Dua lelaki ditahan dalam serbuan berasingan

SHAH ALAM - Polis menahan dua lelaki bersama 17,000 pil eramin 5, 3.2 kilogram (kg) dadah jenis ketamin bernilai hampir RM500,000 dan merampas tunai RM67,000 dalam dua serbuan di Petaling Jaya serta Ampang dekat sini, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, dalam serbuan pertama, seorang lelaki berumur 35 tahun ditahan di rumahnya di Jalan 22/44B, Petaling Jaya di sini, kira-kira jam 11.10 pagi.

“Kita menemui 72 paket plastik lut sinar berisi dadah jenis ketamin seberat 1.2 kg dan 7,000 pil eramin 5 semuanya dianggarkan RM152,500.

“Wang tunai RM67,000 yang dipercayai hasil jualan dadah berkenaan turut dirampas daripada suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, semalam.

Nordin berkata, susulan itu, polis menahan seorang lelaki berumur 40 tahun yang memandu sebuah kereta Proton Saga di kawasan parkir di Taman Muda, Ampang.

Menurutnya, polis menemui satu beg plastik di tempat duduk penumpang sebelah pemandu berisi 10,000 pil eramin 5 dan dadah ketamin seberat 2kg semuanya bernilai hampir RM224,000.

“Kita masih menyiasat hubungan antara kedua-dua suspek dan kita tidak menolak kemungkinan mereka dari kumpulan sindiket yang sama,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek aktif melakukan kegiatan pengedaran dadah sejak enam bulan lalu dan memasarkan bahan terlarang itu di pusat hiburan di sekitar Lembah Klang.

Menurutnya, kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga Ahad depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.