Bukan Islam mampu jadi pendakwah: Menteri Besar

KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan masyarakat Islam di negeri ini gagal mengambil peluang untuk menyebarkan agama Islam kepada jiran yang bukan beragama Islam.

Beliau berkata, perkara itu penting supaya suatu hari nanti golongan bukan beragama Islam ini mampu menjadi pendakwah Islam.

“Islam ini bukan untuk Melayu saja tetapi untuk semua manusia. Kesilapan kita di Kelantan sendiri satu masa dulu, kita tidak terfikir Islam ini hendak disebarkan kepada bukan Islam walaupun Cina atau India duduk di sebelah rumah atau masjid,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediaman rasmi Menteri Besar JKR 10 dekat sini, semalam.

Beliau berkata, sebelum ini beliau meminta penduduk Islam Singapura berusaha untuk memperkenalkan Islam kepada bangsa lain dengan harapan mereka akan berminat untuk mendekati Islam.

“Gerakan Islam satu ketika dulu tidak banyak sangat terbabit dengan perkembangan Islam. Saya juga minta penduduk Islam Singapura berusaha supaya Islam ini turut diperkenalkan kepada orang (bangsa) Cina supaya satu hari nanti mereka akan jadi pendakwah Islam, imam dan khatib.

“Takkan bangsa Cina tak boleh terima Islam kalau kita dedahkan Islam dengan baik. Kita di Kelantan, Pas, walaupun serba kekurangan dalam segala kemudahan komunikasi tapi kini ada kelab penyokong Pas, satu hari nanti kelab penyokong Islam pula,” katanya.SH

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.