Ahli UMNO sendiri rosakkan parti

BUKIT JALIL - UMNO tidak pernah rosak, tetapi ahli yang rosak itulah yang cuba merosakkan UMNO.

Setiusaha Agung UMNO Malaysia, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, ahli yang berkepentingan peribadi dan mempunyai niat tidak baik sebenarnya yang rosak, bukan UMNO.

“Datuk nenek moyang kita yang menubuhkan UMNO menggariskan misi dan visi perjuangan parti.

“Misi dan visi itu akan kekal relevan sampai bila-bila. Ini bermakna UMNO adalah relevan untuk selamanya,” katanya ketika berucap pada Persidangan UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, kelmarin.

Menurut beliau, UMNO lemah bukan kerana pembangkang kuat, tetapi ada antara ahli sendiri yang menjadi duri dalam daging.

Beliau kecewa kerana ada Bahagian yang berpecah kerana ahli mementingkan diri sendiri.

Sementara itu, beliau berkata, itu antara sebab kenapa Wilayah Persekutuan ‘bungkus’ pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12.

Beliau berkata, Bandar Tun Razak kawasan dan nama yang indah kerana majoritinya Melayu.

Namanya sempena Perdana Menteri (PM) kedua dan ayahanda PM kini.

Persidangan dihadiri 224 perwakilan di Bukit Jalil Golf Resort itu didakwa menyaksikan segelintir ahli cuba memulaukannya bagi tujuan tertentu.

Menurut Tengku Adnan, tindakan itu sangat tidak patut wujud dalam Bahagian UMNO kerana boleh menjejaskan nama baiknya.

“Individu berkepentingan ini sepatutnya tahu perjuangan UMNO sebenar bukannya mengharapkan untuk kepuasan mereka.

“Saya bukan saja untuk merasmikan persidangan, tetapi melihat sendiri keadaan yang berlaku dan mengingatkan perwakilan supaya tahu perjuangan sebenar,” katanya mengulas mengenai pergolakan yang berlaku di Bahagian ini.

Sementara itu, Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Saharudin Zainal Abidin berkata, beliau mahu bekerjasama dengan semua pihak untuk kepentingan rakyat di sini.

“Hentikan perselisihan faham, mari kita bekerja bersama membela nasib bangsa dan agama.

“Kita perlu berjuang mengembalikan kerusi di parlimen ini,” katanya.

Selain itu, beliau juga berharap perwakilan bergerak lebih proaktif bagi meningkatkan peratusan pengundi Melayu kepada 55 peratus pada PRU-13.

Persidangan itu juga menyaksikan pertandingan pemilihan perwakilan tujuh (G7) seramai 17 calon tiga daripadanya menarik diri dan dua calon tidak hadir.


nama jer UMNO, Semua ROSAK

No comments

Powered by Blogger.