Tengku Anis Sebak, Elia Suhana Menangis

RAJA Perempuan Kelantan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid dilaporkan sebak dan tidak dapat meneruskan ucapannya di satu majlis di Keranji, Pengkalan Chepa. Menurut laporan Tengku Anis sebak dan sedih kerana kerajaan negeri Kelantan tidak mengambil berat terhadap Sultan Kelantan yang gering.

Menurut Tengku Anis semasa Sultan Kelantan gering di Singapura pihak kerajaan negeri tidak datang menziarah dan diminta suruh menghadap pun tidak diendahkan. Dalam pada itu Tengku Anis memuji kerajaan Persekutuan termasuk Perdana Menteri, Mohd Najib Razak dan Siti Rosmah Mansor kerana mengambil berat terhadap sultan yang gering.

Khabarnya ucapan Tengku Anis itu tidak dapat diteruskan kerana terlalu sebak. Ianya terpaksa diteruskan oleh seorang kerabat di raja lain bernama Tengku Marjam.

Tengku Anis dilaporkan berucap dalam majlis maulid Rasul dan itu adalah kemunculan pertama kali sejak berada di Kelantan. Kira-kira lebih 10 bulan Tengku Anis berada di Singapura kerana menenami Sultan yang gering.

Mungkin hati wanita mudah cair apabila mendengar laporan berhubung Tengku Anis sebak itu. Selalunya wanita bila ada wanita lain menangis mereka juga akan turut menangis. Sudah pasti ramai hadirin di majlis maulid Rasul itu juga turut menangis apabila melihat Tengku Anis sebak. Mungkin beberapa isteri wakil rakyat juga menangis?

Di sini walaupun saya lelaki terasa juga sebak apabila membaca laporan berkenaan. Terasa semacam Tengku Anis keseorangan di Kelantan tanpa dipedulikan sesiapa sewaktu suaminya gering. Benarkah begitu dan kenapa jadi begitu?

Mungkin kita boleh menerima perasaan dukacita Tengku Anis itu. Tetapi kita juga perlu tahu kenapa terjadi demikian. Jarang berlaku kerajaan negeri akan mengabaikan Sultan apa lagi dalam keadaan gering. Tentulah ada sebab musababnya kenapa kalau kerajaan negeri tidak mempedulikan Sultan.

Jadi adalah baik bagi Tengku Anis atau sesiapa juga teruja dengan kenyataan Tengku Anis itu melihat apakah kesalahan sehingga berlaku kejadian yang tidak patut itu. Kalau ada yang tidak kena dan salah diatur semula dan perbetulkan. Kita percaya kalau semuanya berjalan baik dan mengikut adat istiadat yang diterima pakai keadaan tidak akan berlaku begitu.

Dalam pada itu tidak dapat pula hendak diselami apa yang berlaku kepada Cik Puan Elia Suhana isteri kedua Sultan Kelantan. Khabarnya beliau dihalang untuk menemui suaminya seperti mana diarah mahkamah. Beberapa hari lalu ada seseorang telah memfailkan permohonan cerai talaq tiga ke atasnya tanpa pengetahuannya.

Apakah Cik Puan Elia Suhana juga sebak dan menangis? Cuma bezanya kalau Cik Puan Elia Suhana menangis hanya dia saja yang tahu, kerana tidak diceritakan kepada rakyat!

http://msomelayu.blogspot.com/



Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.