Ada Loteri Di Kota Bharu?

Jualan tiket judi loteri berleluasa di Kota Bharu

KOTA BHARU: Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan mendedahkan jualan tiket judi loteri dan empat nombor ekor dilakukan secara berleluasa dan terbuka di bandar ini.

Ketuanya, Anuar Safian, berkata pihaknya mempunyai bukti mengenai premis yang berselindung di sebalik toko buku sebagai premis menjual loteri dan nombor ekor.
“Selama ini, Kerajaan PAS Kelantan mendabik dada mendakwa negeri ini bebas judi, maka hari ini Pemuda UMNO menunjukkan bukti ada banyak kedai jualan tiket loteri dan toto berleluasa dan menjualnya secara terbuka di sini.
“Berikutan itu, Pemuda UMNO Kelantan meminta kerajaan negeri menutup premis judi itu, sekiranya mereka ikhlas dalam perjuangan menegakkan Islam seperti dilaung-laungkan selama ini.

“Premis menjual tiket loteri dan nombor ekor itu dilesenkan pihak berkuasa tempatan (PBT) atau majlis perbandaran untuk beroperasi. Keadaan yang berlaku ini bukti kerajaan negeri hanyalah beretorik melalui dasar yang dilaksanakan dan berselindung di sebalik slogan dan kata-kata bagi menipu rakyat Kelantan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.

Dalam kenyataan media itu, Pemuda Umno Kelantan turut mengemukakan gambar tiket loteri yang diperoleh mereka dari sebuah kedai buku di bandar ini sebagai bukti.

Anuar berkata, sekiranya PAS Kelantan memperjuangkan Islam seperti dilaungkan selama ini, pusat judi dan nombor ekor di negeri ini perlu ditutup segera atau bubarkan saja parti itu jika tidak mampu menutupnya.
Mengulas dakwaan Pemuda UMNO itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata kerajaan negeri tidak pernah membenarkan premis judi beroperasi di negeri ini.

“Kita tidak akan berkompromi dalam meluluskan premis untuk perjudian. Asasnya kita tidak akan meluluskan lesen bagi apa-apa kegiatan judi,” katanya.

"Kita minta laporan dibuat jika ada premis menyalahgunakan lesen mereka. Tindakan tegas akan diambil kepada pemilik premis yang menyalahgunakan lesen premis yang berikan PBT kepada mereka,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.