Ku Li vs DS Najib 2010 : Yang Tersirat Disurat


Isu Royalti Minyak Kelantan
Hasrat Ku Li Yang Tak Terlihat



Saya memetik tulis Datuk A.Kadir Jasin berhubung isu ini dan kemudian saya beri ulasan saya di bawah :

PRESIDEN Umno Mohd Najib Abdul Razak pada 25 Februari berkata dia menyerahkan kepada keahlian parti memutuskan jika tindakan perlu diambil ke atas Tengku Razaleigh Hamzah. Tindakan Ku Li menentang dasar kerajaan pusat mengenai tuntutan royalti minyak/gas oleh kerajaan Kelantan dilaporkan mendapat bantahan beberapa orang ahli Majlis Tertinggi Umno. Mereka mempersoalkan “kekebalan” bekas Naib Presiden Unmo itu. Mohd Najib menyatakan pendirian itu ketika ditekan oleh pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan MT. Nampaknya, Mohd Najib sama ada mahu mencari jalan selamat mengelakkan konfrontasi dengan Ku Li atau dia mahu ahli Umno membantunya menamatkan riwayat politik Ku Li.

Umno sudah biasa dengan taktik main selamat Mohd Najib. Tetapi perlu disebutkan juga yang Ku Li telah mencuba menyekat Mohd Najib daripada mengisi jawatan presiden dalam pemilihan Umno tahun lalu tetapi gagal. Sebagai veteran terakhir Umno yang masih cergas dalam politik dan mewakili sebuah kerusi Parlimen, Ku Li mungkin berasa dia tidak akan rugi apa-apa dengan tindakannya itu. Kalau dia dikenakan tindakan oleh Umno, dia tetap akan menjadi hero kepada sesetengah orang dan pihak. Bagi ahli dan penyokong Umno Kelantan, isu ini umpama telan mati ibu, luah mati bapa.

Tetapi sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri, Mohd Najib tidak boleh berdiam diri membenarkan seorang ahli parti menentang dasar parti dan kerajaan secara terbuka, apatah lagi di saat-saat Umno dilihat sebagai sedang mengalami pemulihan dan pembangkang semakin kelam-kabut.

Serentak itu Umno dan Pas berdepan dengan kepelbagaian suara Melayu/Islam yang semakin lantang dengan penubuhan Majlis Perundingan Melayu (MPM) di Kuala Lumpur Sabtu lalu (27 Feb.). Maka bagi seorang pembesar Umno seperti Ku Li bersekongkol dengan parti lawan adalah bukan alang-kepalang kesalahan. Kalau Mohd Najib tidak bertindak tegas dan pantas, dia akan dianggap tidak tegas dan mungkin pembesar Umno dan Barisan Nasional lain mungkin mengikut langkah Ku Li memberontak. Inilah dilema Mohd Najib. Apatah lagi, Ku Li bukan orang lain, tetapi antara guru yang diamanahkan oleh Allahyarham bapanya, Tun Abdul Razak Hussein, untuk mendidiknya.

Jika berlaku konfrontasi terbuka antara Mohd Najib dan Ku Li, ia adalah perlawanan yang cukup menarik.

1. Ia berupa perlawanan antara murid dengan guru. Pasti ada sebab Abdul Razak menghantar anaknya yang baru pulang dari belajar di England berguru dengan Ku Li di Petronas di mana Ku Li adalah pengerusinya;

2. Sama ada kerana keturunan, kebijaksanaan atau ketentuan nasib si murid telah menjadi lebih berkuasa daripada guru;

3. Perlawanan kali kedua setelah Ku Li gagal mencabar Mohd Najib untuk jawatan Presiden Umno pada tahun 2009. Ku Li tidak memperoleh cukup kuota pencalonan bahagian untuk bertanding;

4. Perbezaan pendapat dalam Umno mengenai isu royalti minyak ini akan memberi kesan langsung dan besar kepada keputusan pilihan raya umum akan datang di Kelantan;

5. Cabaran Ku Li ini adalah sesuatu yang Mohd Najib perlu tangani dengan berhati-hati kerana walaupun Ku Li tidak lagi mempunyai kedudukan dalam kepemimpinan tertinggi parti, tetapi dia masih dihormati ramai;

6. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Ku Li dianggap sebagai pelindung hak Melayu dan antara beberapa kerat pembesar Umno yang masih berani bersuara;

7. Ku Li pernah menjadi putera mahkota politik Umno selaku naib presiden termuda di era Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn. Dia kenal benar siapa Mohd Najib;

8. Ku Li menjadi kuasa di belakang gerakan menjatuhkan kerajaan Pas Kelantan dan mengembalikan pemerintahan Umno pada tahun 1977;

9. Antara 1977 dan 1987 Ku Li menjadi peneraju pembangunan negeri Kelantan di bawah Pelan Pembangunan Negeri Kelantan;

10. Dia tentu sedar dengan hasil minyak yang lebih besar, Kelantan boleh dimajukan semula seperti zamannya dahulu. Kalau dia memihak kepada Pas, kerajaan Pas Kelantan pasti akan meminta nasihatnya;

11. Dia membantu menjatuhkan kerajaan BN Kelantan dan menaikkan semula Pas dalam pilihan raya umum 1990 apabila parti barunya, Parti Melayu Semangat 46 (S46) bersekongkol dengan Pas. Atas sebab itu, Pas sentiasa bersimpati dengan Ku Li; dan

12. Zaman Ku Li menerajui pembangunan Kelantan antara 1977 dan 1987 dianggap sebagai zaman keemasan Umno Kelantan.

Soalnya adakah pendirian beliau mengenai isu royalti minyak ini berupa episod kedua dan terakhir cabarannya terhadap Mohd Najib? Ku Li tentunya sedar bahawa sama ada dia menjadi duri dalam daging kepada Umno atau dipecat, dia tetap akan menjadi wira di mata ramai ahli Umno dan orang Melayu. Pada usianya sekarang, dia tidak akan rugi apa-apa.

Bagi Mohd Najib pula, bagaimanakah dia mengharapkan keahlian Umno memberi kata putus mengenai Ku Li? Apakah caranya bagi ahli Umno yang berjuta bilangannya itu menyatakan pendirian mereka mengenai tindak-tanduk Ku Li? Secara tidak langsung, keahlian Umno, melalui mesyuarat agung bahagian awal tahun lalu, telah menyatakan pendirian apabila mereka memberi sokongan sebulat suara kepada Mohd Najib dan menolak pencalonan Ku Li.

Jadi, adalah tidak mustahil bahawa Ku Li menggunakan isu royalti minyak ini untuk memberi kesempatan terakhir kepada dirinya dan kepada Mohd Najib untuk menentukan masa depannya dalam Umno dan BN.

Dia (Ku Li) sama ada kekal dalam Umno sebagai melukut di tepi gantang dan duri dalam daging atau menjadi “man of the hour” dipecat daripada Umno.


Ulasan Saya

1. Pertembungan "kebenaran" yang dibawa antara Ku Li dengan DS Najib harus segera ditamatkan dengan cara halus dan baik. Kita akui - isu royalti, sama ada DS Najib yang betul atau Ku Li yang benar - ia tetap memberi kemenangan moral kepada Ku Li. Ku Li tetap akan menjadi wira kepada rakyat Kelantan - itu jelas. Kerusi Parlimen Gua Musang yang disandangnya tidak mungkin mampu dikecapi orang lain, kecuali menanti kematian beliau sahaja.

2. Secara realitinya, dari segi sejarah DS Najib bukanlah tandingan Ku Li - sebagai guru politik kepada DS Najib, Ku Li tahu benar akan kelemahan dan kekuatan DS Najib, lantaran itu adalah tidak wajar untuk melagakan DS Najib dengan Ku Li. Jika sebelum ini kita telah menyaksikan pertembungan dahsyat antara Mahathir dengan Pak Lah yang mengakibatkan UMNO kalah teruk dalam PRU ke-12, maka adalah sesuatu yag mengecewakan andaikata konflik antara Ku Li dengan DS Najib berlarutan sehingga PRU ke-13 dan tidak segera diselesaikan.

3. Kita akui DS Najib berada dalam dilema - apakah tindakan yang harus dilakukan terhadap Ku Li? Mengheretnya ke Jawatankuasa Lembaga Disiplin UMNO? atau membiarkan Ku Li terus-menerus membicarakan soal royalti minyak Kelantan sehingga menguntungkan PAS dan pembangkang. Jawapannya mudah - pentadbiran DS Najib tidak perlu rasa tertekan dan mudah menerima hasutan daripada menteri-menteri tertentu, agar Ku Li dikenakan tindakan disiplin - pada hemat saya biarkanlah Ku Li bersuara, sudah sekian lama beliau mengharapkan dan mengidamkan suatu platform untuk bercakap dan berucap melalui hati nuraninya, secara jujur dan berterus-terang, namun demikian, tiada seorang pun di dalam UMNO yang mahu memberi peluang itu - seolah-olah pandangan serta buah fikiran beliau tidak diperlukan oleh negara dan parti. Hal yang sama pernah berlaku ke atas Tun Mahathir, sewaktu Pak Lah mengambil alih kepimpinan negara - Mahathir disisih dan diketepikan, baik dari segi pandangan mahu pun dari segi peranan. Maka, sudah tentulah beliau akan mencari isu tertentu untuk kembali bersuara dan memberikan pandangannya secara berterus-terang - ini adalah sifat lumrah bagi mana-mana tokoh besar dalam kepimpinan negara yang telah bersara. Mereka sedikit sebanyak mahu dihargai dan diberi peranan dalam membangunkan negara dan bangsa. Inilah yang sebenarnya sedang dihadapi oleh jiwa Mahathir dan Ku Li yang kita semua tidak nampak.


Dalam hal royalti minyak dan Ku Li, suka saya menyalahkan diri kita sendiri. UMNO seolah-olah telah alpa terhadap kewujudan ahli Parlimen Gua Musang yang hebat ini - kita memandang rendah dan sering berburuk sangka terhadap beliau. Malah, lebih malang lagi sewaktu DS Najib dinobatkan sebagai Perdana Menteri, kita sudah mendengar "cakap-cakap" agar Ku Li dilantik sebagai Penasihat Ekonomi Negara, namun demikian kita buat-buat tidak tahu, dan memandang enteng cadangan tersebut. Inilah masalah kita, masalah UMNO dan masalah Barisan Nasional. Kita tidak mahu merapatkan hubungan antara kepimpinan UMNO yang lama dengan kepimpinan UMNO yang baru, agar UMNO menjadi lebih kuat.


Apabila Pak Lah membina benteng pemisah antara beliau dengan Mahathir pada satu ketika dahulu, maka Mahathir mula terasa tersisih dan tidak dihargai, maka begitu jugalah dengan Ku Li! DS Najib merupakan anak didiknya, maka mengapa perlu menyisihkan beliau daripada politik arus perdana? Ku Li bukan mahu menjadi Pedana Menteri (seperti Anwar Ibrahim) , sebaliknya Ku Li mahu membuktikan bahawa beliau masih mampu menabur jasa kepada agama, bangsa dan negara, maka beliau perlulah diberikan peranan yang sewajarnya. Jika UMNO menyisihkannya, maka beliau akan mencari platform lain untuk bersuara dan berjuang, hal ini adalah berpunca daripada kegagalan UMNO sendiri yang tidak peka bagi menyediakan platform untuk beliau memberikan pandangan dan buah fikirannya demi membagunkan negara dan bangsanya. Malah, harapan Ku Li untuk sama-sama membangunkan negara dan bangsa hampir berkecai tatkala beliau tidak diberi peranan yang sewajarnya sebagai seorang ahli UMNO yang veteran dan pakar ekonomi dalam pentadbiran DS Najib - sekurang-kurangnya beliau boleh dilantik sebagai Pengerusi GABEM (Gagasan Bertindak Ekonomi Melayu) atau pun Penasihat Ekonomi Negara. Melalui cara ini Ku Li akan terasa lebih dihargai dan dihormati. Namun demikan, kita memandang kecil hal-hal seperti ini.


Secara peribadi - sekarang nasi sudah menjadi bubur! Apa-apa yang telah dilakukan oleh Ku Li pada saat ini - adalah salah kita sendiri, kita menyisihkan beliau dan menganggap beliau merupakan seorang ahli politik yang sudah tua dan tidak berguna, sedangkan Ku Li benar-benar berharap semoga di bawah pentabdiran DS Najib, beliau akan diberi peranan yang penting sebagai salah seorang ahli UMNO veteran yang mampu menyumbang tenaga dan buah fikiran kepada pembangunan dan kekuatan politik orang Melayu pada masa akan datang- sepertimana harapan Mahathir terhadap kepimpinan Pak Lah, maka begitu jugalah harapan Ku Li terhadap kepimpinan DS Najib. Justeru itu, ingat- ingatlah, UMNO jangan sekali-kali menyisihkan Ku Li dan ahli-ahli UMNO veteran yang lain, termasuk Pak Lah, Mus Hitam dan Tun Daim. Semoga Allah Selamatkan UMNO. Wallahualam.

Gambar : Penulis bersama Ku Li.

http://azlishukri.blogspot.com/


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

1 comment

Anonymous said...

aku ingat lagi masa lepas PRU12...masa tu kes pak lah memang kena tembak habis...kuli di interview..die tak nak banyak cakap..tapi die kata..""i don't know..but i wan to be a PM''.. haha lobih kurang la

Powered by Blogger.