10 peratus peneroka Felda penyokong PAS

Bahagian akhir

Oleh : Muda Mohd Noor

PETALING JAYA: Barangkali ramai yang beranggapan bahawa semua 225,260 peneroka Felda merupaka penyokong Barisan Nasional (BN) tetapi hakikatnya kira-kira 10 peratus adalah pengundi PAS.

Ini bermakna lebih lebih 24,000 peneroka Felda berkenaan adalah pengundi pembangkang khususnya PAS dan sesetengah mereka merupakan ahli parti itu sejak sekian lama.

Tetapi jika diambil kira jika anak dan cucu peneroka berkenaan turut menyokong PAS, jumlahnya lebih besar daripada itu kerana generasi Felda kini ialah kira-kira 1.6 juta orang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Mazlan berkata," ini syarat yang dikenakan oleh PAS untuk menyertai BN dalam tahun 70-an dahulu.

"Presiden PAS, Datuk Asri Muda waktu itu membawa penyokongnya dan penyokong parti itu masuk ke tanah rancangan Felda dan generasi mereka kekal menyokong parti itu," katanya dalam satu pertemuan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ahmad merupakan timbalan menteri jabatan perdana menteri yang menjaga urusan Felda. Manakala menteri yang bertanggungjawab ialah Datuk Seri Najib Tun Razak, perdana menteri.

Namun Ahmad mendakwa Felda masih lagi merupakan kawasan yang menjadi kubu kuat kepada Umno dan majoriti mereka menyokong calon itu dalam pilihanraya kecil parlimen Hulu Selangor, April lalu.

Bagaimanapun, pemimpin pembangkang pula mangatakan pengurusan Felda mengenakan pelbagai tekanan dan ugutan termasuk tidak memberikan hak milik kekal kepada peneroka yang menentang kerajaan.

Satu lagi dakwaan ialah peneroka yang mengusahakan sendiri mendapat hasil yang lebih banyak daripada bergantung kepada Felda.

Mengulas perkara ini, Ahmad berkata, Felda memberikan bantuan kewangan sebanyak RM1,000 sekeluarga pada tahun pertama dan RM1,500 pada tahun berikut sebagai wang sara hidup sebelum ladang mengeluarkan hasil.

"Ini pinjaman tanpa riba untuk meringankan beban hidup peneroka semasa proses penanaman semula tersebut. Kalau mereka tidak bayar, kita tolak dari hasil yang diperolehi peneroka berkenaan.

"Saya juga mahu menjelaskan peneroka yang tidak membayar sehingga habis pinjaman mereka dengan Felda tidak akan mendapat geran hak milik.

"Kena juga ingat bahawa tanah yang mereka usahakan itu merupakan tanah pemberian kerajaan negeri, Felda cuma mendapatkan peneroka untuk memajukan dengan tanaman kelapa sawit.

"Jadi orang kampung atau mereka yang sebelum ini tidak mempunyai tanah, dengan menyertai Felda akan mendapat tanah untuk rumah dan juga tanaman kelapa sawit," katanya.

No comments

Powered by Blogger.