Maksimumkan kekuatan orang Melayu

Oleh DATO’ SALLEH MAJID

MASA mula meninggalkan kita. Kita, orang Melayu. Jadi untuk tidak ketinggalan, kita perlu berusaha berlipat kali ganda. Kita perlu memberi tumpuan kepada bidang yang kita ada . Lagipun kita bukan ada kekuatan dalam semua bidang.Contohnya bidang pembinaan. Dengan lebih kurang 40,000 kontraktor kelas F, apa yang boleh kita katakan? Kalau ada beberapa kerat dalam kelas A, di mana mereka mendapat bekalan bahan?



Kita tidak menguasai rantaian bekalan bahan binaan. Harga bahan tidak dapat dikawal selain yang sedia dalam senarai kawalan.Kalau ada kenaikan, kos projek juga berubah. Permohonan untuk mengubah kos (variation cost) perlu dibuat dan akhirnya boleh mengurangkan keuntungan.

Amalan menyerahkan kerja kepada sub kontraktor juga berleluasa, tak tahulah berapa peringkat. Sub kontraktor terakhir mungkin dapat untung sikit sangat jadi dia pula akan “potong sana potong sini”.

Itu yang membuatkan bumbung roboh, dinding berkulat dan runtuh.

Kalau kita amati, kita ada kekuatan dalam bidang perkapalan dengan adanya syarikat seperti MISC. Penerbangan – AIROD. Minyak dan gas, kewangan, perundingan, motivasi dan jualan langsung.

Ada syarikat jualan langsung menghebahkan berjaya membentuk beratus jutawan. Dalam bidang kreatif seperti animasi kita juga mula mempunyai kekuatan dengan adanya syarikat Les Copaque dan Lensa. Bidang fesyen pula ramai lulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) berjaya sebagai pereka terkenal. Begitu juga di bidang pertanian moden.

Dalam bidang penerbangan kita mempunyai anak-anak muda yang memiliki asas teknikal seperti kejuruteraan. Mereka boleh dilatih untuk menjadi pembantu yang lebih cekap dan mahir. Ramai yang berpengalaman ini diambil bekerja oleh syarikat-syarikat antarabangsa.

Industri penyenggaraan di Asia Barat juga lebih gemar menggajikan orang kita daripada Barat kerana pekerja Barat mahu bayaran berlipat ganda.

Dengan adanya asas yang kukuh, bidang-bidang ini boleh dijadikan nukleus untuk melipatgandakan penguasaan kita. Mungkin ada bidang yang memerlukan sedikit bimbingan lanjutan dan ia boleh didapati dengan membawa masuk teknologi luar.

Sekian lama kita memberikan tumpuan kepada penguasaan ekuiti dan ia bukan sesuatu yang kita boleh menang.

Sebabnya kita banyak bergantung kepada agensi kerajaan untuk menyumbang ke arah penguasaan angka yang lebih besar. Sedangkan bangsa lain perkembangannya semakin meningkat. Daripada penguasaan individu ke tahap lebih tinggi dan daripada suatu bidang ke bidang lain.

Kalau kita perhatikan, dalam apa jua bidang yang memperlihatkan kekuatan, mereka mempunyai sistem. Sistem beginilah yang diperlukan oleh petani dan nelayan mereka. Tanpa sebarang sistem, sesuatu keadaan tidak dapat dikawal dan nelayan atau petani tadi akan terus duduk dalam kitaran yang mengancam.

Tahun baru azam baru. 2010 menjanjikan jutaan harapan kepada rakyat Malaysia. Kerangka Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) adalah contoh keterbukaan kerajaan.

Tahun depan juga menjanjikan permulaan kepada Model Ekonomi Baru (MEB) bertujuan menyusun semula struktur ekonomi supaya tidak ketinggalan dalam persaingan. Kedudukan kita yang ke-24 untuk tahun lalu bukan boleh dibanggakan.

Selaku negara yang ingin mencapai taraf perindustrian sepenuhnya, kita ingin lari daripada terjerat dengan pendapatan pertengahan. Salah satu ciri MEB ialah peningkatan kepada pendapatan tinggi iaitu dalam lingkungan AS$17,000 seorang. Ia dua kali ganda daripada sekarang.

Banyak perkara perlu dilakukan untuk mencapai tahap tersebut. Misalnya kita menuntut pelbagai hab di negara ini. Hab halal, pelancongan perubatan, pendidikan dan pelbagai lagi.

Hab-hab ini adalah pusat utama gerakan kemajuan. Namun sesuatu bidang perlu dimajukan lagi kerana banyak yang ada kaitan dengan sektor perkhidmatan yang telah diliberalisasikan Julai dahulu.

Kemelesetan di pasaran saham kita juga memerlukan suntikan fizikal dan semangat. Tidak cukup dengan bertambahnya jumlah syarikat dari China sahaja.

Langkah kerajaan melepaskan pegangan dalam syarikat GLC supaya meningkat kecairan dalam pasaran dan lebih banyak peluang untuk pelabur sahaja tidak mencukupi. Kita juga perlu menambah tawaran selain daripada ekuiti dalam pasaran. Di sini opsyen stok boleh dipertimbangkan dan juga Dana Dagangan Bursa dalam emas.

Penjaga jamin yang boleh diminta untuk mempastikan instrumen ini boleh diniagakan mungkin boleh terdiri daripada Lembaga Tabung Haji, Tabung Angkatan Tentera atau PNB sendiri .ETF Emas ini penting kerana 30 peratus daripada dagangan emas dunia berlaku di ETF di bursa dunia.

Akhir sekali apa jua langkah yang bakal diambil untuk meletakkan kita di persada utama dunia ialah penyelesaian ke atas masalah-masalah yang membelenggu kita seperti jenayah, rasuah serta kerenah birokrasi.

Kita melihat ke arah KPI yang betul-betul menyediakan “kayu dan carrot” untuk mereka yang betul-betul berjaya diiktiraf dan mereka yang tidak mencapai matlamat mesti dikenakan tindakan sewajarnya.

Negara kita kaya dengan sumber alam dan ia perlu digembleng supaya mendapat faedah optimum. Tidak guna kalau ada uranium sekali pun jika ia kekal di dalam tanah. Tidak guna bercakap pasal bioteknologi jika tidak memanfaatkannya.

Kita harap percaturan politik negara tahun depan akan berkurangan dan tumpuan sama-sama diberi untuk meningkatkan kemajuan negara. Ramai ahli politik kita membuktikan kemahiran berpolitik tetapi apakah kos kemahiran mereka itu?

Bagi orang Islam ingatlah akhirat tetap datang. Hari pembalasan tetap ada. Pemimpin akan diadili dahulu. Lainlah kalau ada yang sudah tidak percayakan Tuhan.

DATO’ SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

No comments

Powered by Blogger.