Sepuluh Jangan Untuk Pemimpin Kami

SATU - Macam-macam alasan. Ada yang keluar kerana nak perjuangkan Islam dan Melayu melalui Umno. Ada yang mendakwa parti itu sudah menjafi parti anak-beranak.

Tidak kurang yang mendakwa kepimpinan parti tidak boleh disentuh langsung. Antara yang menarik juga ialah keluar parti itu kerana tidak puas hati dengan DAP.

Tan Beng Tee, Mohd Fairuz Khairudin, Sallehudin Hashim, Zahrain Mohd Hashim sudah keluar PKR. Ada yang masuk Umno dan ada yang menjadi bebas.

Sebagai mana mudahnya mereka masuk, begitulah senangnya mereka keluar. Sebagai mana banyaknya alasan untuk bersama, sebanyak itu juga alasan untuk berpisah.

Inilah nasib yang menimpa PKR pada masa ini. Apa pun ulasan pemimpin PKR, itulah realitinya. Kadang-kadang ulasan itu sekadar untuk menyedapkan hati sendiri termasuk meredakan keresahan sebahagian ahli yang lain.

Nasib baik semua itu berlaku pada masa ini. PRU masih jauh. Inilah masa yang sesuai untuk PKR menyiapkan bakal calon yang lebih berwibawa dan setia. Bukan sekadar untuk survival PKR tetapi juga untuk kebaikan Pakatan Rakyat.

Mereka yang keluar, biarkan mereka. Pemimpin PKR hendaklah menumpukan usaha mempertahankan sokongan yang ada dan menarik sokongan ramai lagi simpatisan kepada PKR dan PR.

DUA - PAS macam mana? Alhamdulillah, ketika ini belum ada dan diyakini tidak akan ada yang keluar PAS.

Walau pun ada yang tidak berpuashati, malah sangat tidak berpuas hati dengan beberapa perkembangan dalaman PAS, tidak ada yang keluar. Hatta, ada yang dikenakan tindakan disiplin pun, walau pun tidak sudi merayu, tetapi tidak berkerat rotan dengan PAS.

Orang PAS masuk PAS bukan untuk suka-suka tetapi untuk satu tujuan besar dan murni. Mereka tidak mengharap apa-apa daripada pemimpin PAS. Apa yang mereka harapkan ialah, harapan dan cita-cita mereka sebagai ahli PAS tidak disia-siakan oleh pemimpin PAS.

Pemimpin PAS tidak perlu bimbang sangat dengan kritikan ahli terhadap mereka. Apa yang perlu mereka bimbangkan ialah, berupayakah mereka memenuhi kehendak, inspirasi dan harapan ahli? Berupayakah mereka meyakinkan ahli bahawa kehendak, inspirasi dan harapan ahli itu tidak mereka persetankan?

Walau pun ahli PAS tidak akan keluar PAS, tapi ada perkara yang pemimpin PAS tidak boleh buat terhadap ahlinya. Inilah sepuluh ‘jangan’ itu:

1. Jangan berkonfrantasi atau ‘bermusuh’ dengan ahli.
2. Jangan mendiskrimasi atau ‘pilih bulu’ terhadap ahli.
3. Jangan buruk sangka atau ‘menjeling tajam’ kepada ahli.
4. Jangan wujudkan kem-kem atau ‘klik-klik’ di kalangan ahli.
5. Jangan pecah-belahkan atau ‘timbulkan perbalahan’ sesama ahli.
6. Jangan pinggirkan atau ‘peti sejukkan’ mana-mana ahli.
7. Jangan pandang rendah atau ‘remehkan’ kebolehan mana-mana ahli.
8. Jangan dengar pandangan sebahagian ahli dan ‘persetankan’ pandangan ahli yang lain.
9. Jangan anggap ahli sebagai musuh atau ‘sudah masuk Umno’ kerana tidak sependapat.
10. Jangan rasa ada ahli benar dan ‘bagus semuanya’ dan ada pula tidak bagus semuanya.

Tak apa, selepas ini saya akan menyenaraikan pula sepuluh jangan untuk ahli PAS. Kalau ada sesiapa yang sudi menyenaraikannya saya sangat alu-alukan dan saya akan siarkan dalam blog ini.

http://sauhdibongkar.blogspot.com/


Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.