Polemik kalimah Allah akibat fahaman politik suku

Oleh Mohd Zuharman

KOTA BARU, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan polemik membabitkan penyokong parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan sejak Khamis lalu berhubung isu penggunaan kalimah "Allah" bagaikan adanya muslihat di sebalik tindakan mereka.Sehubungan itu kata beliau, kekeliruan yang wujud berhubung isu tersebut sebenarnya berpunca daripada fahaman "politik suku agama suku."


“Sehari dua ini timbul pasal kalimah ‘Allah’, Kristian boleh guna atau tidak. Dalam surat khabar bermacam-macam melaporkan mengenainya. Apa benda ni?
“Ambo (saya) rasa isu ini bukan sahaja setakat ada udang di sebalik batu, bahkan bekali (mungkin) ada buaya,” kata beliau sewaktu menyampaikan ceramah umumnya di Medan Ilmu malam tadi.

Kini tercetus kontroversi penggunaan kalimah "Allah" ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penggunaannya dalam penerbitan akhbar mingguan Herald.

Menteri Besar Kelantan ini berkata beliau hairan kumpulan yang mengkritik penggunaan kalimah “Allah” daripada digunakan oleh agama lain adalah dari kumpulan yang selama ini membezakan politik suku agama suku.

“Yang beriya-iya sangat panaskan perkara ini... faham ke kamu apa itu Allah?

"Bukankah Allah itu adalah tukang yang buat segala-gala. Buat manusia, berbagai kaum berbagai bangsa, berbagai agama. Buat oksigen, hidrogen dan lain-lain.

“Orang yang perbesar-besarkan isu ini adalah orang yang duk katakan agama suku politik suku lah.

"Siapa ajar ilmu semacam ini? Dia ajar orang lain tak boleh guna kalimah ‘Allah’ tapi dalam masa sama dia sebut agama suku politik suku. Tak faham pengertian kalimah Allah agaknya,” ujarnya.

Ahad lalu Nik Aziz membuat kenyataan penggunaan kalimah "Allah" oleh Herald mengikut pengamal agama samawi tidak menjadi kesalahan.

Namun apa yang membimbangkan masyarakat ialah jika kalimah ini disalahgunakan.

Kelmarin PAS mengeluarkan pendirian rasminya dengan menegaskan perkataan "Allah" dibenarkan untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.

Bagaimanapun PAS menegaskan penggunaan kalimah "Allah" secara salah dan tidak bertanggungjawab wajar dielakkan supaya ia tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini.M/I

No comments

Powered by Blogger.