Fatwa & ESQ ; Mana Yang Serabut?

Serabut sungguh kelihatan keadaan ilmuan agama rasmi kerajaan dalam hal ESQ. Ramai pula yang meminta ulasan saya. Sebenarnya saya telah mengulas berkenaan ESQ tahun lalu. BUKA SINI (http://www.zaharuddin.net/content/view/828/95 ). Pun begitu, ulasan kontrusktif saya itu dilihat negatif oleh penyokong taksub ESQ. Sehingga ramai juga yang menyerang saya dek kerana terbuai emosi cintakan ESQ.

http://sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-ash2/hs014.ash2/34047_409266701575_226669856575_5067175_5837250_n.jpg

Ulasan saya itu diambil perhatian seketika oleh pihak ESQ di ketika mereka diserang oleh JAKIM. Apabila mereka berjaya mendapat tapak sokongan melalui Mufti Perak, Menteri dan lain-lain tokoh. Ada yang melaporkan kepada saya, bahawa cadangan dan teguran saya hampir semuanya dibakul sampahkan sahaja. Malah di satu ketika, saya difahamkan pengurusan tertinggi ESQ cuba memperbaiki modul mereka dengan membuang mana-mana bahagian yang dikira boleh mendatangkan masalah sama ada berkaitan hal pokok atau cabang dalam kursus mereka, namun sebahagian penyokong kuat ESQ membantah sehingga membuat petition rasmi. Sebagai contoh mudah, mereka tidak mahu 'joget dan lagu matahari' mereka ditiadakan, dan macam-macam lagi tuntutan mereka. Pengurusan berbelah bahagi. Akhirnya lagu matahari dan joget itu dilaporkan telah diluluskan oleh seorang mufti yang kuat menyokong ESQ, katanya sesuai untuk anak muda. lalu cased is closed, no need to change. Begitu juga banyak lagi hal lain yang tidak lagi dalam ingatan saya.

Sejak dari itu, kursus ESQ sudah saya abaikan dari perhatian, khususnya apabila mereka telah menubuhkan majlis penasihat Shariah sendiri. Bagi saya, urusan semua peserta ESQ dan pengurusan ESQ di hadapan Allah sudah dipindahkan kepada bahu lima orang penasihat Shariah itu. Jika masih ada yang sesat atau menyeleweng, mereka lima orang itulah yang akan menanggungnya dahulu, diikuti oleh penggerak utama. Jika ada kebaikan, maka mereka semua jugalah bakal mendapat gandaan kebaikannya.

HANGAT SEMULA

Kini, ESQ digugat lagi oleh Mufti Wilayah Persekutuan. Saya kira mungkin ada baiknya juga, biar pihak pengurusan ESQ lebih celik mata untuk menapis kandungan ESQ dengan lebih rapi, lebih peka dan bersungguh menejlaskan mana yang masih kelabu dan ragu. Perlu ingat, bukan hanya kandungan, tetapi juga implementasi. Kandungan betul boleh sahaja disampaikan dalam bentuk yang salah dan tidak menepati hukum Islam.

Warta Mufti Wilayah itu juga mungkin boleh membuka peluang kepada pelbagai ilmuan dari pelbagai aliran untuk campur tangan, menyemak dan membetulkan apa yang sudah ada di dalam ESQ. Khususnya warta Mufti Wilayah kelihatan bukan sahaja menumpu kepada ‘Kursus ESQ’ tetapi fahaman, ideologi dan pembawakan pengasas ESQ itu sendiri, iaitu Pak Ary. Ini kerana kelihatan mereka lebih banyak memberikan fakta dan data dari sumber buku tulisan pengasas tersebut berbanding hanya memberi fokus kepada kursus. Dari tinjauan saya di akhbar online hari ini dan semalam (9-10 Julai 2010), pelbagai pihak berkuasa agama mula berjanji melakukan semakan lagi terhadap ESQ. Saya kira ia boleh dilihat sebagai satu janji yang baik.

Ada yang menggaru kepala bila membaca kenyataan ini (http://www.bharian.com.my/bharian/articles/2010070911483620100709114836/Article/) :-

"Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 16 Jun lalu yang dihadiri mufti-mufti memutuskan ESQ tidak bertentangan dengan akidah dan syariat Islam serta tidak bertentangan dgn ajaran Ahli Sunnah Waljamaah. "

Lalu, mengapa Mufti Wilayah berbeza?

Tidak perlu dipelikkan, sejak dahulu pun Mufti negeri tidak semestinya sependapat dengan Majlis Fatwa Kebangsaan, lihat sahaja jawatankuasa rasmi fatwa kerajaan Negeri Selangor tahun 1993 yang dipengerusikan oleh Al-Marhum Dato' Hj Ishak baharom berkenaan ASB (buka halaman 14).

Pandangannya tidak sama dengan mufti yang lain. Buka di :
http://www.muftiselangor.gov.my/PortalFatwaSelangor/html/Download/Keputusan/KeputusanFatwa1993/KoleksiKeputusanFatwa1993.pdf


Itu dalam isu berkaitan interpetasi hukum Fiqh Muamalat dan Usul Fiqh, khususnya Maqasid Al-Shariah. Kini isunya dalam bab Aqidah dan Falsafah, yang mana sebahagian besarnya masih lagi berkisar dalam bab intrepetasi intelektual seseorang ilmuan. Setakat pembacaan ringkas saya hasil tulisan warta itu, jelas ia masih lagi boleh dianggap sebuah intrepetasi dan persepsi. Iaitu ia menganggap Pak Ary sebagai ‘bersalah' kerana mengambil kefahaman sesat dari Rashad Khalifah sebagai contohnya.

Bagi saya, ambilan itu sendiri masih boleh ditafsir kepada persepsi yang pelbagai, salah satu dari persepsi itu adalah apa yang diputuskan oleh Mufti Wilayah., namun bloleh juga ditafsirkan kepada yang lain. Dalam hal ini, saya kira, agak sukar untuk dinyatakan sama ada ia membawa kepada kesimpulan bahawa ESQ itu betul 100 % atau sesat 100 % , kerana ia masih dalam bab intrepetasi masing-masing. Kita tidak mahu ada ilmuan dituduh Ahbash hanya kerana mengambil dan menyakini satu pandangan pelik dari Syeikh Abdullah Al-Harari atau dituduh Wahabi hanya kerana menyanjung satu ijtihad ganjil Imam Ibn Taymiah.

Demikian di kalangan ilmuan termasuk para mufti, malah bekas Mufti Perlis lebih banyak berbeza pandangan dengan mufti-mufti lain sejak dari dahulu lagi. Mungkin ada yang menganggap itu disebabkan mereka berlainan ‘kem' (muda dan tua). Tetapi apa yang menarik dalam isu ASB dan ESQ kali ini, mufti yang berbeza pandangan adalah dari satu ‘kem', iaitu ‘kem kaum tua' dalam kata lain BOLEH DIKATAKAN IA IBARAT Mufti Wilayah vs Mufti Perak. Keduanya dari kem yang sama, malah juga dari aliran politik yang juga sama. Walau ia kelihatan negatif, namun ia juga merupakan satu perkembangan yang baik dalam dunia intelektual. Sukar sebelum ini dijumpai atau dibenarkan berbeza pendapat di kalangan mereka. Ia sebuah petanda, perkembangan ilmu masih wujud.

PERBEZAAN PANDANGAN MUFTI

Walau mufti-mufti lain bersetuju dengan ESQ, adalah menjadi hak Mufti Wilayah dan jawatankuasa fatwanya untuk berbeza pendapat. Cuma harapan saya semasa membaca warta itu adalah, hujah-hujah di sebalik pengharaman dan penyesatan itu mestilah kukuh, tepat, jitu dari hasil kajian teori dan lapangan. Justeru, saya mengharap penemuan baru yang jitu dan tepat akan disampaikan di dalam warta rasmi fatwa itu.

Sedikit mengecewakan, apabila saya membaca warta tersebut, sebahagian besar kandungan kelihatan masih ‘outdated', sebahagiannya masih merujuk buku lama ESQ yang sudah dibatalkan atau diubah, malah adakalanya kelihatan ‘sebiji' dengan hujah yang disebar di blog esqsesat.blogspot, sebuah blog yang ‘tidak bernama, tidak berpunya atau yang berpemilik tapi agak penakut, bimbang disaman'. Sifat blog tersebut menjadikan isinya tidak berautoriti. Namun tidak dapat dinafikan sebahagian lagi hujah dalam warta tersebut dilihat kukuh, relevan dan patut diperbetulkan, namun untuk terus diharamkan? Ia terpulang kepada pertimbangan ilmu masing-masing.

Apapun, secara umum, kandungan warta rasmi Mufti tersebut perlu lebih ‘updated’, saya hanya bimbang ia selepas ini akan menjatuhkan sedikit krebiliti mufti sahaja di mata masyarakat umum khusus mereka yang berpendidikan tinggi dan mampu menganalisa. Namun jika itu diyakini oleh mereka sudah mencukupi, pihak terlibat wajar memberikan perhatian dan semakan lebih mendalam.

Pihak ESQ pula, tidak boleh mendabik dada dengan sokongan ulama Indonesia dan senarai panjang mereka. Jika mereka ingin terus bertapak kukuh, mereka perlu memberi respon baik dan ilmiah kepada inti warta itu, bukan hanya sekadar menyatakan "kami ada penasihat Syariah", "kami ada senarai ulama Indonesia yang menyokong", "ulama singapura" dan sebagainya. Penasihat Syariah ESQ perlu bekerja kuat untuk menulis bahan ilmiah ini dengan bijak dan tidak hanya duduk berehat sekadar menunggu wartawan datang, membiarkan pengurusan ESQ kelam kabut menangani masalah ini.

Jika perubahan didapati perlu, perlubahan mestilah satu perubahan asas dikuti cabang-cabangnya, bukan hanya tempelan di sana sini seolah ‘menampal lubang bocor di siling parlimen’ yang akhirnya tetap membahayakan. Apa yang menarik perhatian saya, saya pernah bertanya kepada seorang trainer ESQ tahun lalu,

"Adakah jika perubahan dibuat maka ia akan dibuat bagi seluruh modul ESQ atau hanya bagi modul tertentu dan di malaysia sahaja, kerana ia memasuki pasaran Malaysia?"

Saya kurang ingat jawapannya, namun ia tidak begitu positif sehingga memberikan saya kefahaman dan kesimpulan berikut :

"Modul akan diubah mengikut permintaan dan restriction tempat sasaran masing-masing. namun yang asal belum pasti tertakluk kepada pelbagai aspek lain.."
Jika demikian, saya bimbang perubahannya adalah hanya form dan bukan susbstance. Wallahu'lam.

KESIMPULAN
Apa-apa salah tapi masih boleh diperbetulkan, jangan terus diharamkan khususnya jika ia terbukti boleh membawa kebaikan. Lebih cantik jika dihantarkan surat rasmi amaran mungkin, atau dipanggil berdiskusi secara tertutup terlebih dahulu. Bukankah Islam mengarahkan musyawarah dengan kedua-dua pihak sebelum keputusan dijatuhkan. Jika semua itu telah dilakukan, maka tiada cadangan saya tadi relevan lagi.

Pihak ESQ pula, jangan hanya menghantar Pak Ary berdiskusi dengan ulama dalam hal ini. Pak Ary bukan berpendidikan rasmi bidang agama, lalu laras bahasa yang digunakan mungkin berbeza, menyukarkan perbincangan menyebabkan pak ulama tidak dapat menangkap maksud mereka. Oleh itu, pastikan bawa sekali penasihat Shariah mereka yang tahu serba serbi berkenaan ESQ secara total (teori dan praktikal serta hujah bagi semuanya), agar mereka boleh menjadi lisan ketika menerangkan kepada para ulama.
Terus terang saya katakan, ketika saya menyemak ESQ tahun lalu (iaitu pada Mei 2009), saya diberikan jawapan bertulis Pak Ary kepada JAKIM dan Majlis Fatwa (kurangpasti). Namun banyak jawapannya tidak kemas pabila dianalisa menurut piawan ‘Ulum Aqidah, Fiqh dan Usul Fiqh. Malah ia juga tidak akademik. Mungkin ia kemas dari kacamata ilmu motivasi dan falsafah tetapi ia sama sekali tidak memuaskan dari tiga perspektif ilmu di atas. Sebab itu, respon Pak Ary perlu ditransformkan oleh Penasihat Shariah ESQ sebelum diserahkan kepada JAKIM, Mufti Wilayah atau mana-mana pihak berkuasa agama.

Kemudian pada feb 2010, saya difahamkan jawapan baru selepas transformasi dan semakan oleh majlis Shariah ESQ telah dibuat, ia mengandungi jawapan rasmi terhadap dakwaan yang terdapat dalam warta Mufti Wilayah. Anda boleh baca di sini (http://www.esqway165.com/wp-content/uploads/jawapan-kpd-isu2-yg-ditanyakan-oleh-alumni-esq_2.pdf ) . Adapun saya tidak boleh memberikan sebarang komen ke atas dokumen itu kerana tidak punyai masa dan minat untuk menelitinya. Harapan saya ia sudah berjaya ditransformasi oleh penasihat Shariah sehingga menepati laras tiga ilmu asas tadi.

Perbezaan pandangan ulama diakui sentiasa wujud maka fahamilah ini. Jika Wilayah berkeras dengan keputusan mereka, hormatilah hak mereka dan jangan dipaksa mereka mengubah warta mereka melalui pengaruh kuasa politik atau administrasi. Ia hanya akan menghancurkan tahap independent sesebuah badan berkuasa agama di dalam Negara kita. Bukankah sudah begitu system di dalam Negara kita?, setiap negeri diketuai oleh Sultan mereka, manakala urusan agama di Wilayah & Pulau Pinang diketuai oleh YDP Agung. Sebab itu ada negeri seperti Perlis yang berpendirian sedikit berbeza dengan negeri lain, itu juga hak mereka, jangan semudahnya menyesat dan mengutuk. Begitu juga sebaliknya.

Moga pembaca tidak terus keliru dengan perkembangan itu. Saya kira, selepas ini saya mungkin tidak akan mengulas apa-apa lagi berkenaan ESQ. Cukuplah ulasan panjang lebar tahun lepas dan ulasan ringkas ini.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

ORIGINAL ARTICLE : http://www.zaharuddin.net/content/view/941/72/

No comments

Powered by Blogger.