Genap Setahun Teo Beng Hock Pergi, Suasana Suram Selubungi Keluarga, Rakan-Rakan

Oleh Sidiqin Omar

KUALA LUMPUR 16 Julai - Genap setahun selepas kematian Teoh Beng Hock, hari ini ahli keluarga mendiang bersama beberapa orang wakil rakyat dari Pakatan Rakyat mengunjungi tempat kejadian bagi memperingati mendiang yang merupakan pegawai politik dari DAP itu untuk memberi penghormatan kepadanya.

Mereka hadir ke pejabat lama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Shah Alam bagi tujuan tersebut sambil membawa jambangan bunga dan peralatan sembahyang. Namun, pihak pengurusan bangunan itu hanya membenarkan enam orang, termasuk bekas majikannya, Ean Yong Hian Wah untuk naik ke tingkat 5 Plaza Masalam, tempat Beng Hock ditemui mati.

Upacara berkabung tersebut mengambil masa kira-kira 30 minit. Keadaan pada waktu itu kelihatan suram.

Selepas tamat upacara tersebut, kumpulan tersebut turun menyertai wakil rakyat yang berucap sambil mengucapkan terima kasih kepada yang hadir.

Adik perempuan mendiang, Teoh Lee Lan sebak dan kelihatan berlinangan air mata sehingga terpaksa mengambil beberapa minit bagi berucap kerana terlalu sedih.

"Beliau harap kebenaran (apa yang berlaku) dapat dijelaskan," kata Adun Teratai Jenice Lee yang menterjemahkan ucapan Lee Lan ke bahasa Melayu.

Ketika bercakap kepada media, Lee Lan berkata, keluarga mereka bercadang berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan inkues yang dijalankan.

Lee Lan memaklumkan bahawa keluarganya bersetuju untuk bertolak ansur bagi menerima inkues dan bukannya suruhanjaya siasatan diraja kerana Najib mengatakan sekiranya mengikut perlembagaan, inkues mesti dijalankan terlebih dahulu.

"Beliau kata inkues (siasatan) akan mengambil masa dua minggu, paling lama dua bulan. Tetapi sekarang sudah setahun. Beliau kata, kita boleh berjumpa dengannya jika tidak berpuas hati. Kita minta surat jaminan tetapi ia tidak dihiraukan," katanya sambil beberapa kali mengesat air mata.

Sementara itu, Gobind Singh Deo yang merupakan peguam keluarga berkenaan mempertikaikan ucapan takziah daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dibuat semalam.

"Kenapa baru setahun baru keluar kenyataan sebegini?" soalnya.

Semalam Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed dilaporkan berkata SPRM turut berkongsi kepiluan dan kesedihan dengan keluarga mendiang ekoran insiden malang itu.

Beliau berkata, sebagai seorang ayah dan anak paling tua dalam keluarga,beliau dapat merasi kepiluan yang tidak tertanggung akibat kehilangan ahli keluarga.

Antara mereka yang hadir adalah anggota keluarga Teoh, iaitu ibu, bapa, abang, kakak adik dan bekas majikannya, Ean Yong Hian Wah yang merupakan Exco Selangor. Selain itu, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, Exco Selangor Teresa Kok, Dr Xavier Jayakumar, Datuk Dr Hasan Ali, Dr Halimah Ali, Ronnie Liu serta kira-kira 50 penyokong.

No comments

Powered by Blogger.