Bohong Kelayakan: Musa Tidak Ada Kredibiliti

Oleh Rusnizam Mahat

KUALA LUMPUR 27 Mac - Ahli Parlimen Subang R. Sivarasa berkata Ketua Polis Negara Ta Sri Musa Hassan telah mencemarkan imej beliau institusi polis berhubung dakwaan beliau berbohong mengenai kelayakan akademiknya.

Semalam peguan itu memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur berhubung laporan polis yang dibuat beliau sehari sebelum itu terhadap Musa kerana membuat kenyataan palsu mengenai kelayakan akademik yang dimiliki beliau.

Sivarasa yang ditemani peguam N. Surendran tiba di IPD berkenaan pada pukul 3.04 petang serta menghabiskan masa kira-kira 1 jam 40 minit memberi keterangan.

Kenyataan beliau direkodkan oleh ASP R. Ananthan.

"Saya ditanya apakah tujuan laporan polis tersebut dan apakah bukti yang saya ada. Saya menyatakan bahawa bukti telah saya kepilkan bersama nota prosiding yang ditulis oleh Mahkamah Sesyen ketika memanggil Musa memberi keterangan dalam perbicaraan bekas Pengarah Siasatan Jenayah Perdagangan Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuf," ujar beliau.

Beliau berkata pada perbicaraan kes Anwar, Musa di hadapan Hakim Datuk Seri Augustine Paul ketika itu membuat kenyataan bersumpah palsu menyatakan beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang.

Musa turut membuat kenyataan sama beberapa hari sebelum dilantik menjadi Ketua Polis Negara pada 12 September 2006 yang disiarkan dalam satu artikel dalam akhbar the Star.

"Dalam rencana itu menyatakan Musa merupakan graduan undang-undang dari United Kingdom. Ini bermaksud beliau telah mengulang kenyataan palsu itu kepada wartawan," jelas Sivarasa.

Bagaimanapun, menurut Sivarasa, ketika di hadapan hakim Mahkamah Sesyen di Sabah semasa perbicaraan kes rasuah Ramli pada 2009, Musa menyatakan beliau memiliki Diploma Undang-Undang Dan Pengajian Pengurusan.

"Tak mungkin dia lupa atau tak mungkin seorang Ketua Polis Negara tidak tahu membezakan antara diploma undang-undang dan ijazah undang-undang," jelas beliau.

"Ini menunjukkan Musa selaku Ketua Polis Negara tidak mempunyai kredibiliti dan integriti memegang jawatan itu dengan membuat kenyataan palsu sedemikian,"tegasnya.

Menurut Naib Presiden Keadilan itu, kredibiliti Musa telah tercemar ketika menjadi pegawai penyiasat dalam kes Anwar Ibrahim pada 1998 dengan memalsukan bukti dan keterangan dalam kes tersebut.

Tambah beliau, adalah wajar perkhidmatan Musa sebagai KPN ditamatkan serta merta.

"Cukup lah kita teruskan perkhidmatan KPN. Sejak 1998 lagi imejnya telah tercemar dan peranannya sebagai KPN tidak berkesan. Kadar jenayah tidak menurun bahkan semakin tinggi. Apatah lagi Musa dikaitkan dengan kegiatan bawah tanah dan kongsi gelap dan kaitannya dengan ketua kongsi gelap BK Tan. Kita mempunyai akuan bersumpah untuk menunjukkan bukti itu.

"Isunya bohong, pegawai tertinggi dalam PDRM membuat pengakuan bersumpah di mahkamah dengan berbohong dan kita tidak boleh ada pegawai tertinggi yang mencemarkan imej dan kredibiliti PDRM," tegasnya.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.