Istana Negara Enggan Terima Petisyen Ibu Kugan

Oleh Jamilah Kamarudin

KUALA LUMPUR 10 Mac - Cubaan kali kedua ibu mendiang A. Kugan untuk menyerahkan petisyen ke Istana Negara hari ini gagal apabila pihak istana enggan menerima petisyen tersebut atas alasan tidak ada temujanji dibuat.

N. Indra bertindak demikian dalam usaha beliau untuk membawa baki 10 individu yang didakwa dalang di sebalik pembunuhan anak lelakinya ke muka pengadilan.

Indra berada dihadapan pintu utama Istana Negara pada pukul 11.30 pagi bersama peguam. N. Surendran serta beberapa pemimpin Pakatan Rakyat sambil diselia ketat anggota polis dari IPD Brickfields.

Namun beliau gagal menyerahkan petisyen itu apabila pegawai keselamatan di hadapan pintu masuk utama istana enggan menerimanya atas alasan tiada temu janji dibuat daripada pihak ibu mendiang.

Pertengkaran terjadi antara peguam Indra dan polis sehingga memaksa wakil pegawai istana keluar berbincang bagi meredakan keadaan.

Dalam perbincangan tersebut wakil istana memberi jaminan untuk meneliti dan mempertimbangkan permohonan Indra untuk mengemukakan petisyen itu.

Surendran ketika ditemui pemberita di luar perkarangan istana berkata petisyen tersebut dihantar bagi mendesak 10 anggota polis lagi yang menjadi suspek sehingga menyebabkan kematian Kugan itu didakwa dimahkamah.

"Mengapa 11 anggota polis yang menjadi suspek kematian Kugan hanya seorang sahaja yang didakwa bertanggungjawab dalam kes tersebut dan dikenakan sabit hukuman yang ringan jika didapati bersalah, manakala 10 anggota yang lain bebas daripada sebarang pertuduhan," katanya.

Surendran turut kesal dengan reaksi yang diberikan pihak pegawai istana walaupun pihaknya sebelum ini ada membuat permohonan untuk mengemukakan petisyen itu ke istana.

"Ini adalah kali kedua kami cuba untuk hantar petisyen ke istana namun ditolak atas alasan yang sama.

"Kami sebelum ini sudah pun melakukan beberapa proses permohonan melalui faksimili dan telefon tapi tiada sebarang reaksi diberikan.

"Saya tak faham sama ada ini merupakan protokol atau masalah birokrasi istana. Ini kerana usaha kami dalam menuntut keadilan daripada kes lain sebelum ini pun tidak diterima," katanya.

Beliau berkata perkara ini tidak akan menghalang Indra dan pihaknya daripada terus mendapatkan keadilan bagi mendiang Kugan malah akan kembali semula menghantar petisyen dan berusaha untuk mendakwa 10 lagi dalang yang terlibat dalam kes pembunuhan.

Turut hadir dalam penyerahan petisyen tersebut termasuk Ahli Parlimen Kapar S Manikavasagam, Ahli Parlimen Teluk Intan M. Manogaran, Ahli Dewan Undangan Negeri Teratai Janice Lee Ying Ha dan ADUN Port Dickson M. Ravi.

Setelah hampir 14 bulan, hanya seorang anggota polis sahaja yang didakwa dalam kes kematian A. Kugan iaitu Konstabel Navindran Vivekanadan, manakala 10 yang lain terselamat dari sebarang pertuduhan.

Navindran bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan untuk mendapatkan pengakuan Kugan.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan atau Seksyen 330 kanun yang sama iaitu menyebabkan kecederaan kepada si mati.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.