Wujud Kompromi Fairus-Umno-SPRM?

Oleh Dzulkarnain Taib

KUALA LUMPUR 28 Feb - Ketua Angkatan Muda KEADILAN Shamsul Iskandar Mohd Akin menyifatkan tindakan bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang I Mohammad Fairus Khairuddin menyertai Umno mengesahkan persepsi rakyat bahawa wujud satu kompromi di antara beliau dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang baru-baru ini membuat keputusan untuk tidak meneruskan pendakwaan ke atasnya.

Ini terbukti apabila beliau menyertai Umno hanya dua minggu selepas pengumuman SPRM dibuat.

Pada 12 Februari lalu SPRM telah menutup siasatan lapan kes berprofil tinggi termasuk kes rasuah Mohammad Fairus.

"Apakah Fairus terlepas daripada pertuduhan rasuah sebahagian daripada perancangan Umno untuk membelinya?

"Ini dilihat susulan daripada kenyataan rasmi SPRM yang tidak meneruskan siasatan terhadap beliau walaupun sebelum ini Pengarah SPRM Pulau Pinang menyatakan dengan tegas bahawa agensi itu telah membuka semula kertas siasatan Fairus," jelas Shamsul kepada Suara Keadilan.

Beliau juga menimbulkan persoalan apakah tindakan terbaru ini menunjukkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berada dalam keadaan terdesak dan sanggup menawarkan imbuhan kewangan untuk menarik pemimpin dan bekas pemimpin KEADILAN untuk bersama parti usang dan lapuk seperti Umno.

"Adakah Najib mahu memperlihatkan kepada rakyat seolah-olah KEADILAN sudah hilang sokongan dan hanya tinggal Anwar Ibrahim sahaja dalam parti.

"Saya tegaskan harapan Najib amat meleset sama sekali kerana walaupun ditekan dengan hebat namun sokongan rakyat dan juga muafakat pemimpin di dalam KEADILAN terus mantap dan tidak tergugat langsung.

"Kehadiran ribuan rakyat pada setiap program parti menunjukkan kebencian rakyat yang meluap-luap terhadap Najib dan kepimpinan Umno. Saya yakin serangan Najib akan dilihat sebagai "overkill" atau tindakan keterlaluan di mana natijahnya akan meningkatkan simpati rakyat kepada KEADILAN," tegas beliau lagi.

Mengulas perkara yang sama Ketua Wanita KEADILAN Zuraida Kamaruddin berkata memang sudah amalan Umno gemar mengutip "sampah" seperti Fairus.

"Cerita Fairus ini samalah dengan Badrul (ADUN Bebas Pelabuhan Kelang). Apabila pemimpin seperti mereka dalam KEADILAN menjadi duri dalam daging dan mereka keluar parti akhirnya Umno akan mengutip "sampah-sampah" ini.

"Begitulah kerja Umno suka pungut "sampah" dan masuk ke dalam bakul mereka dengan harapan sisa buangan KEADILAN akan berguna kepada mereka. Sebenarnya saya tidak bersedih langsung kerana tindakan Fairus menyenangkan kerja kita," jelas Ahli Parlimen Ampang itu.

Beliau berkata langkah Umno memancing bekas Ahli Undangan Negeri Penanti itu akan memberi tindak balas negatif kepada parti itu akhirnya.

Fairus membuat pengumuman menyertai Umno dalam ucapan di majlis Silat Gayung Malaysia di sebuah hotel di Ampang semalam yang dihadiri oleh Perdana Menteri.

Beliau melatak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I serta Exco Pulau Pinang pada 8 April 2009.

Pada 16 April 2009 pula Fairus, 33, mengosongkan kerusi Penanti yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-12.




Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.