Kes bunuh 4 sekeluarga: Polis cari beberapa saksi

SEREMBAN: Polis kini mencari beberapa lagi saksi bagi membantu siasatan kes pembunuhan empat sekeluarga di Kampung Batang Rokam, Gemencheh, minggu lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, berkata sehingga kini polis sudah menyoal siasat 15 saksi dan yakin kes itu dapat diselesaikan tidak lama lagi.

“Polis juga akan memohon tempoh reman terhadap suspek utama kes itu dilanjutkan selama tujuh hari lagi,” katanya pada perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Tempoh reman tujuh hari terhadap suspek berusia 34 tahun itu, yang ditahan Selasa lalu, berakhir esok.

Dalam kejadian 5 Januari lalu, empat orang terdiri daripada sepasang suami isteri warga emas serta menantu lelaki dan cucu perempuan mereka ditemui mati dalam keadaan ngeri di kampung yang terpencil itu. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.