Pengganti Ezam di Gerak berundur sertai Umno?

Oleh G. Manimaran

PETALING JAYA, Jan 15 — Mohd Nazree Mohd Yunus, yang menggantikan Ezam Mohd Nor sebagai pengerusi Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (Gerak) pada 2008, akan melepaskan jawatan itu hujung bulan ini untuk menyertai parti politik secara sepenuh masa.

Nazree dijangka mengumumkan keputusannya kepada majlis kepimpinan tertinggi Gerak secara rasmi malam ini manakala keputusan menyertai parti politik pilihannya diumumkan selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Salah satu agenda mesyuarat hari ini ialah memutuskan pengganti Nazree.

Nazree, 26, yang dihubungi The Malaysian Insider mengesahkan pendirian beliau untuk menyertai parti politik.

“Dalam waktu terdekat saya akan umumkan, mungkin akhir Januari,” katanya.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan parti yang secocok dengan pendirian beliau.

“Ada beberapa parti yang telah mendekati saya... saya sedang membuat pertimbangan,” kata beliau sambil menafikan akan menubuhkan parti baru.

Beliau sebelum ini pernah dikaitkan dengan PAS.

Ditanya sama ada parti yang dimaksudkan itu Umno, Nazree berkata, “saya tidak mahu komen... tunggu dulu.”

Ezam yang merupakan pengerusi pertama Gerak telah menyertai Umno pada Jun 2008.

Tempat Ezam digantikan oleh Nazree, bekas pemimpin Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).

Ezam merupakan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan bekas orang kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Nazree disifatkan sebagai seorang pemidato yang baik dan iras-iras Anwar.

Beliau yang kini bekerja sendiri sedang meneruskan pengajian peringkat sarjana.

Bagaimanapun kata Nazree, parti yang bakal disertai harus mengamalkan prinsip keadilan, keterbukaan dalam memberi pandangan dan memperlihatkan sifat-sifat futuristik.

Mengulas lanjut Nazree memberitahu pihaknya akan membincangkan soal struktur organisasi baru Gerak hari ini dan barisan kepimpinan yang bakal mengambil alih pertubuhan bukan kerajaan itu selepas ini.

Berhubung dengan sebab beliau mahu meninggalkan Gerak, yang sepanjang tahun lalu telah membuat 13 hingga 15 aduan berkaitan rasuah di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Nazree memberitahu:

“Selepas menerajui Gerak selama satu tahun dan enam bulan, saya ingin memasuki fasa baru perjuangan.”

Ura-ura mengatakan Nazree akan menyertai politik mula kedengaran dalam lingkungan Umno sejak beberapa bulan yang lalu.

Di bawah kepimpinannya, antara kes yang diadu Gerak kepada SPRM sepanjang tahun lalu ialah dakwaan rasuah membabitkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan berhubung isu banglo milik bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo serta dakwaan penyalahgunaan kuasa dalam pelantikan pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) yang turut berkaitan dengan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang.

No comments

Powered by Blogger.