MCA berusaha pujuk Yip

Pucuk pimpinan MCA sedang memujuk ADUN Titi Tinggi, Yip Sun Onn supaya menarik balik peletakan jawatannya, kata pengerusi MCA Perlis, Datin Paduka Chew Mei Fun.

Bagaimanapun, katanya, beliau memang telah mengetahui berita peletakan jawatan Yip "tetapi kita akan memujuk beliau".

Ketika dihubungi Malaysiakini, Chew berkata pucuk pimpinan MCA dan kerajaan negeri sedang berbincang dengan Yip supaya menarik balik peletakan jawatannya.

“Kita berharap beliau akan bertenang, parti dan rakyat masih memerlukan khidmat beliau," tambahnya.

Chew juga turut mendedahkan beliau mendapat tahu mengenainya dua hari lalu.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak berjaya untuk menghubungi Yip.

Katanya, walaupun Yip menghubungi semalam tetapi beliau gagal menjawap panggilan itu kerana urusan lain.

Apabila ditanya sama ada peletakkan jawatan Yip berkaitan dengan rombakan exco Perlis, Chew menafikannya walaupun mengakui dia tidak tahu sebab sebenarnya.

"Dia bukan jenis pemimpin yang tidak berpuas hati kerana hanya tidak mendapat jawatan. Kita akan cuba mencari apa sebenarnya masalah yang dihadapinya," katanya.

Sementara itu, ADUN Indera Kayangan, Dr Por Choo Cho yang menggantikan tempat Yip berkata dia tidak menjangkakan rakannya itu akan membuat keputusan berkenaan.

Ketika dihubungi, Por yang kini di Kuala Lumpur berkata dia memerlukan maklumat lanjut sebelum mengulas peletakkan jawatan itu.

"Saya masih tidak memahami isu itu dengan mendalam, biarkan saya pulang dan berbincang kemudian".

Usaha menghubungi Yip masih belum berjaya.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.