Sada komited atasi masalah gangguan air

ALOR SETAR- Rakyat dinasihatkan agar tidak mudah mempercayai khabar angin konon Kerajaan Negeri akan menaikkan tarif air berikutan pengkorporatan Jabatan Bekalan Air (JBA) Kedah kepada Syarikat Air Darul Aman (Sada) yang berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, Kerajaan Negeri masih belum membincangkan perkara itu kerana pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif Sada, Adzmi Din pun baru sahaja seminggu manakala penyusunan lembaga pengarah syarikat itu belum pun dibuat.

Menurutnya, keputusan sama ada tarif akan naik ataupun dikekalkan belum dibuat dan dianggap terlalu awal kerana pengkorporatan baru sahaja dilaksanakan dan masih banyak perkara lain yang perlu disusun sebelum isu tarif air dibincangkan.

Azizan yang juga Pengerusi Sada berkata, apa yang menjadi keutamaan Kerajaan Negeri setelah pengkorporatan itu ialah meningkatkan perkhidmatan bekalan air bagi memuaskan hati rakyat di semua peringkat.

“Rakyat Kedah jangan bimbang kerana Kerajaan Negeri belum memutuskan apa-apa lagi mengenai tarif air yang baru, lagi pun harga itu akan dilaksanakan mengikut Akta Perkhidmatan Air.

“Selain itu, orang ramai juga perlu memahami bahawa perkhidmatan air ini bukan diswastakan tetapi dikorporatkan iaitu segala untung dan rugi akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri, bukan syarikat berkenaan,” katanya.

Azizan berkata, jika syarikat ini di bawah syarikat swasta, barulah urusan untung rugi ditanggung oleh syarikat berkenaan seperti mana yang berlaku pada perkhidmatan air di Pulau Langkawi yang diuruskan Taliworks Sdn Bhd.

Menurutnya, penswastaan yang dibuat oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) itu telah menyebabkan kerajaan terpaksa membayar RM39 juta kepada syarikat berkenaan pada tahun lalu sedangkan kerajaan hanya memperolehi RM14.5 juta.

Ini kerana, kata Azizan, penswastaan yang dibuat menerusi perjanjian sehingga 2020 itu telah menyebabkan kerajaan terpaksa membayar pada nilai yang tinggi.

“Dalam isu pengkorporatan JBA kepada Sada ini, kita akan memberi tumpuan kepada usaha mengatasi masalah gangguan bekalan air dengan membuat beberapa perancangan baru,” katanya.

Beliau berkata, gangguan bekalan air yang berlaku di negeri ini adalah disebabkan penambahan pada isi rumah itu akan dapat diselesaikan segera apabila penyusunan pengurusan Sada siap kelak.

No comments

Powered by Blogger.