Salahuddin Mahu Seret Nazri ke Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan

Oleh Fazli Othman

KUALA LUMPUR 23 MAC - Ahli Parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub akan menyerahkan fakta dan dokumen berkaitan isu tuntutan royalti minyak Kelantan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat yang didakwa bercanggah dengan pembentangan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz pada sidang Parlimen Disember lalu.

Timbalan Speaker Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersetuju untuk menerima dokumen berkaitan perkara tersebut setelah Salahuddin bangun dengan mengemukakan usul tersebut di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (12) pagi tadi.

Dalam sidang media beliau berkata Nazri diberi tempoh tujuh hari bagi membuat penjelasan dan jika tidak beliau boleh dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Mohamad Nazri pada sesi penggulungan Disember lalu didakwa telah menyelewengkan fakta berhubung hak Kelantan mendapat royalti atas alasan minyak tersebut berada di luar kawasan perairan negeri, iaitu tiga batu nautika seperti dirujuk pada Ordinan Darurat 1969.

Beliau berhujah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1969 sebenarnya telah pun dimansuhkan.

"Walaupun ordinan tersebut telah dimansuhkan kerajaan telah memperuntukan wang ihsan kepada negeri Terengganu dengan mengambil kira minyak di luar perairan negeri itu," kata Salahuddin.

Dalam pada itu, Speaker meminta tempoh seminggu untuk meneliti semua dokumen dan fakta dan Nazri harus menjawab dalam masa tujuh hari dan jika tidak beliau boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.