Kemelut MCA: Tee Keat mahu bertemu penyokong dulu

KUALA LUMPUR, 4 Mac — Ekoran tindakan mengejut pemimpin-pemimpin kanan MCA meletak jawatan dalam parti hari ini bagi menuntut pemilihan baru diadakan, presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat (gambar) berkata beliau akan mengumumkan tindakan beliau seterusnya apabila tiba masanya.

“Saya akan bertemu penyokong-penyokong dan pasukan saya tidak lama lagi dan akan mengumumkan keputusan apabila tiba masanya,” kata Ong dalam blognya selepas timbalan presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, naib presiden Datuk Kong Cho Ha dan enam anggota lagi Jawatankuasa Pusat (CC) MCA yang dipilih mengumumkan keputusan meletak jawatan hari ini.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan Chua dan tujuh lagi anggota CC MCA meletak jawatan supaya pemilihan baru diadakan merupakan satu langkah yang baik dalam usaha menjadikan parti itu kuat.

Beliau berkata ini kerana tumpuan Barisan Nasional (BN) kini ialah untuk memperkukuhkan parti berkenaan.

“Perdana Menteri pun dah selalu sebut, ini (memperkukuhkan parti) perlu diambil kira kerana masa tidak menyebelahi kita.

“Kalau langkah sebegini sudah dimulakan oleh MCA, bagi saya satu langkah yang baik,” katanya di Putrajaya.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN, berpendapat langkah yang paling baik dalam menyelesaikan krisis dalaman MCA ialah dengan mengadakan pemilihan baru.

“Ini adalah pandangan banyak pihak dan bila ada keputusan sebegini, maka mereka sudah mula respons pada pandangan yang melihat bahawa MCA perlu dipulihkan.

“Integriti dan persepsi masyarakat (terhadap MCA) perlu diperbaiki.

“Saya serahkan kepada pemimpin yang ada kerana kita mahu supaya MCA kuat pasal dia (parti itu) adalah rakan utama dalam BN.

“Dan saya kira masyarakat Cina yang sejak dulu pun memberikan perhatian pada soal parti seperti pada MCA, mahukan hal seperti ini dilakukan,” katanya.

Sebelum ini, 13 yang lain termasuk seorang lagi naib presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai meletak jawatan bagi mendesak supaya pemilihan baru diadakan bagi menyelesaikan krisis kepimpinan parti itu.

Disebabkan 21 anggota CC iaitu dua pertiga daripada anggota yang dipilih meletak jawatan, perlembagaan parti menetapkan supaya satu pemilihan baru perlu diadakan dalam tempoh sebulan.

Dalam blognya itu, Ong tidak menyentuh mengenai tindakan Chua atau Liow itu kecuali mengucapkan terima kasih kepada penyokong-penyokong dan mereka yang bersimpati dengan beliau kerana menelefon atau menghantar SMS dan e-mel bagi memberi kata-kata semangat.

“Saya diberitahu 21 anggota CC dipilih meletak jawatan untuk membolehkan pemilihan baru diadakan dalam tempoh 30 hari seperti yang dikehendaki oleh perlembagaan parti,” katanya.

Beliau berkata pemilihan baru merupakan satu daripada penyelesaian secara demokratik kepada krisis MCA dan berharap ianya dijalankan dengan adil dan teratur.

Ong, yang memimpin MCA sejak Oktober 2008, berkata beliaulah yang mula-mula mencadangkan supaya pemilihan baru diadakan tetapi ini dibantah keras oleh pelbagai pihak.

“Pada masa itu, saya berkata bahawa kita perlu mengambil kira tentang waktu yang sesuai bagi pemilihan diadakan dan juga supaya parti meletakkan keutamaannya dengan betul,” katanya.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.