Serah Jawatan Pengerusi PAC Kepada Pakatan Rakyat

Oleh Norasikin Samsi

KUALA LUMPUR 23 Mac - Ahli Parlimen Bachok Nasharuddin Mat Isa mencadangkan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam atau PAC diserahkan kepada Pakatan Rakyat ekoran kegagalan kerajaan pimpinan Umno-Barisan Nasional mengamalkan ketelusan dalam pentadbiran negara.

"Kalaulah PAC sebagai sebuah jawatankuasa Parlimen yang sepatutnya menilai, mengawasi serta membuat komen dan sebagainya itu datang daripada pihak kerajaan sahaja kita tidak dapat melihat ketelusan PAC walaupun ada ahli pembangkang yang duduk dalam jawatankusa PAC. Jawatan yang tertinggi diberikan kepada pembangkang hanyalah kepada MP Kepong Dr Tan Seng Giaw sebagai Timbalan Pengerusi.

"Banyak carian atau hasil yang dikemukakan oleh PAC kepada rakyat mempunyai keraguan malah kita sendiri sebagai Ahli Parlimen payah untuk mendapatkan maklumat secara telus dan tepat," kata beliau ketika membahas usul menjunjung kasih titah Yang DiPertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Nasharuddin juga mencadangkan diwujudkan sistem jawatankuasa bagi memperkukuhkan lagi demokrasi berparlimen di Malaysia.

"Jika jawatankuasa ini ditubuhkan, ia mestilah yang boleh sampai atau mendapat akses kepada tiap-tiap satu kementerian di bawah kerajaan. Memang betul kami di sebelah sini (pembangkang) mempunyai jawatankuasa kami sendiri tetapi untuk mendapatkan maklumat dengan jelas ada halangannya," kata beliau.

Katanya penubuhan sistem itu bertujuan bagi mewujudkan suara demokrasi yang sebenarnya dalam konteks demokrasi berparlimen sebagaimana menjadi amalan Parlimen di Australia.

Menurut beliau cadangan itu telahpun diusulkan beberapa kali, namun tiada sebarang tindak balas yang diperolehi daripada kerajaan.

Timbalan Presiden PAS itu juga berkata dengan tertubuhnya sistem jawatankuasa tersebut kekangan yang dihadapi Ahli Parlimen Pakatan Rakyat untuk mendapatkan maklumat berkenaan sesuatu kes yang melibatkan penyalahgunaan peringkat tertinggi kerajaan dapat dikurangkan.

"Setiap satu undang-undang yang hendak dibentangkan hendaklah dibentangkan dahulu di peringkat jawatankuasa yang telah dilantik yang sudah tentu kedua-dua belah Dewan ini banyak tenaga mahir yang mempunyai keupayaan sendiri untuk dibahaskan dalam Dewan ini," ujar Nasharuddin lagi.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.