Gaji pekerja bina istana negara telah dibayar

MELAKA 5 Julai - Kontraktor yang terlibat dalam projek pembinaan Istana Negara di Jalan Duta, Kuala Lumpur telah membayar gaji pekerja asing yang terlibat dalam pembinaan istana itu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang menyiasat dakwaan bahawa kontraktor tidak membayar gaji pekerja berkenaan.

"Setakat hari ini, yang saya terima daripada CIDB, dia (CIDB) kata dari segi pembayaran, kontraktor telah membuat pembayaran, itu laporan terakhir yang saya terima,” katanya.

Pada 28 Jun lepas, Shaziman mengarahkan CIDB menyiasat dakwaan kontraktor tidak membayar tiga bulan gaji 1,000 pekerja yang terlibat dengan pembinaan Istana Negara seperti yang dilaporkan sebuah akhbar.

Bagaimanapun, Shaziman berkata, sekiranya siasatan menunjukkan berlaku penyelewengan, kementerian akan mengambil tindakan sewajarnya.

"Tetapi setakat hari ini, laporan yang saya terima daripada CIDB menunjukkan ia berjalan mengikut aturan,” katanya. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.