DPPNS Serah Memo Tuntut MB Siasat Skandal Pegawai Kewangan Negeri

Oleh Norasikin Samsi

SHAH ALAM 15 Julai - Seramai 30 ahli Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) menyerahkan memorandum bantahan kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung skandal kewangan melibatkan seorang pegawai kewangan Kerajaan Negeri Selangor.

Ketua DPPNS, Hasbullah Mohd Ridzuan berkata, tujuan DPPNS menyerahkan memorandum tersebut bagi mendapatkan perhatian Menteri Besar mengenai dakwaan skandal penyelewengan kewangan berjumlah RM3 juta itu.

Menurutnya, blog skandalselangor.blogspot.com mendakwa Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Arif Ab Rahman telah melakukan penyelewengan dan salah guna kuasa dengan membelakangkan peraturan kerajaan negeri yang sedia ada.

Beliau berkata, pegawai berkenaan telah membuat pelantikan kontraktor secara terus tanpa melalui kerajaan negeri dan perkara tersebut bertentangan dengan surat pekeliling perbendaharaan negeri Selangor.

Blog itu juga mendakwa kontraktor tersebut yang dilantik dalam satu projek penyelengaraan parit dan longkang di kawasan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) juga tidak mendaftar di bawah Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) Selangor.

"Hanya enam kontraktor sahaja yang berdaftar di bawah Upen daripada 27 kontraktor yang ditawarkan kerja tersebut," katanya.

Sehubungan itu Hasbullah berkata DPPNS menggesa Menteri Besar melakukan siasatan berhubung dakwaan tersebut bagi memastikan kesahihan pendedahan skandal berkaitan.

"Menteri Besar perlu memberi penjelasan mengenai skandal pegawai yang terlibat supaya kerajaan negeri bersikap telus dengan mendedahkan perkara ini untuk pengetahuan rakyat.

"Tan Sri Khalid perlu peka mengenai penyelewengan yang berlaku dan menganggap ianya sebagai satu isu penting kepada kerajaan negeri," kata beliau di lobi sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Hasbullah berkata, DPPNS juga memohon agar skandal penyelewengan pegawai berkenaan di bawa kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawab dan Ketelusan (Selcat) untuk memastikan imej dan reputasi kakitangan kerajaan negeri sentiasa bersih.

"Pemuda PAS Selangor memandang serius dakwaan penyelewengan ini yang mampu memburukkan imej kerajaan negeri jika terus dibiarkan.

"Kerjasama kerajaan negeri untuk menjalankan penyiasatan dan tindakan oleh Tan Sri Khalid sendiri amatlah dihargai supaya Selangor bebas daripada rasuah dan sebarang bentuk penyelewengan," tambah beliau.

No comments

Powered by Blogger.