Pas tidak wajar terima Zulkifli Noordin: Mahfuz

PETALING JAYA: Pas tidak wajar menerima kehadiran ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin ke dalam parti itu kerana tindakan tersebut tidak selari dengan semangat permuafakatan parti gabungan pakatan pembangkang.

Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar, berkata kehadiran Zulkifli yang dipecat oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabtu lalu bukan saja tidak dapat menaikkan imej Pas tetapi akan mencemarkan lagi nama baik parti itu.

"Pas ada etika dalam perhubungan kerjasama persefahaman rakan dalam Pakatan Rakyat. Apa jua keputusan disiplin yang dibuat oleh parti rakan kita, kita tetap menghormati keputusan tersebut.

"Tidak wajar kita terima, tiada pertimbangan langsung...saya tidak melihat apa-apa yang boleh membantu meninggikan imej Pas dengan kehadiran Zulkifli ke dalam Pas...ini akan memberi keburukan dan mencalarkan nama baik parti," katanya di sini, hari ini.

Beliau yang sebelum itu hadir pada sidang media ulang tahun kedua kemenangan pakatan pembangkang pada pilihan raya umum 2008, diminta mengulas kenyataan seorang lagi Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man semalam yang dilapor berkata, parti itu sedia mempertimbangkan penyertaan Zulkifli ke dalam Pas.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, beliau juga tidak tahu sejauh mana kebenaran kenyataan Tun Ibrahim itu dan sewajarnya isu itu tidak dipolemikkan.

Sabtu lalu, Majlis Pimpinan Pusat PKR sebulat suara memecat Zulkifli selepas lembaga disiplin parti itu mengambil kira tindakannya membuat laporan polis terhadap ahli Parlimen Shah Alam dari Pas, Khalid Samad berkenaan isu kalimah Allah dan kritikan beliau terhadap kepimpinan DAP.

Zulkifli dalam sidang medianya pada hari berkenaan dilapor berkata, tidak akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan tersebut mahupun mengosongkan kerusinya sebagai wakil rakyat seperti yang didesak PKR.

Di dalam blognya hari ini, Zulkifli berkata, beliau akan berjumpa dengan pucuk pimpinan Pas tidak lama lagi dan bersyukur serta berterima kasih kepada Tuan Ibrahim di atas pelawaannya itu.

Sementara itu, ketika mengulas pemecatan Zulkifli dan tindakan tiga ahli Parlimen PKR keluar parti baru-baru ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut hadir pada sidang media tersebut berkata PKR, hanya mengekalkan ahli yang komited terhadap agenda reformasi.

"Kami hanya akan mengekalkan mereka yang komited dengan agenda perubahan, tidak ada rasuah, tidak meminta projek atau kedudukan. Kalau itu kriteria anda, anda memilih parti yang salah," katanya. - Bernama

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.