Antara PAS Dengan Ibrahim Ali. Mana Satu Hipokrit?

Ibrahim Ali: ‘Saya dapat tengok hipokrasi PAS, Umno’

Oleh G. Manimaran


KUALA LUMPUR, 23 Julai — Datuk Ibrahim Ali berkata beliau memang telah menjangkakan pemimpin Umno dan PAS akan menolak idea Perkasa agar kedua-dua parti Melayu Islam itu dibubar lalu ditubuhkan parti baru jika kerjasama perpaduan tidak menjadi kenyataan.

“Mereka tak setuju OK, saya sudah jangka. Malah mereka akan melenting lagi,” kata beliau kepada The Malaysian Insider hari ini.

Presiden Perkasa itu berkata beliau tidak sedih sama sekali dengan pendirian Umno dan PAS kerana keputusan itu memang sudah dijangkakan.

Malah kata beliau, mustahil cadangan Perkasa ini akan diterima oleh kedua-dua parti itu.

“Cuma saya dapat tengok hipokrasi masing-masing dalam isu perpaduan.

“Bagi saya ia cuma satu panggilan kebangkitan... penting Melayu Islam dan Bumiputera bersatu kerana ia teras pada perpaduan rakyat Malaysia demi kestabilan dan keamanan negara,” kata Ibrahim (gambar) mengulas laporan awal The Malaysian Insider hari ini.

PAS dan Umno menolak bulat-bulat idea Perkasa agar kedua-dua parti Melayu-Islam itu dibubarkan bagi mengorak langkah penubuhan parti baru jika usaha kerjasama perpaduan gagal menjadi realiti.

Kedua-dua parti yang berusia lebih enam dekad ini akan kekal dengan matlamat perjuangan masing-masing sambil menyifatkan idea yang dilontarkan oleh Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas itu sebagai pandangan peribadi beliau semata-mata.

Sebaliknya terpulang kepada Ibrahim dan Perkasa jika mahu menubuhkan sebuah parti baru, kata pemimpin Umno dan PAS yang dihubungi The Malaysian Insider.

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan memberitahu, Umno dan PAS yang sudah lama wujud dalam arena politik negara ini, sejak era memperjuangkan kemerdekaan, akan berusaha ke arah mencapai perpaduan kedua-dua parti itu.

“Umno telah berjasa sejak era kemerdekaan, akan berusaha ke arah perpaduan orang Melayu dan Islam, yang sudah pasti akan menguntungkan semua kaum di negara ini... akan memfokus soal perpaduan (Umno-PAS), tetapi Umno dan PAS tidak akan dibubarkan, Umno sudah pasti (tidak akan dibubarkan)...,” katanya.

“Bagi saya apa yang dikatakan oleh Datuk Ibrahim adalah pandangan peribadi beliau,” katanya.

Semalam Ibrahim berkata, parti baru ini seharusnya mengadaptasikan objektif kedua-dua PAS dan Umno.

“Saya tahu idea ini sesuatu yang provokatif, tetapi perlembagaan untuk satu parti Melayu yang baru, yang menggabungkan matlamat PAS dan Umno boleh dirangka oleh sebuah jawatankuasa pemandu,” kata Ibrahim lagi.

Katanya, ia adalah mekanisme menjaga air muka, sekali gus mengelakkan persoalan sama ada PAS harus menyertai Barisan ataupun sebaliknya tidak timbul sama sekali.

“Bubarkan PAS, bubarkan Umno dan semua sertai parti baru,” kata beliau.

Dalam reaksi balas, kata Ibrahim, cadangan beliau juga satu tindakan provokatif untuk melihat parti mana yang lebih ikhlas ke arah perpaduan.

“Setakat ini kenyataan dari pembangkang kuat mengecam saya... Azmin Ali (Naib Presiden PKR) atau pemikiran kolot. Mengapa? Sebab kalau PAS, Umno bersatu habis lah PKR.

Azmin menyifatkan Ibrahim seperti “katak di bawah tempurung” kerana masih mempunyai pemikiran ketinggalan zaman.

Ibrahim mendakwa PKR dan Azmin akan ‘survive’ politik selagi Melayu berpecah dan PAS bermusuh dengan Umno.

“Mudah untuk faham,” katanya.

“Salahudin Ayub, Naib PAS kata tak nak layan komen Ibrahim Ali... memang susah nak komen bila hal keikhlasan perpaduan,” katanya.

Kata beliau, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata PAS dan Umno tidak boleh bersatu macam pasukan bola.

“Kenapa buat anologi bola? Kenapa tidak rujuk al-Quran dan Hadis... bagi saya PAS bukan lagi parti Islam... DAP seharusnya gembira dengan perkembangan ini,” kata Ibrahim lagi.

“Bagi saya ibadah silaturahim adalah tuntutan Islam,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.