GPMS nafi sudah ‘tenggelam” kerana suara lantang Perkasa

Oleh Syed Mu’az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 7 Julai — Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), pertubuhan bukan kerajaan Melayu berusia lebih enam dekad, menolak tanggapan ia sudah “tenggelam” dek kewujudan Perkasa yang kelihatan lantang memperjuangkan hak orang Melayu.

Presidenya, Jais Abdul Karim berkata GPMS dan Perkasa bergerak selari cuma pendekatan digunakan sahaja berbeza.

“GPMS tetap seperti dulu, tidak ada apa yang berubah cuma kita tidak mahu terlibat secara langsung dengan politik sebab itu mungkin masyarakat nampak GPMS tenggelam,” katanya.

Jais memberitahu, GPMS mengambil pendekatan dengan memberikan tumpuan kepada pembangunan pendidikan orang Melayu manakala Perkasa pula melalui politik.

“Jadi tidak timbul soal siapa kuat ataupun tidak,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Kini Perkasa yang berusia kurang dua tahun didakwa kelihatan lebih menonjol berbanding GPMS yang ditubuhkan pada 1945.

Kedua-dua GPMS dan Perkasa juga merupakan anggota Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang dilancarkan Mac lalu dengan keanggotaan hampir 100 NGO.

Beliau juga menafikan bahawa GPMS adalah sebuah parti politik seperti mana yang didakwa sebelum ini.

“GPMS adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang melahirkan ramai pemimpin di negara ini dan tidak ada kena mengena dengan parti politik.

“Cuma secara kebetulan ramai bekas ahli GPMS ini terdiri daripada pemimpin-pemimpin Umno, mungkin sebab itu GPMS dicop sebagai kuda tunggangan Umno.

“Kita mahu ubah persepsi ini kerana ramai juga di kalangan pemimpin pembangkang adalah bekas ahli GPMS termasuk Dr Syed Husin Ali (Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat), Fariz Musa (Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan), Subky Latif (bekas ahli jawatankuasa PAS pusat) dan ramai lagi,” katanya.

Jais berkata GPMS tidak akan menyertai mana-mana parti politik termasuk Umno, PAS dan PKR tetapi akan sokong parti yang memperjuangkan hak orang Melayu.

“GPMS tidak akan mempunyai kedudukan dalam parti politik kerana kita mahu memberikan tumpuan kepada perjuangan kita dalam bidang pendidikan orang Melayu.

“Tapi kita akan memberikan sokongan kepada mana-mana parti politik yang memperjuangkan hak orang Melayu dalam negara ini,” katanya.

Dalam pada itu Jais berkata GPMS juga mahu kerajaan mengkaji semula Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dengan memberi ruang untuk mahasiswa melibatkan diri dan mempelajari selok-belok politik negara.

Jais berkata langkah mengekang mahasiswa daripada melibatkan diri dalam politik di bawah AUKU hanya akan memberikan kesan kurang baik kepada pengetahuan mahasiswa terhadap politik.

“GPMS sangat bersetuju agar AUKU dikaji semula dengan melihat kepada pindaan peraturan dalam akta tesebut supaya mahasiswa tidak dikekang daripada melibatkan diri dalam politik.

“Ini kerana kerajaan perlu memberikan ruang dan peluang kepada mahasiswa untuk mempelajari ilmu-ilmu berkaitan politik tetapi dalam keadaan yang terkawal.

“Jika dulu mungkin kita lihat AUKU mampu untuk mengekang mahasiswa daripada terlibat tetapi tidak lagi hari ini kerana mereka boleh mendapatkan apa-apa maklumat melalui internet dan sebagainya, jadi tiada sekatan yang boleh dibuat di bawah AUKU,” katanya. Beliau berkata Kementerian Pengajian Tinggi perlu mengambil inisiatif dengan mengadakan latihan kepimpinan dan mendedahkan mahasiswa terhadap keadaan politik semasa.

“Semasa ada pilihan raya Kementerian Pengajian Tinggi patut membawa mahasiswa yang berminat dalam politik turun padang dan melihat sendiri bagaimana senario politik negara.

“Kita perlu kenalkan mahasiswa kepada sistem politik negara supaya apabila menjadi pemimpin politik kelak mereka mempunyai banyak pengetahuan dan tidak akan bertindak secara membabi-buta,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan empat pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) didakwa di bawah AUKU berhubung tuduhan menyertai parti politik semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 15(5)(A) AUKU 1971 kerana menyatakan sokongan atau bersimpati dengan parti-parti politik yang bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

Bagaimanapun mereka mendakwa berada di Hulu Selangor untuk menjalankan penyelidikan akademik.

Jais berkata tindakan mengehadkan pergerakan mahasiswa akan menyebabkan mereka memberontak sehingga berlaku banyak perkara tidak diingini.

“Apabila kerajaan kata ini tidak boleh, itu tidak boleh maka jadilah peristiwa melepaskan perasaan seperti conteng dinding, tunjuk perasaan, bantahan dan sebagainya.

“Ini adalah sikap ingin tahu yang ada di kalangan orang muda termasuk mahasiswa, semasa orang kata tidak boleh lagi mereka mahu buat.

“Kedegilan ini adalah idealisme yang ada pada golongan muda, kalau dok tunduk, ikut sahaja itu bukan orang muda,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.