Al Gore marah tak dapat urut batin

PORTLAND: Bekas Naib Presiden Amerika Syarikat, Al Gore, naik marah dan cuba melakukan ‘serangan seksual’ selepas permintaannya ditolak seorang tukang urut, menurut satu rakaman yang didedahkan oleh polis, mengandungi keterangan wanita itu terhadap bekas pemimpin berkenaan.

Polis membuka semula siasatan mengenai dakwaan bahawa Gore meminta Molly Hagerty, 54, memberi perkhidmatan seks di sebuah bilik hotel di Oregon pada 2006. Gore, bagaimanapun, menafikan dakwaan terhadap beliau.
Hagerty kali pertama membuat laporan polis pada 2009 tetapi siasatan ditutup selepas pihak berkuasa gagal menemui bukti kukuh.
Bagaimanapun, seminggu selepas satu artikel mengenainya disiarkan majalah sensasi, National Enquirer, pihak berkuasa Oregon menyiarkan rakaman temu bual dengan Hagerty.

Dalam rakaman itu, beliau mendedahkan bahawa Gore melakukan satu perbuatan seksual yang tidak diingini terhadap beliau.

“Beliau meminta saya mengurut lebih jauh ke bawah daripada bahagian perut. Saya amat terkejut dan tidak mengurut lebih daripada yang saya rasakan ‘kawasan selamat dan tidak seksual’ iaitu di perut.

“Beliau, bagaimanapun, terus berkeras, marah dan dengan tegas memberi arahan dengan nada kuat. Saya semakin terkejut kerana sedar beliau mahu bantuan atau perlakuan seksual.”
Minggu lalu, polis berkata, mereka tidak akan membuka semula kes itu kecuali ada bukti baru. Semalam, seorang jurucakap memberitahu kes berkenaan akan dibuka semula tetapi tidak menerangkan lebih lanjut mengapa.

Sementara itu, Hagerty muncul di khalayak umum buat kali pertama mendedahkan identiti beliau dalam National Enquirer. Polis memberitahu media wanita itu tidak menghubungi mereka membabitkan kes berkenaan.

Jurucakap keluarga Gore terus menafikan dakwaan itu. “Siasatan lanjut perkara ini akan berpihak kepada Gore,” kata Kalee Kreider.

“Gore tidak boleh membuat komen terhadap fitnah, berita tidak tepat dan cerita tidak betul diwujudkan tabloid.”

Hagerty memberitahu National Enquirer bahawa insiden terbabit berlaku selepas beliau ditempah untuk satu sesi urut £360 (RM1,728) di hotel mewah Lucia di Portland, Oregon pada 2006. – Agensi

No comments

Powered by Blogger.