SINGA VELLU CALON HULU SELANGOR

http://nobisha.com/home/wp-content/uploads/2010/03/Lion1.jpg

Bagi Barisan Nasional, mereka ingin mengekalkan momentum menang di pilihanraya kecil Bagan Pinang. Bagi PKR pula, mereka ingin membuktikan bahawa penghijrahan ramai wakil rakyatnya menjadi Bebas tidak memberikan apa-apa kesan kepada parti itu. Bagi Dato’ Seri S Samy Vellu, dia hanya inginkan Dato’ G Palanivel menjadi calon pilihanraya kecil P94 Hulu Selangor!

Itulah cara berfikir Samy Vellu. Memang, dari segi agihannya, kerusi ini milik MIC. Saya difahamkan itulah persefahaman dalam Barisan Nasional. Namun, saya fikir adalah agak kurang matang untuk Samy Vellu mengumumkan nama calon yang akan dicadangkan oleh parti itu melalui media. Sepatutnya, beliau berbincang dengan Pengerusi Barisan Nasional terlebih dahulu. Inilah politik lebih sudu dari mangkuk dalam MIC yang menyebabkan rakyat menolak parti itu.

Barisan Nasional harus keluar dari fikiran lama yang mengekalkan agihan kerusi seperti sebelumnya. Barisan Nasional harus mengambil pendekatan pemasaran politik berdasarkan kehendak pasaran (market-oriented). Maksudnya, ia harus keluar dari menamakan calon berdasarkan agihan parti politik semata-mata, tetapi meletakkan calon yang dikehendaki oleh pengundi sesuatu kawasan. Sekiranya kajian pendapat awam menunjukkan pengundi inginkan calon A di situ, maka Barisan Nasional harus mampu meletakkan calon yang diinginkan pengundi — tanpa mengira dia ahli parti mana sekalipun.

Dalam konteks Hulu Selangor, saya sarankan Barisan Nasional melihat apakah yang diinginkan oleh penduduk setempat. Sekiranya mereka inginkan Palanivel, maka letaklah Palanivel. Sekiranya mereka inginkan orang lain di luar MIC, maka Barisan Nasional hendaklah meletakkan calon yang dikehendaki oleh pengundi kawasan tersebut.

Berhubung dengan calon dari MIC, saya fikir Samy Vellu tak perlulah terlalu jumud. Ramai lagi pemimpin muda India dalam MIC yang pintar dan artikulatif. Mereka ini lebih dekat dengan masyarakat dan mengetahui denyut-nadi rakyat. Ketua Penerangan MIC, P Kamalanathan umpamanya, adalah merupakan seorang yang boleh dipertimbangkan. Bagaimanapun, apabila Samy Vellu mengumumkan nama Palanivel, maka dia menutup pintu untuk MIC mendapat maklumbalas calon yang baik sama ada dari dalam atau luar parti.

Inilah bentuk keangkuhan pemimpin. Samy Vellu masih belum belajar dari kesilapan masa lalu. Dalam PRU12 lalu, Samy Vellu pernah berkata:

“Dia (Dr Jeyakumar) boleh tanding lagi 25 kali.. selagi hidup tanding lagi, kami tak peduli. Dia tanding ka, Anwar Ibrahim sendiri bertanding pun, saya tidak takut. Saya boleh lawan sama dia. Kalau dia (Anwar) berani lawan sini (Sungai Siput). Saya tunjukkan kepada beliau ini kawasan singa punya!”

Sekiranya Samy Vellu bersungguh-sungguh ingin tunjuk hebat di Hulu Selangor, apa kata dia sendiri bertanding di situ?

Lagi pun, “Singa Vellu” telah kecundang di Sungai Siput!

http://nobisha.com/home/

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.