak ke masjid ke petang ini?”, maka itu tidak boleh menjadi kesalahan. Mana ada undang-undang dalam dunia yang sah boleh melarang orang awam menggunakan sesuatu perkataan. Apa asas larangan itu? Apa rasa orang Melayu kalau orang India kata jangan gunakankan nama Iswara pada kereta Proton kerana Iswara adalah salah satu nama tuhan Hindu? Begitu juga jika orang Melayu diminta jangan menggunakan perkataan Sanskrit seperti syurga, neraka, dosa, pahala dan sebagainya.

Jadi Khalid memang patut dipuji kerana mahu menegakkan kebenaran. Kerana mahu memperjelaskan dan kemaskini Enakmen itu. Orang Islam kena faham apa tujuan larangan itu dan apa tujuan Enakmen yang tidak jelas itu. Kumpulan NGO Islam sepatutnya menyokong usaha supaya Ebnakmen 1988 itu diperkemas dan diterangkan dengan jelas . Barulah orang kata kita orang Islam ini faham agama sendiri dan faham undang undang Negara.. Jika ikut sentiment dan emosi dengan menolak kebenaran, maka jangan salahkan orang lain jika mereka tuduh orang Islam takut kepada bayang bayang. Takut kapada dialog dan diskusi, dan hanya suka hukum orang saja. Samoga Khalid menang lagi di Selangor
http://myzaidibrahim.wordpress.com/

No comments

Powered by Blogger.