Dasar Britain sukarkan penyelesaian isu Raja Petra — Zulkifli Jalil

7 JULAI — Sudah terang lagi bersuluh kehidupan Raja Petra Kamaruddin dan P. Balasubramiam di kota besar London ditaja pihak tertentu.

Firasat ini dibangkitkan tidak lama dulu oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim. Dengan beberapa penampilan kedua-dua individu terbabit bergambar bersama orang kanan sebuah parti pembangkang negara ini, ia hampir mengukuhkan lagi sentimen itu.

Bagi Rais yang bertanggungjawab ke atas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), beliau amat percaya Raja Petra didalangi oleh pihak ketiga yang menggalakkan dia untuk terus menyebarkan fitnah dan memburuk-burukkan kerajaan Malaysia.

Gelagat dan perlakuan Raja Petra di negara ini sebelum menyembunyikan diri di London sememangnya mencurigakan.

Menurut Rais, hasrat untuk menggunakan segala saluran undang-undang bagi membawa pulang kedua-dua individu terbabit dari London untuk dibicarakan di mahkamah di sini memang ada. Namun terdapat kekangan di sana memandangkan Britain sendiri cukup tidak senang dan enggan mengiktiraf undang-undang di negara ini khususnya Akta Hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dengan ketiadaan perjanjian ekstradisi London-Malaysia, bermakna bermaharajalelalah Raja Petra “menghentam itu dan ini” tentang Kuala Lumpur dan rakyat Malaysia di sebalik kehidupan mewahnya di sana.

Rais yang juga pakar perundangan negara memberitahu, Britain tidak akan sekali-kali mengambil tindakan ke atas Raja Petra, perkara sama yang dilakukan kuasa besar itu kepada pemimpin Hindraf, P. Waytha Moorthy yang juga berada di kota London ketika ini. Malah, Britain memberi ruang kepada individu-individu sebegini untuk tinggal dan hidup di negaranya. Ia dibuat atas dasar kononnya pertimbangan kemanusiaan.

“Britain mengamalkan konsep ini iaitu jika ada pihak mengadu kepada kerajaannya bahawa jika dia tersekat atau diapa-apakan di luar undang-undang biasa, maka individu terbabit akan diberi kemudahan tempat tinggal atau lokasi yang selamat,” katanya.

Rais mengakui sememangnya portal-portal berita antikerajaan seperti Malaysia Today dan Malaysiakini sukar dikekang penyaluran bahan fitnah dan serangan ke atas kerajaan.

“Ini kerana pangkalan laman webnya atau pusatnya berada di luar Malaysia. Kalau Yahoo Malaysia tak mengapalah, kita boleh kawal tetapi jika Yahoo United Kingdom, sukar kita nak “tembusnya” secara fizikal (tindakan undang-undang),” kata beliau.

Begitupun tegas Rais, beliau bersama SKMM kini menggerakkan penguatkuasaan ke atas laman web yang beroperasi di negara ini. Ini kerana terdapat banyak olahan mencerca dan mengaibkan Raja-raja Melayu dan orang Melayu berleluasa di sana dan sini.

Rais beranggapan, Raja Petra tidak ubah seumpama idealis individu yang pentingkan diri sendiri.

“Masanya akan tiba dan faktanya cukup jelas iaitu jika dia balik, dia terpaksa menghadapi undang-undang negara ini,” kata Rais. — Utusan Malaysia

No comments

Powered by Blogger.