1 Malaysia menuju kehancuran?

1 Malaysia menuju kehancuran?
July 12, 2010

12 JULAI — Gagasan 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berada dalam keadaan bahaya.

Partinya sendiri, United Malay National Organisation (Umno) tidak dilihat begitu bersama konsep yang bercita-cita untuk menyatupadukan rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama.

Timbalannya sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak bercakap senada dengannya dan dilihat tidak bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan konsep 1 Malaysia. Begitu juga pimpinan-pimpinan Umno yang lain secara keseluruhannya.

Hanya ada dua orang yang dilihat bersama dengan gagasan Najib ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dan ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin. Akan tetapi seperti yang diketahui umum, kedua-dua pimpinan Umno ini tidak begitu popular didalam parti mereka.

Nazri Aziz hilang populariti dikalangan “pembesar-pembesar” Umno oleh kerana keberaniannya berlainan pendapat dengan mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad.

Dr Mahathir seperti yang diketahui umum masih mempunyai pengaruh yang kuat di dalam Umno walaupun tidak memimpin parti tersebut semenjak 2003.

Semenjak di zaman pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi, Nazri telah bertindak sebagai panglima kepada perdana menteri sehingga lantang mengkritik Dr Mahathir.

Setelah Najib menjadi perdana menteri, Nazri sekali lagi bertegang urat dengan Dr Mahathir sehingga pernah melabelkan perdana menteri keempat itu sebagai “Bapa Politik Perkauman”.

Ahli parlimen Rembau yang juga Ketua Pemuda Umno tidak begitu popular dikalangan sayap yang dipimpinnya dan parti Umno secara keseluruhannya. Beliau juga tidak disukai oleh Dr Mahathir yang secara terbuka mengkritiknya.

Dizaman pemerintahan Abdullah, Khairy dikatakan begitu berkuasa dan begitu berpengaruh didalam pembuatan keputusan yang dilakukan oleh perdana menteri pada ketika itu. Ini telah menyebabkan kebencian timbul kepadanya dikalangan pimpinan dan ahli Umno.

Hanya Nazri dan Khairy sahajalah yang jelas dilihat menyokong gagasan 1 Malaysia yang dibawa oleh Najib. Selebihnya, tidak dilihat begitu bersungguh dalam menjayakan gagasan yang dibawa oleh perdana menteri.

Pengaruh Perkasa

Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) lahir selepas Tsunami politik 8 Mac 2008. Perkasa diasaskan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali. Secara ringkasnya, objektif Perkasa adalah untuk melindungi hak-hak orang Melayu daripada orang-orang bukan Melayu.

Perkasa mendakwa kek ekonomi tidak dibahagikan dengan sama rata. Menurut mereka lagi, orang-orang Melayulah yang paling tertindas dalam pembahagian kek ekonomi ini.

Ibrahim yang bertanding diatas tiket PAS dalam PRU 12, mengisytiharkan diri sebagai ahli parlimen bebas dan mula menggerakkan Perkasa. Perkasa mendapat sokongan dan naungan daripada Dr Mahathir.

Pimpinan-pimpinan tertinggi Umno termasuk ahli kabinet Najib menyatakan sokongan secara terbuka kepada Perkasa. Muhyiddin Yassin, Mukhriz Mahathir, Noh Omar, Awang Adek dan Fuad Zarkashi adalah diantaranya.

Perlahan-lahan Perkasa membina nama dalam arena politik negara. Pertubuhan ini bergerak keseluruh negara dan turut mendapat sokongan daripada ahli-ahli Umno di akar umbi.

Perkasa mula menjadi popular dikalangan orang-orang Melayu yang merasakan bahawa Umno tidak begitu berani memperjuangkan nasib mereka. Walaupun Perkasa adalah sebuah NGO, oleh kerana ianya digerakkan oleh orang-orang politik, organisasi tersebut mula berkembang mengikut “gaya” parti politik.

Tidak mustahil juga jika satu hari nanti Perkasa akan menjadi parti politik.

Perkasa membuka jaringan disetiap negeri. Selain itu, Perkasa turut mempunyai sayap Pemuda (Wira), Wanita dan Serikandi mirip kepada parti-parti politik.

Semenjak ditubuhkan, Perkasa secara lantang menyuarakan pandangan mereka. Selain daripada bersilat lidah dan bertengkar dengan Pakatan Rakyat (PR), Perkasa turut bertembung dengan pimpinan BN.

Baru-baru ini pengerusi Perkasa bertikam lidah dengan Wee Ka Siong dalam isu biasiswa. Kemudian pertengkaran itu berpindah kepada Khairy Jamaluddin yang membela Ketua Pemuda MCA itu.

Pengaruh Perkasa menjadi kuat sehinggakan pertubuhan tersebut seringkali dibincangkan di media baik bagi yang menyokong mahupun yang menentangnya.

Persatuan ala Perkasa oleh MCA

Sebelum ini, penentangan terhadap 1 Malaysia hanya terlihat daripada pimpinan Umno yang mempergunakan Perkasa. Kini ianya turut merebak ke parti komponen kedua terbesar BN iaitu Malaysian Chinese Association (MCA).

Naib Presiden MCA, Datuk Donald Lim Siang Chai mencadangkan agar sebuah NGO ala Perkasa ditubuhkan oleh kaum Cina. Ini merupakan langkah untuk menghadapi Perkasa yang dipimpin oleh Ibrahim Ali.

Donald mencadangkan agar kumpulan yang bakal ditubuhkan tersebut diterajui oleh Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH). Menurut beliau tuntutan-tuntutan untuk kepentingan kaum Cina boleh disuarakan secara lantang oleh NGO yang bakal ditubuhkan tersebut.

Donald Lim menggesa agar masyarakat Cina tidak perlu risau dengan Perkasa oleh kerana mereka juga boleh menubuhkan kumpulan seumpama itu.

Jika cadangan Donald Lim menjadi kenyataan, Malaysia akan mempunyai sebuah lagi Perkasa kali ini untuk masyarakat Cina.

Sebelum tsunami Mac 8, kaum India mempunyai Hindu Rights Action Force (Hindraf). Hindraf dikatakan menjadi salah satu faktor undi masyarakat India beralih kepada pakatan pembangkang.

Pada ketika itu pengaruh Hindraf menjadi begitu kuat sehinggakan perdana menteri sendiri menyokong kemasukkan parti Makkal Sakti yang merupakan pecahan kepada Hindraf kedalam BN.

Kemana masa depan Malaysia?

Malaysia kini berada diambang bahaya. Setelah sekian lama dipimpin oleh parti-parti yang berasaskan kaum, kini kumpulan-kumpulan pelampau kaum lahir satu persatu.

Masing-masing sibuk untuk memperjuangkan nasib kaum mereka sendiri.

Mahu tak mahu, pemerintah terpaksa memenuhi tuntutan-tuntutan kumpulan ini. Malaysia akhirnya gagal menjadi sebuah negara yang menyatukan penduduk pelbagai kaum dan agama. Ini berlaku pada ketika Malaysia telah lama merdeka.

Najib Razak gagal untuk memperkuatkan jenama 1 Malaysia dikalangan partinya dan parti komponen BN. Tidak mustahil 1 Malaysia akan menerima nasib yang sama dengan Islam Hadhari yang dibawa oleh Abdullah Badawi satu ketika dahulu.

Islam Hadhari hilang sebaik sahaja Abdullah turun dari takhta. Ini juga yang bakal terjadi kepada 1 Malaysia. Yang rugi adalah rakyat Malaysia. Setelah sekian lama, kita masih lagi tidak dapat bersatu di bawah payung Malaysia.

Amin Iskandar adalah Pengarah Eksekutif National Institute for Electoral Integrity (NIEI), sebuah badan bukan kerajaan yang aktif dalam program pendidikan pengundi dan pemantauan pilihanraya. Beliau juga adalah pemilik blog http://aminiskandar.com

No comments

Powered by Blogger.