Penduduk Bukit Botak Akan Diberi Subsidi Tanah

SHAH ALAM, 12 Januari - Kerajaan Selangor akan menawarkan subsidi tanah kepada setiap penduduk Bukit Botak bagi meringankan beban penduduk untuk mendapat kembali hak tanah mereka.

Usaha ini dilihat sebagai jalan keluar belenggu penduduk yang telah dijanjikan pembangunan oleh pemaju Del Puri Sdn. Bhd. sejak 15 tahun lalu.

EXCO Perumahan, Pengurusan Pembangunan dan Setinggan, Iskandar Samad berkata, kerajaan Selangor akan mengembalikan tanah kepada penduduk malah akan menawarkan harga lebih rendah dari pasaran.

Menurut Iskandar, ini bagi memudahkan kerajaan Selangor mendapatkan kawalan sepenuhnya untuk melaksanakan pembangunan di Bukit Botak.

Katanya, kekeliruan timbul apabila media arus perdana dan pemimpin politik UMNO-Barisan Nasional memanipulasi status pengambilan tanah oleh kerajaan Selangor.

Kerajaan Selangor katanya turut dikecam menggunakan Akta Pengambilan Tanah bagi mendapatkan tanah di Bukit Botak.

“Zalim kalau kita ambil dan kita tidak beri hak kembali kepada rakyat. Tapi sekarang ini kita berjanji, memang dalam perancangan kita bahawa kita akan ambil alih dan kita akan kembalikan kepada rakyat menurut haknya. Mengikut perancangan kita, mereka akan dapat lebih daripada apa yang mereka bayar,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika dijemput hadir ke studio Apa Khabar Selangor bersama wakil jawatankuasa Bukit Botak, petang semalam.

Iskandar menambah sesetengah penduduk asal Bukit Botak hadir menyatakan nama mereka disingkirkan daripada senarai penduduk.

Sehubungan itu penelitian telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan berjaya mengenal-pasti individu yang terlepas pandang.

“Hasil daripada siasatan, telah diluluskan oleh Exco pada minggu lepas, 39 orang yang sepatutnya mendapat lot tanah telah tercicir. Dan kerajaan negeri akan memasukkan balik nama mereka ke dalam senarai yang sepatutnya menerima lot tanah,”katanya.

Selain itu, 77 orang lagi yang tiada dalam senarai akan ditawarkan rumah kos rendah atas inisiatif kerajaan Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Tanah Bukit Botak, Satar Md Saman dan Setiausaha Jawatankuasa Tuntutan Tanah Bukit Botak, Mahmod Mukmin hadir ke studio Apa Khabar Selangor mendengar penjelasan Exco Selangor.

No comments

Powered by Blogger.