Siapa Dr Zainal?

Ahli Parlimen Hulu Selangor Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR 25 Mac - Ahli Parlimen Hulu Selangor Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, 71, yang menghidapi barah otak meninggal dunia di rumah beliau di Batu 9 1/2, Jalan Cheras, Kajang pukul 9.27 malam tadi.

Allahyarham memenangi kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-12 atas tiket Parti Keadilan Rakyat dengan majoriti 198 undi mengalahkan Datuk G. Palanivel daripada Barisan Nasional.

Satu pilihan raya kecil dijangka diadakan dalam tempoh 60 hari mengikut peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Parlimen Hulu Selangor mempunyai 63,593 pengundi di mana 53.94 peratus adalah Melayu, 26.67 peratus Cina dan 18.98 peratus India serta 0.41 peratus lain-lain bangsa.

Dr Zainal adalah seorang ahli akademik sebelum menceburi dunia politik sepenuh masa.

Dilahirkan di Cheras pada 10 Oktober 1939, beliau memulakan kerjaya sebagai guru di Sekolah Tinggi Kajang (1961-1968) dan kemudiannya Pengetua Sekolah Menengah Kuala Kubu Baru dari 1972-1973 sebelum dilantik sebagai pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1974.

Zainal yang mendapat Doktor Falsafah Sains Politik dari University of California, Los Angeles pada 1980 pernah menjadi Dekan Fakulti Pendidikan UKM sebelum meninggalkan dunia akademik dan menyertai politik pada 1989.

Semasa dalam Umno Dr Zainal pernah menjadi pengerusi cawangan Umno Cheras pada 1987 serta pernah mengetuai Umno Bahagian Hulu Langat untuk beberapa penggal.

Dr Zainal menyertai KEADILAN pada tahun 2005 dan dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor dan Ahli Majlis Tertinggi bagi penggal 2007/2010.

Beliau turut aktif dalam pelbagai pertubuhan dan pernah menjawat jawatan seperti Pengerusi Persekutuan Pelajar Melayu, Pengerusi Majlis Pemuda Hulu Langat dan Naib Presiden Persatuan Olahraga Amatur Selangor.

Sebelum menyertai KEADILAN, Dr Zainal memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Dusun Tua atas tiket Barisan Nasional untuk tiga penggal berturut-turut iaitu pada pilihan raya umum 1990, 1995 dan 1999.

Beliau meninggalkan seorang isteri, Datin Siti Zaharah Md Zain dan empat orang anak. Al Fatihah.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.