Pencapaian akademik, kualiti sahsiah pelajar mesti seimbang

KEPUTUSAN peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 kelmarin menceritakan tahap pencapaian akademik pelajar peringkat menengah di negara ini. Daripada 364,046 calon mengambil peperiksaan, 1.99 peratus (6,277 pelajar) memperoleh gred cemerlang (1.6 peratus 2008). Ini dianggap pencapaian hebat. Secara keseluruhan, jumlah calon mendapat sijil bertambah 16,603 walaupun peratusan kekal 90.8 peratus iaitu sama seperti 2008. Namun, pencapaian akademik itu diharap turut menggambarkan pencapaian kualiti sahsiah pelajar. Apabila masih berlaku pelbagai kes gejala sosial dan jenayah membabitkan pelajar, ia turut dikaitkan dengan kesan pendidikan pada pembentukan disiplin serta pemantapan sahsiah. Memang tepat apabila Kementerian Pelajaran memberi semula tumpuan kepada pencapaian sukan dan penyertaan pelajar dalam kegiatan kokurikulum apabila menilai keseluruhan prestasi pelajar sekarang. Semua aktiviti dalam dua kegiatan itu memberi impak besar kepada penyuburan minda, emosi dan sikap yang menjadi elemen dalam satu proses pembinaan sahsiah mulia. Apabila sistem pendidikan kini turut menekankan aspek sukan dan kokurikulum maka satu pandangan daripada Majlis Permuafakatan PIBG Kebangsaan perlu diberi perhatian.

Badan itu mencadangkan, tumpuan sama perlu diberi kepada pembentukan disiplin pelajar. Antara caranya, kerajaan meneliti dan menggubal semula sukatan mata pelajaran Pendidikan Islam serta Pendidikan Sivil dan Moral (dan Pendidikan Modal untuk murid sekolah rendah). Selain mendedahkan asas agama, sukatan kedua-dua mata pelajaran itu perlu sarat dengan nilai didikan yang mampu diserap pelajar sepanjang proses pembinaan kerangka sahsiah mereka menjelang remaja sebelum memasuki alam dewasa. Kesan pendidikan bermutu bukan dipaparkan semata-mata dengan sijil, tetapi dibuktikan dengan cara hidup pelajar terbabit yang lebih bermoral dan berakhlak.
Kejayaan sistem pendidikan juga berkait rapat dengan penyertaan ibu bapa dalam proses membina insan (mendidik anak) secara langsung di rumah atau tidak langsung di sekolah. Adalah bijak apabila mereka aktif dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk berkomunikasi secara dua hala dan bukan bertindak menjadi ahli ‘Persatuan Ibu Bapa Belasah Guru’. Jika ibu bapa berkonflik dengan guru atau institusi pendidikan maka ia memberi kesan besar kepada anak (pelajar). Ringkasnya, ketika semua pihak menekankan aspek IQ dalam menyukat tahap diri seseorang, maka aspek penyuburan EQ (emotional quotient) juga perlu diselaraskan. Sama juga dengan keperluan membangunkan SQ (spiritual quotient) yang membabitkan penyuburan akidah, sikap dan nilai murni yang dirangkum dalam istilah pembinaan sahsiah tidak boleh terkecuali atau diabaikan sama sekali.

Terakhir, FQ (family quotient) adalah satu lagi tonggak menentukan masa depan pelajar dengan bersendikan pencapaian akademik, berakhlak dan insan yang stabil emosinya. Justeru, kejayaan merangkumkan kehebatan keempat-empat elemen ini maka tanpa ragu lagi akan melahirkan anak sekali gus pelajar lulusan SPM; kemudian memasuki institusi pengajian tinggi sebelum keluar menjadi ahli masyarakat yang mampu menyertai pembangunan negara serta ada sumbangan baktinya untuk bangsa, agama dan negara.
sumber

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

1 comment

Anonymous said...

akademik,sahsiah,aklhak,disiplin..ituyang penting..kokurikulum tak penting sbb sekolah yang tak begitu ketat kawalan aktiviti...budak2 skolah gunakan waktu koko untuk menggatal..muhyidin patut tahu..

Powered by Blogger.