Gila Beb Kalau Pemimpin UMNO Nak Letak Jawatan Senang-senang

‘Saya tak akan letak jawatan’

SUNGAI PETANI - Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Ali Yahaya tidak akan meletak jawatan kerana baginya, isu untuk meletak jawatan tidak timbul sama sekali meskipun beberapa perwakilan termasuk Ahli Jawatankuasa UMNO bahagian mendesak beliau berbuat demikian pada majlis perasmian mesyuarat perwakilan UMNO bahagian berkenaan, kelmarin.

Ali berkata, tidak ada sebab baginya untuk melepaskan jawatan semata-mata bagi memenuhi kehendak pihak yang kecewa setelah kalah dalam pemilihan bahagian pada 2008 sedangkan jawatan itu dipegangnya secara sah setelah mendapat mandat daripada perwakilan dan ahli UMNO.

“Mengapa pula saya nak letak jawatan? Saya dapat mandat ahli dan akan pegang sehingga habis penggal. Pada mesyuarat semalam (kelmarin) pun tidak ada undi tak percaya, mereka hanya buat kecoh semasa perasmian saja. Itu tak termasuk dalam perlembagaan dan kedudukan saya tidak terjejas,” katanya.

Ali berkata, beliau mendapat sokongan 350 daripada 400 perwakilan yang hadir mesyuarat kelmarin.

“Selepas itu, mesyuarat berjalan sempurna dengan disaksikan Ahli Majlis Tertinggi (MT) hingga petang hari (kelmarin). Bagaimanapun, UMNO Bahagian Sungai Petani menyerahkan kepada MT untuk mengambil tindakan ke atas tingkah laku pihak terlibat yang memalukan UMNO dan melanggar perlembagaan dan etika parti,” katanya.

Ali mengulas kekecohan yang berlaku ketika majlis perasmian mesyuarat berkenaan apabila beberapa perwakilan termasuk Ahli Jawatankuasa UMNO bahagian menghalang beliau daripada berucap. Berlaku adegan tuding menuding sehingga majlis itu terpaksa diteruskan dengan ucapan perasmi, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri tanpa ucapan Ali selaku Ketua UMNO Bahagian.

“Kekecohan itu bagaimanapun tidak mengganggu gugat keutuhan UMNO Bahagian Sungai Petani kerana yang terlibat hanya beberapa orang,” katanya.

Ditanya desas desus persengketaannya dengan beberapa pihak termasuk Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Sungai Petani, Ali menjelaskan bahawa tiada sebarang perselisihan bantara mereka dan mengikut perlembagaan, pergerakan itu merupakan sayap parti dan seharusnya memberi sokongan padu kepada bahagian.

Mengenai desakan untuk beliau meletak jawatan, Ali berkata, tiada apa-apa desakan diterimanya malah majoriti perwakilan memberikan sokongan terhadap kepimpinannya.

“Saya adalah ketua bahagian yang dipilih oleh ahli dan perwakilan. Saya tetap akan menyandang jawatan ini dan tidak ada pihak yang boleh merampas jawatan ini daripada saya.

“Mengikut perlembagaan, tidak ada undi tidak percaya berlaku semalam, maka tidak ada isu (desakan meletak jawatan),” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang hadir sebagai pemantau pada mesyuarat itu, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang juga Ketua UMNO Bahagian Baling, memberitahu Sinar Harian, pihaknya akan menghantar laporan sebagaimana perlu kepada MT parti.

Bagaimanapun katanya, mesyuarat itu berjalan lancar selepas perwakilan mendengar ucapan perasmian Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom

“Saya anggap ini perkara biasa ahli peringkat akar umbi meluahkan pendapat dan rasa tidak puas hati hingga menyebabkan berlakunya kekecohan.

“Namun selepas mendengar ucapan Jamil Khir, semua perwakilan kembali tenang dan bermesyuarat dengan lancar hingga ke petang. Ini menunjukkan ahli akar umbi bersikap matang,” katanya.

Bagaimanapun, Abdul Azeez berkata, keluhan sebilangan daripada mereka akan dibawa ke peringkat MT untuk tindakan lanjut.

No comments

Powered by Blogger.