NGO Kelantan: Pinda perlembagaan bolehkan Pemangku Raja laksana kuasa Sultan

KOTA BARU, Jan 15 — Kerajaan negeri Kelantan diminta meminda perlembagaan negeri jika keadaan memerlukan bagi membolehkan Pemangku Raja Tengku Muhammad Faris Petra melaksanakan kuasa Sultan yang diamanahkan.

Tengku Muhammad Faris dilantik Pemangku Raja sejak Sultan Kelantan menerima rawatan di Singapura sejak pertengahan tahun lalu.

Ini merupakan sebahagian daripada langkah yang perlu dipertimbangkan dalam mencari penyelesaian terbaik ekoran konflik yang menjejaskan pentadbiran istana dan boleh menghakis kecintaan rakyat terhadap institusi raja.

Harapan itu terkandung dalam memorandum Jawatankuasa Bertindak Rakyat Kelantan yang disembahkan semasa perhimpunan menyambut kepulangan baginda dari Kuala Lumpur di perkarangan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra semalam.

Kira-kira 5,000 orang menyambut baginda termasuk Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Memorandum itu bagi menyatakan taat setia dan sokongan yang tidak berbelah bahagi rakyat terhadap Pemangku Raja yang kini berdepan dengan isu yang dianggap mencabar hak dan kuasa baginda.

Laporan Utusan Malaysia menyebut pengerusi jawatankuasa itu, Wan Mokhtar Wan Abdul Rahman menyembahkan memorandum itu bersama wakil kaum, Wei Chee Kand, M. Kupuasamay dan Eh Chot Cha Chan.

Memorandum yang enam perkara itu antara lain menyebut:

* Memohon baginda mencari jalan memastikan institusi raja Kelantan terus kekal dan dicintai rakyat. Mana-mana pihak yang cuba mengganggu gugat perlu disisihkan.

* Mengambil tindakan susulan segera terhadap individu yang menyeleweng wang rakyat dalam melaksanakan projek pembangunan di negeri ini dan tindakan terhadap mereka yang menyalahgunakan kuasa.

* Mengelak pembaziran wang rakyat dengan memastikan perbelanjaan terkawal dan mengikut peraturan dan mana-mana pihak yang membazirkan wang rakyat hendaklah diambil tindakan segera.

* Membawa balik Sultan Kelantan untuk menerima rawatan di negara ini bagi memenuhi harapan rakyat yang rindukan baginda.

* Membenarkan doktor, pembesar negeri dan rakyat menziarah Tuanku Ismail Petra yang masih dirawat di Hospital Mount Elizabeth Singapura.

Jawatankuasa itu memohon agar setiap perkara yang berbangkit akhir- akhir ini hendaklah merujuk kepada undang-undang tubuh perlembagaan kerajaan Kelantan yang merupakan sumber panduan utama apabila timbul sebarang krisis demi menjamin keharmonian negeri.

Jawatankuasa itu juga mahu keyakinan rakyat terhadap Kesultanan Kelantan dikembalikan.

Selepas tiba di sini Tengku Muhammad Faris berangkat menunaikan solat Maghrib dan hajat bersama rakyat di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.

Baginda turut mengimamkan solat bagi memohon kesejahteraan ayahandanya dan Kelantan.

Ia dihadiri lebih 1,000 orang termasuk Nik Aziz dan mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Kelmarin diadakan siri penerangan bagi menjelaskan perlembagaan negeri di Istana Balai Besar.

No comments

Powered by Blogger.