1Malaysia: Rakyat dipinggirkan, LTdL diutamakan

Krisis ekonomi yang melanda dunia dan tidak terkecuali Malaysia juga terkena. Maka sekonyong-konyongnya menteri-menteri yang terbabit dengan subsidi rakyat dan berkaitan perkhidmatan awam meminta rakyat mengambil langkah berjimat cermat dalam perbelanjaan.

Harga gula dinaikkan kerana dakwa menteri, ingin mendidik rakyat mengurangkan makan makanan yang manis. Naik harga petrol diberi sebab kononnya harga minyak dunia turut naik. Kerajaan tidak mampu untuk menampung subsidi yang tinggi akibat kenaikan harga minyak dunia.

Peruntukan pendidikan dipotong kerana mengambil langkah berjaga-jaga menghadapi kegawatan ekonomi. Konon pengurusan berhemah dan perbelanjaan jimat.

perbelanjaan berhemah itu ialah pengurangan kursus untuk guru, tidak boleh menuntut elaun, dan beberapa lagi pemotongan yang melibatkan hampir semua institusi pendidikan di seluruh negara.

Boleh dikatakan semua perbelanjaan yang melibatkan kebajikan rakyat sendiri 'dicatu' dengan mudah asalkan ada alasan untuk belanja yang berhemah.

Tetapi bagaimana pula kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) yang dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan dengan bangganya menambah peruntukan hadiah yang lebih lumayan berbanding musim lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif LTdL 2010, Mohamed Salleh berkata pada edisi ke-15 tahun ini, LTdL 2010 akan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM710,650 berbanding RM520,550 pada tahun lalu.

Itu hanyalah hadiah kejohanan, bagaimana pula dengan usaha kementerian itu menyelamatkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) daripada hutang tertunggak penganjuran tahun lalu sebanyak RM4.5 juta dan memastikan LTdL terus berada dalam kalendar UCI, tahun ini?

Rakyat bukannya anti sukan dan bukannya ingin menghalang niat baik kerajaan ingin menaikkan martabat negara di mata dunia dengan menganjurkan kejohanan sedemikian, namun rakyat meminta kerajaan seharusnya sedar, keadaan ekonomi yang tidak menentu bukannya masa untuk berbelanja wang rakyat dengan sewenang-wenangnya.

Padahal kerajaan meminta rakyat sendiri berjimat cermat, bersama kerajaan menghadapi kemerosotan ekonomi, tetapi dalam masa yang sama kerajaan pula cuba memperuntukkan duit rakyat secara sembrono.

Itu tidak termasuk perbelanjaan beratus-ratus juta ringgit untuk projek lumba kereta F1 Lotus Team.

Rakyat berharap, kerajaan dapatlah berlaku adil kepada rakyat. Duit rakyat bukanlah untuk diagihkan kepada orang-orang tertentu sahaja. Tetapi seharuslah mendahulukan kepentingan rakyat dahulu baharulah memikirkan untuk yang lain.

Jangan nanti orang kata, rakyat sendiri hidup 'dicatu' tetapi orang luar pula diberi keistimewaan.

Membazir untuk bukan kepentingan rakyat tidak mengapa tetapi apabila melibatkan kepentingan rakyat, pelbagai peruntukan dipotong. Harga barang, petrol dinaikkan sebab kerajaan tidak mampu menanggung subsidi tetapi untuk projek kepentingan pihak-pihak tertentu dibelanjakan sesuka hati.warkah online

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.