Datuk NH Chan Sedia Hadapi Sebarang Kemungkinan

Hakim yang bersara, Datuk NH Chan semalam menafikan beliau mencabar sistem kehakiman tetapi beliau sedikit pun tidak patah semangat dengan berdiam diri tentang penghakiman yang memutarbelit undang-undang.

"Saya bukan mencabar mereka tetapi saya akan terus mengkritik apabila mereka membuat penghakiman yang salah," beliau memberitahu The Malaysian Insider.

Bekas hakim Mahkamah Rayuan ini menjawab sebuah karangan oleh aktivis sosial, Martin Jalleh di bawah tajuk "Dakwa NH Chan kerana menghina mahkamah atau letak jawatan, CJ?

Jalleh mempertikai sikap Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi yang berdiam diri dalam menghadapi kritikan Chan yang semakin menyengat ke atas kehakiman dan mencabar beliau mengambil tindakan undang-undang untuk memelihara reputasi kehakiman.

Dalam artikel bertarikh 10 Mac itu, Jalleh menulis: Komen NH Chan terhadap anggota-anggota kehakiman tidak dapat disangsikan lagi, bersifat begitu panas, berani dan berterus terang.

Beliau menuduh para hakim sebagai buta, berat sebelah dan menjadi sekumpulan manusia yang bodoh dan dungu. Beliau telah mencabar kita.

"Jika ketua hakim tidak bersetuju dengan kritikan NH Chan, beliau harus mendakwa bekas hakim Mahkamah Rayuan itu ke mahkamah dan mengeluarkan surat tunjuk sebab kenapa beliau tidak boleh didakwa kerana menghina mahkamah!

"Adakah Zaki berani menyahut cabaran itu atau beliau lebih gemar membiarkan sarkas kehakiman terus berputar-putar?" soal Jalleh.

Bagaimanapun Chan, 74, tidak bersetuju dengan pandangan penulis itu tentang dakwaannya bahawa beliau "sedang mencabar" kehakiman.

"Martin Jalleh telah membuat cabaran itu. Saya secara peribadi tidak akan sekali-kali mencabar. Saya bukanlah orangnya yang akan membuat kerja bodoh," kata bekas hakim itu.

"Jika anda meletak tangan dalam mulut singa, anda mungkin berfikir anda berani, tetapi singa itu mungkin akan menutup mulutnya.

Apa akan terjadi? Anda mungkin kehilangan tangan anda," beliau menambah.

Pengarang dua buah buku, "Judging the Judges" dan "How to Judge the Judges" berkata, beliau tidak pernah takut untuk memberi pandangannya dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan diambil oleh pihak kehakiman terhadapnya.

Ditanya jika ketua hakim akan mendakwa beliau menghina mahkamah, Chan menjawab, "Mereka boleh buat apa sahaja yang mereka suka, kerana mereka telah melakukannya sebelum ini."

Namun Chan berikrar akan terus bercakap tentang isu-isu yang beliau rasakan berlaku penyelewengan dalam undang-undang.

Beliau akan terus membongkar perihal Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan yang membuat penghakiman yang tidak konsisten dalam tempuh dua tahun lalu, terutamanya dalam kontroversi negeri Perak yang melibatkan penyingkiran menteri besar.

- Tulisan Debra Chong Terjemahan oleh Zainal Abidin Nor

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.